BARU-baru ini media antarabangsa, Bloomberg melaporkan Sarawak kini bersedia mengambil alih aset gas aslinya dari syarikat-syarikat yang dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan apabila kempen untuk autonomi ekonomi membuahkan hasil dalam landskap politik yang agak rapuh. Hal ini terpancar apabila Petroleum Sarawak Berhad (Petros), syarikat milik kerajaan Sarawak menandatangani perjanjian jualan gas pertamanya baru-baru ini.
Ini menandakan ia secara efektif suatu permulaan pengambilalihan rangkaian pengedaran gas di Sarawak yang dikawal oleh gergasi minyak Malaysia, iaitu Petronas. Kuasa Petronas hanya menjawab kepada Perdana Menteri, namun Petronas telah meminta lebih banyak masa sebelum ia menyerahkan kawalan penuh. Hal ini berlaku kerana ingin memuktamadkan perjanjian bekalan gas dengan Sarawak terlebih dahulu untuk memastikan kompleks gas asli cecair (LNG) miliknya terus beroperasi di Sarawak. LNG salah satu yang terbesar di dunia dengan kapasiti 30 juta metrik tan setahun.
KEBIMBANGAN PETRONAS
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya menghormati kebimbangan Petronas kerana mempunyai ekuiti dalam kilang LNG. Perbincangan juga mesti dimuktamadkan pada 1 Oktober ini. Sarawak sejak zaman pemerintahan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem telah lama menuntut royalti minyak dan gas yang lebih tinggi dari Petronas, penjaga rizab tenaga Malaysia. Namun dorongan baru lebih kuat bermula selepas pilihan raya November 2022 kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak bergantung pada sokongan politik dari parti-parti yang berpangkalan di Sarawak bagi mengekalkan gabungan kerajaan.
Penetapan tarikh akhir pada 1 Oktober kepada Petronas untuk memuktamadkan perjanjian yang akan memberi negeri ini hak penuh ke atas penyeliaan dan perdagangan gas yang diekstrak dari Sarawak. Premier juga berkata pentadbiran negerinya akan mempertimbangkan pilihan lain sekiranya Petronas gagal memenuhi tarikh akhir baru itu dan menyerahkan semua hak ke atas pengedaran dan penjualan gas asli cecair kepada Petros.
Premier juga telah menyatakan bahawa pihak lain telah menandatangani perjanjian untuk berurusan secara langsung dengan Petros termasuk Shell dan kini Exxon Mobil dijangka datang ke Sarawak yang merujuk kepada gergasi minyak yang sudah mempunyai nama kehadiran yang luas dan mampan di Malaysia.Namun Premier tidak mengulas lanjut mengenai pilihan yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan Sarawak.
SARAWAK MEMAINKAN PERANAN
Petronas merupakan pemegang saham tunggal industri petroleum Kerajaan Persekutuan kini melaksanakan konsesi bagi menyerahkan kawalan rangkaian pengedaran gas di Sarawak buat pertama kali dalam sejarahnya, dan ini membawa kepada lehih banyak rundingan dengan negeri ini mengenai perkongsian hasil, kawalan operasi dan pengawasan peraturan. Maka ini menjadikan hubungan dengan Petronas menjadi lebih kompleks boleh menciptakan ketegangan tetapi kedua-dua pihak akan mencari kerangka kerjasama untuk mengelak industri ini terjejas.
Perkara ini sudah tentu membawa kesan terhadap pendapatan bagi Petronas yang merupakan sumber utama pendapatan kepada Kerajaan Malaysia. Namun yang penting ia juga dilihat meningkatkan pendapatan kepada kerajaan Sarawak. Pengambilalihan oleh Petros dapat dilihat sebagai cabaran langsung terhadap monopoli lama yang dipegang oleh Petronas ke atas rizab minyak dan gas negara sejak penubuhannya pada 1974.
Sebagaimana selalu diulangkan oleh Premier Sarawak bahawa sekiranya negeri Sarawak berpendapatan tinggi, Sarawak akan maju. Dengan demikian, Malaysia juga akan maju. Inilah hakikatnya. Sebelum ini Petronas menyumbang segmen gas sebanyak 38 peratus daripada keuntungan utama Petronas tahun lalu. Sebab itu, Petronas kini sedang berbincang untuk mencapai penyelesaian bersama mengenai pengedaran gas di Sarawak untuk terus menjadi rakan strategik kepada Sarawak untuk mengekalkan iklim pelaburan yang berkembang maju dan kondusif di Malaysia.
Hakikatnya Sarawak yang merupakan negeri paling luas di negara ini mempunyai medan minyak dan gas di Laut China Selatan. Malah, Abang Johari menjangkakan nilai sektor tenaga Sarawak akan melebihi RM60 bilion (AS$13 bilion) menjelang akhir dekad ini, meningkat daripada RM10 bilion yang kini dikutip hanya dalam bentuk royalti dari Petronas, menurut satu laporan dipetik oleh Bloomberg.
PENGAMBILAN
Menjelang tahun depan, Sarawak akan menjadi pemilik-pengendali pelabuhan di Bintulu yang terletak kompleks LNG Petronas apabila Parlimen Malaysia meluluskan undang-undang untuk membubarkan Lembaga Pelabuhan Bintulu yang dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan. Kini negeri ini bukan hanya bergantung pada minyak dan gas, ia juga akan membina dua loji hidrogen di pelabuhan yang sama.
Apabila pengambilalihan ini berlaku, Sarawak akan mencapai lingkaran penuh. Ia membentuk Malaysia pada 1963 di bawah perjanjian yang membolehkannya memerintah sendiri dan menguruskan sumbernya. Pilihan raya 2022 dan penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan memberi peluang kepada Sarawak untuk bersuara dan berpengaruh dalam politik nasional khususnya dalam konteks keseimbangan kuasa di peringkat persekutuan.
Sarawak dan Sabah kini berhasrat untuk meningkatkan peruntukan 222 kerusi Parlimen untuk negeri-negeri Borneo kepada 35 peratus daripada 25 peratus yang ada sekarang. Malaysia mempunyai 13 negeri. Sementara itu, Sarawak sedang dalam usaha pembinaan dan perluas kuasa ekonomi dan sosial yang lebih strategik.
Kenyataaan ini dilihat dengan kesediaan untuk memuktamadkan perjanjian untuk meningkatkan pegangan dalam Affin Bank bulan depan, menjadikannya negeri pertama di Malaysia yang mempunyai kawalan langsung ke atas sebuah bank nasional. Ia juga sedang dalam proses membeli sebuah syarikat penerbangan serantau dari syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines, satu lagi yang pertama dilakukan oleh sebuah kerajaan negeri di Malaysia.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).