AUSTRALIA mula terkenal dengan buaya menerusi filem popular ‘Crocodile Dundee’ yang ditayangkan pada 1986, dibintangi Paul Hogan. Ia antara lain mengisahkan seorang wartawan Amerika Syarikat mengembara ke kawasan hulu Australia untuk bertemu dengan seorang pemburu buaya.
Hakikatnya, Australia adalah negara yang memiliki populasi buaya paling banyak di dunia. Menurut laporan majalah Time beberapa tahun lalu, dianggarkan terdapat lebih 100,000 ekor buaya di Australia – kebanyakkan di wilayah Utara negara itu. Yang paling menakutkan, buaya Australia dikatakan semuanya besar-besar belaka.
Industri peternakan buaya di Australia sebelum ini dikatakan bernilai AS$66 juta setahun. Kulit yang dihasilkan dihargai tinggi oleh gedung mewah seperti Hermes dan Louis Vuitton – bagi menghasilkan beg tangan, tali pinggang, kasut dan banyak lagi. Namun, Australia dikatakan negara yang berjaya ‘mengharmonikan’ buaya dengan manusia, di sebalik ramai lagi yang tidak berpuas hati dengan tindakan itu, kerana berpendapat mengapa perlu ‘berbaik’ dengan reptila ganas yang selama ini membaham manusia.
Tidak pasti lagi apa dimaksudkan dengan ‘harmoni’ dan bagaimana kaedah dilakukan. Apakah memindahkan buaya daripada penempatan penduduk ke pusat perlindungan khas? Perkara ini perlu dilihat dan dikaji oleh delegasi khas kerajaan Sarawak diketuai Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang kini berada di Australia.
Setakat ini Sarawak hanya ada empat penempatan khusus untuk buaya iaitu Jong Crocodile Farm Kuching, Miri Crocodile Farm, Pusat Hidupan Liar Sibuti dan Pusat Hidupan Liar Matang.
Laporan menyebut di Utara Australia, spesies ini akan menyembunyikan diri di celah-celah rumput berpaya bagaikan kayu mati dan sanggup kekal kaku berjam-jam lamanya untuk menunggu dan membaham mangsa. Apabila buaya air masin Australia menganas dan membaham manusia, penduduk setempat akan melancarkan gerakan mencari sampai dapat. Nescaya, mereka akan menembak setiap buaya yang mereka temui, memburaikan perut buaya itu untuk mencari mayat mangsa.
Keganasan buaya ini tidak dapat diterima oleh peneroka dan penduduk awal Australia. Mereka menembak buaya sebaik sahaja reptila itu menonjolkan diri. Pemburuan buaya di Australia kemudiannya bertukar menjadi satu industri apabila kulitnya menjadi popular dan mendapat permintaan yang tinggi. Ada laporan menyebut keadaan itu sudah berubah sekarang apabila pihak berkuasa Australia telah memperkenalkan pendekatan baru tetapi tidak semua pihak gembira dengan pendekatan ini.
UNDANG-UNDANG DI AUSTRALIA
Pada 1971, bimbang akan pemburuan ke atas buaya air masin akan menyebabkan kepupusannya, kerajaan Australia telah mengharamkan pemburuan. Maka buaya-buaya ini tidak boleh dibunuh. Ini telah menimbulkan kemarahan penduduk Utara Australia yang berhadapan dengan bahaya dibaham buaya akibat daripada undang-undang baru ini.
Namun begitu, debat mengenai manusia dan buaya di Australia kembali muncul semula apabila Arthur Booker yang berusia 62 tahun menjadi mangsa buaya air masin di kawasan berpaya Sungai Endeavour berhampiran pekan Cooktown di Wilayah Queensland ketika sedang menangkap ketam.
Pihak berkuasa Queensland segera menghantar satu pasukan 24 ranger hidupan liar untuk menangkap setiap ekor buaya yang disyaki sebagai berpotensi mengganas di sekitar Sungai Endeavour dan juga menjejaki mayat Arthur. Mereka akhirnya berjaya menangkap tiga ekor buaya yang disyaki membaham Arthur. Tetapi ranger Queensland tidak membunuh buaya-buaya tersebut.
Sebaliknya mereka memindahkan buaya-buaya ini ke dalam treler dan kemudian mengangkut spesies ini ke sebuah bandar bernama Cairns, terletak 260 kilometer dari Cooktown. Di sinilah kontroversi dan perdebatan mengenai masa depan manusia dan buaya di Australia bermula. Buaya yang diangkut ke Cairns itu di X-ray malah menjalani proses endoskopi iaitu kamera dimasukkan ke dalam badan buaya untuk melihat sama ada mayat Arthur ada di dalam perut atau tidak.
Ketua Hidupan Liar Wilayah Queensland, Mike Devery yang dikritik hebat kerana mengarahkan pengendalian operasi menelan kos tinggi itu mempertahankan keputusannya dengan alasan buaya air masin Australia tersenarai dalam hidupan liar yang dilindungi oleh Akta Konservasi Semulajadi Australia iaitu mana-mana buaya yang mencapai empat meter panjang adalah lambang ikonik Australia.
