LONDON: Rafael Nadal mengesahkan tidak akan beraksi di Terbuka AS bulan ini dan akan kembali bertanding di Piala Laver pada September, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Bintang tenis dengan 22 gelaran grand slam itu memberi bayangan selepas kegagalannya di Sukan Olimpik bahawa beliau akan melepas kejohanan utama terakhir tahun ini di Flushing Meadows.
Nadal, yang pernah menjuarai Terbuka AS sebanyak empat kali, hanya beraksi sekali di sana sejak kemenangan terakhirnya pada 2019 akibat pelbagai masalah kecederaan yang dialaminya dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, mencetuskan spekulasi mengenai persaraannya.
“Hai semua, saya ingin berkongsi bahawa saya memutuskan untuk tidak bertanding di Terbuka AS tahun ini, sebuah tempat yang mempunyai kenangan luar biasa buat saya.
“Saya akan merindui suasana malam yang istimewa di NYC di Ashe, tetapi saya rasa kali ini saya tidak mampu memberikan 100 peratus.
“Terima kasih kepada semua peminat saya di AS, saya akan merindui anda semua dan kita akan berjumpa lagi.
“Semoga berjaya kepada semua yang menyertai Terbuka AS yang sentiasa menakjubkan!
“Pertandingan saya seterusnya adalah Piala Laver di Berlin,” menurut hantaran Nadal di halaman rasminya di X. – Bernama – PA Media/dpa