KETIKA bersarapan pagi di sebuah hotel berhadapan Selat Bosphorus di Istanbul pada Julai 2019, penulis terkejut apabila diberitahu bahawa hidangan di restoran itu daripada teh, kopi, keju, mentega, roti, meze, kekacang, Böregi, buah tin atau figs, epal dan ceri selain turkish delight – semuanya produk Turki, kini dikenali sebagai Turkiye sejak 2022.
“Kami tidak membeli semua itu dari negara lain, semua dihasilkan dalam negara Turki,” kata pengurus restoran ketika ditanya mengenai keenakan rasa makanan itu berbanding negara Mediterranean lain. Hotel, tempat makan dan pusat beli-belah bagaikan diwajib mempromosi dan menjual produk tempatan, hasil dalam negeri Turkiye sendiri, sekali gus memenuhi sara diri yang tinggi termasuk hasil pertanian dan perikanan.
Malah, katanya, jaket kulit, beg tangan dan pelbagai barangan jenama lain termasuk pakaian, kebanyakannya produk Turkiye sendiri termasuk jenama popular tetapi dikilangkan di situ. “Kerajaan kami mengutamakan produk tempatan. Negara kami juga maju dari segi teknologi, ada kilang pembuatan helikopter, dron dan barangan elektronik,” tambahnya.
Penulis masih skeptikal bab teknologi tetapi apabila dibawa melawat ke Turkish Aerospace Industries (TAI) iaitu kilang membuat dron dan helikopter tempur di Ankara, kira-kira empat jam penerbangan dari Istanbul, kebenaran itu menjelma apabila diberi taklimat bahawa semua komponen industri itu termasuk komposit dibuat di Turkiye sendiri. Pada mulanya penulis ingat Turkiye cuma memasang komponen jet pejuang, helikopter dan dron, dengan pelbagai komponennya diimport dari negara lain. Anggapan itu meleset.
“Kira-kira 20 tahun dahulu, kami hanya boleh memasang pesawat F16 tetapi kini kami mereka bentuk produk ketenteraan sendiri,” kata seorang pengurus kilang di Turkish Aerospace Industries ketika itu. Kawasan industri itu berkeluasan empat juta meter persegi yang mempunyai pelbagai kemudahan antaranya gudang pemasangan utama, tarmac dan landasan bagi jet pejuang untuk memudahkan urusan pasukan teknikal melakukan ujian serta hangar.
Baru-baru ini Turkiye menawarkan jet pejuang generasi kelimanya, ‘KAAN’ dalam membantu memenuhi keperluan pertahanan udara Malaysia. Pada 21 Februari lalu, ujian penerbangan sulung selama 13 minit jet pejuang generasi kelima Turkiye pertama ‘KAAN’ telah menarik perhatian media antarabangsa. ‘KAAN’ juga dilaporkan hasil usaha selama lebih sedekad daripada Tentera Udara Turkiye dan negara itu menyasarkan ‘KAAN’ untuk menggantikan armada F-16 Turkiye. Sebagai jet pejuang serba guna, ‘KAAN’ mahir menjalankan pelbagai misi, termasuk pertempuran udara-ke-udara, serangan udara-ke-darat, pengintipan dan perang elektronik, sesuai untuk menangani pelbagai cabaran keselamatan.
Turkiye ialah satu dari lima negara di dunia yang boleh membangun dan menghasilkan jet pejuang generasi kelima secara bebas, menyertai Amerika Syarikat (AS), Rusia, China dan Korea Selatan.
CIPTA DRON, HELI
Kenderaan udara tanpa pemandu berketahanan tinggi dan jarak jauh Turkiye yang dinamakan Akinci juga popular. Akinci baru-baru ini turut membantu mengesan satu titik panas yang berkemungkinan lokasi helikopter dinaiki Presiden Iran, Ebrahim Raisi, yang maut selepas helikopter membawanya itu terhempas di wilayah Varzaqan di Azerbaijan Timur.
Itulah kehebatan Turkiye pimpinan Recep Tayyip Erdogan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISG) di Istanbul, kedua terbesar di Turkiye, pula adalah milik Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sepenuhnya.