Maka buaya-buaya ini tidak boleh dibunuh. Ini telah menimbulkan kemarahan penduduk Utara Australia yang berhadapan dengan bahaya dibaham buaya akibat daripada undang-undang baru itu. Salah seorang yang membantah perlindungan ke atas buaya air masin ialah seorang ahli Parlimen Australia ketika itu, bernama Bob Katter yang mempunyai ladang lembu di Utara Australia dan duduk berjiran dengan sang buaya.
Beliau dengan lantang bersuara ‘satu-satunya masa yang saya ingin lihat sang buaya ialah di penghujung rifel saya…”. Katter menuduh kerajaan Australia sanggup mengorbankan keselamatan rakyat dan mengutamakan keselamatan buaya-buaya. “Dahulu jika seekor buaya membaham manusia, datuk nenek saya akan membunuh semua buaya yang terdapat di kawasan berkenaan tetapi hari ini mereka memberi layanan kelas pertama kepada sang buaya dengan melakukan X-ray sedangkan ada pesakit di hospital terpaksa menunggu berhari malah berminggu-minggu untuk menjalani X-ray,” kata Katter.
SUASANA BERUBAH
Tetapi laporan itu menyebut, suasana sudah berubah. Hari ini, dalam sebuah negara yang semakin menitik beratkan perlindungan ke atas alam sekitar dan spesies terancam seperti mana buaya air masin ini, pihak berkuasa Australia melindungi buaya dengan kaedah tersendiri.
Kerajaan Australia berusaha untuk mengharmonikan kewujudan manusia dan buaya agar mereka boleh tinggal bersama sebagai jiran walaupun usaha tersebut masih belum dapat diterima secara total oleh masyarakat luar bandar di negara itu. Begitulah ironinya situasi di sebuah negara yang terperangkap dalam situasi mana lebih penting, manusia atau spesies terancam?
Kini, delegasi Sarawak diketuai Awang Tengah berada di Australia untuk mengkaji kaedah sesuai bagi menguruskan populasi buaya. Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata lawatan itu bertujuan menganalisis ekosistem spesies buaya di Australia terutama buaya yang hidup di air masin dan air tawar.
“Kami ingin mengkaji bagaimana mereka menguruskan buaya dan kaedah pemburuan dan apa yang mereka lakukan dengan haiwan berkenaan jika perlu menghapuskan (bunuh) sambil memastikan tidak melanggar undang-undang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kajian itu merangkumi sungai dan sistem air di Australia untuk memastikan buaya dan haiwan lain dapat hidup dalam habitat tanpa reptilia berkenaan menimbulkan ancaman kepada manusia,” katanya seperti dilaporkan media.
Abang Johari berkata, kaedah yang lebih bersistematik perlu dilaksanakan dalam usaha menangani isu buaya walaupun kerajaan Sarawak sudah melaksanakan beberapa langkah bagi mengatasi ancaman serangan buaya sebelum ini. Katanya, delegasi itu juga akan mengkaji bagaimana manusia dan buaya boleh wujud bersama.
“Buaya di wilayah utara Australia, saya sendiri sudah melihatnya, buaya dan kerbau boleh wujud bersama. Buaya tidak makan kerbau itu, bagaimana mereka boleh wujud bersama? Mereka berada di habitat sama tetapi mereka tidak membunuh satu sama lain. Jadi asalkan buaya tidak bunuh manusia, bagaimana manusia dan buaya boleh wujud bersama, jadi mereka (delegasi) akan mengkaji perkara ini,” jelasnya.
Mengikut rekod Sarawak Forestry Corporation (SFC) sejak 2020 hingga 2023, sebanyak 107 operasi dan 95 ekor buaya berjaya ditangkap serta 482 biji telur reptilia itu dipindahkan. Mengikut angka rasmi yang diberitahu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) November lalu, Sarawak kini mempunyai sekitar 25,000 ekor buaya berbanding 13,500 ekor pada 2014. Antara kawasan tumpuan bagi buaya ini adalah di Sungai Bako, Batang Lupar, Batang Sadong dan juga di Sibuti, berdasarkan bancian pemantauan.
Berdasarkan statistik yang diberi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak sebelum ini, pada 2023 tiga mangsa dibaham buaya iaitu di Samariang, Kuching; Oya/Dalat dan Skrang di Betong. Dalam tempoh 2018 hingga 2023, seramai 32 mangsa maut disambar buaya di Sarawak. Jumlah tertinggi direkodkan pada 2021 apabila seramai sembilan mangsa disambar buaya, diikuti 2020 seramai lapan orang, 2018 (7), 2022 (4), 2023 (3) dan 2019 (1).
Namun, kita tunggu dan lihat sama ada pendekatan dilakukan Australia boleh dilaksanakan di negeri ini. Umum mengetahui buaya ada dimana-mana sungai sekarang, sesuatu yang tidak berlaku 10 atau 20 tahun lalu. Keadaan kini seperti satu dilema – sayang nyawa manusia atau mahu terus lindungi buaya ganas?
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.