Minggu lalu, Duta Besar Republik Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel berkunjung ke Kuching dan mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Beliau tertarik dengan visi Sarawak dalam membangunkan sumber tenaga hijau, pembangunan teknologi tinggi termaju, infrastruktur, teknologi aeroangkasa dan pendigitalan hingga menarik minat syarikat Turkiye untuk bekerjasama.
“Kami telah memperkenalkan dua syarikat penting dari Turkiye. Salah satunya sudah pun bertapak di Malaysia dan satu lagi syarikat juga sedang mencari dan meneroka beberapa cara untuk meningkatkan kerjasama,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia, di Petra Jaya.
Emir Salim berkata dalam pertemuan itu pihaknya membincangkan keupayaan mereka dan bagaimana boleh mencapai sinergi antara syarikat Turkiye dan keupayaan Sarawak. Bidang tenaga hijau, pembangunan teknologi tinggi termaju, infrastruktur, teknologi aeroangkasa dan pendigitalan adalah antara yang dikuasai Turkiye.
TURKIYE-SARAWAK MAHU KERJASAMA
“Ini adalah beberapa bidang yang kami kuasai. Kami mempunyai syarikat yang bekerja ke arah ini, dan itulah sebabnya saya mengadakan perjumpaan ini untuk memperkenalkan dua syarikat itu kepada Premier Sarawak. Sebenarnya secara peribadi wawasan Sarawak sangat mengujakan saya kerana terdapat aktiviti ekonomi yang besar dan visi Premier Sarawak sangat menarik,” katanya.
Nescaya, kesediaan Turkiye untuk bekerjasama dengan Sarawak itu perlu direbut. Kerajaan Sarawak boleh menghantar delegasi ‘lawat sambil belajar’ ke Turkiye ketika negeri ini mahu meneroka industri aeroangkasa bukan sahaja untuk melahirkan juruterbang dan yang berkaitan dengan industri penerbangan, malah mengeluarkan dron dan helikopter sendiri – ikut kaedah teknologi Turkiye.
Bukan itu sahaja, Sarawak boleh belajar dari Istanbul bagaimana rakyatnya begitu tebal dengan keyakinan terhadap produk sendiri daripada hasil pertanian, perikanan, industri teknologi tinggi, perhotelan hingga kepada industri tekstil. Mereka bangga dengan produk sendiri.
Sarawak-Turkiye juga ada persamaan kerana sungai boleh dioptimumkan untuk industri pelancongan seperti mana popularnya pelayaran kapal ‘Cruise Bosphorus’ dengan persembahan tarian gelek yang mempersona sambil menikmati makan malam sepanjang pelayaran tiga hingga empat jam, di samping menikmati keindahan suasana dua benua – Eropah dan Asia di tebing barat dan timur selat itu. Mungkin pihak swasta di Sarawak boleh mengadakan pelayaran serupa dengan diselitkan persembahan kebudayaan pelbagai kaum sepanjang Sungai Sarawak atau Sungai Rajang di Sibu, sambil menjamu ‘umai’ dan sagu.
Tidak salah bagi kerajaan Sarawak mewajib atau sekurang-kurangnya beri insentif kepada mana-mana restoran termasuk di hotel yang menggunakan produk tempatan sepenuhnya daripada lada atau apa-apa produk pertanian dan perikanan. Hotel di utara Sarawak seperti Miri, Limbang mahupun Bintulu misalnya boleh digalak beli epal dari dataran tinggi Bario untuk sajian di restoran.
Perkenalkan ‘hidangan Sarawak’ dalam menu. Kita ada ‘terong Dayak’, rebung, dabai, buah embang, buah engkalak, buah terap dan banyak lagi buah estotik selain sayur-sayuran seperti midin, paku pakis, yang berkhasiat tinggi. Perkenalkan menu tiga rasa atau masakan pedas ikan terubok dan ikan empurau di restoran hotel.
Turkish delight memang sedap sebagai pencuci mulut tetapi Sarawak ada kek lapis dan kek mita, yang menjadi ‘buruan’ pelawat dari Semenanjung.
Ceri Turkiye dabai Sarawak
Dinikmati dalam kapal pelayaran
Teknologi ‘Isketambola’ masuk Sarawak
Biar dron, heli dicipta anak tempatan
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.