KITA di Sarawak baru saja menyambut satu hari istimewa iaitu Hari Sarawak. Hari penuh makna itu disambut bagi mengenang jasa perjuang-perjuang yang menentang pihak penjajah. Tarikh 22 Julai 1963 menandakan bermulanya pemerintahan anak tempatan di Sarawak.
Sehubungan dengan itu, anak Sarawak telah menunjukkan semangat patriotisme tinggi apabila tibanya Hari Sarawak. Dengan sokongan kerajaan negeri, Hari Sarawak disambut dengan meriah di Bintulu baru-baru ini.
KEMERIAHAN
Pelbagai acara telah diadakan untuk menyambut Hari Sarawak ke-61. Antara acara yang dijalankan adalah Majlis Kesyukuran yang dianjur oleh Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), manakala masyarakat Islam di Bintulu meraikan majlis kesyukuran di Masjid Assyakirin. Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut hadir dalam majlis kesyukuran itu.
Pada malam 22 Julai 2024 diadakan sambutan Perhimpunan Hari Sarawak di Lapangan Terbang Lama Bintulu. Sebelah paginya pula diadakan ‘Fun Ride’ di Dewan Suarah Bintulu. Sebelah petangnya pula satu sesi ‘townhall’ diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu. Suasana sambutan itu cukup memberi rasa riang gembira kepada pengunjung Hari Sarawak. Bagi penduduk Sarawak di tempat lain, Hari Sarawak disambut dengan mengantungkan bendera Ibu Pertiwi.
KEGHAIRAHAN
Dalam usaha mengenang Hari Sarawak terdapat nasihat daripada pemimpin Sarawak kepada penduduk Sarawak. Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam lawatannya ke Sibu baru-baru ini menegur agar tidak mengibarkan bendera koloni. Katanya, mereka yang mengibarkan bendera ini perlu membaca mengenai sejarahSarawak.
Mereka ini menurut beliau, telah keliru dan perlu kembali sedar bahawa bendera koloni itu telah digunakan pada zaman penjajah dahulu.
Kata-kata beliau ini mempunyai kebenaran. Ini kerana bendera yang dikibarkan ini memang mengelirukan fakta sejarah. Hari ini Sarawak telah merdeka. Ia juga mempunyai identiti sendiri iaitu bendera Ibu Pertiwi. Oleh itu pengibaran bendera pada Hari Sarawak seharusnya bendera yang ada sekarang iaitu Ibu Pertiwi bukan bendera lama semasa penjajahan British.
SOKONG
Kenyataan Abdul Karim ini mendapat sokongan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng. Beliau telah ditanya soal ini semasa mengedar bendera Sarawak bersaiz kecil kepada penduduk di Bandaraya Kuching. Bagi Wee, rakyat Sarawak harus sedar tentang peredaran masa. Bendera Sarawak pada hari ini adalah bendera Ibu Pertiwi. Beliau menyarankan agar penduduk Sarawak terus mengibar bendera tersebut daripada mengibar bendera koloni yang mempunyai lambang mahkota. Beliau menambah bahawa pengibaran dua bendera berbeza akan mengelirukan pelancong asing.
BUKAN BAHARU
Isu mengibar bendera lama Sarawak ini bukan satu perkara baharu. Ini kerana sejarah mengibar bendera ini telah berlaku sejak kumpulan tertentu memperjuangkan hak Sarawak. Mereka menggunakan bendera lama Sarawak dalam kempen-kempen mereka kepada rakyat Sarawak. Pada 2015, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera), Datuk Mohd Norden Majais pernah menegur pihak yang mengedar bendera, pelekad dan kemeja-T yang mempunyai bendera zaman koloni pada Hari Sarawak.
Beliau berkata bahawa pada hari tersebut berlaku pemindahan kuasa pentadbiran kepada kerajaan Sarawak yang memulakan pemerintahan sendiri di Sarawak. Beliau menyatakan bahawa tindakan pihak menyebarkan bendera itu bertentangan dengan makna Hari Sarawak yang bermula pemerintahan sendiri bagi Sarawak. Bagi beliau tindakan itu sebagai berbalik kepada era dimana Sarawak masih dibawah pemerintahan British. Dalam hal ini beliau menambah ‘adakah hendak ditakbir oleh British semula?”
SEJARAH BENDERA
Soal bendera Sarawak ini pernah saya bicarakan dalam wacana sebelum ini. Sejarah pembikinan bendera Sarawak bermula sejak pemerintahan Brooke. James Brooke sendiri mempunyai bendera yang dikenali sebagai St. George, manakala bendera Sarawak pula mula diperkenalkan pada sekitar 1848. Bendera ini mempunyai latar belakang warna kuning dengan berpalang silang yang di bahagian dua warna iaitu hitam (sebelum itu biru dan ada mengatakan ungu) dan merah.
Apabila Sarawak ditakbir oleh Jepun, bendera negara Jepun digunakan. Selepas perang bendera Australia berkibar di Sarawak. Bendera Union Jack pula berkibar apabila Sarawak dibawah pentadbiran British dengan ada lambang Sarawak di sebelah kanan latar biru bendera tersebut. Selepas itu diperkenalkan semula bendera Sarawak dibawah Brooke yang diguna pakai sehingga 1973.
Perubahan ketara pada bendera Sarawak berlaku apabila pada 1973, Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Ya’akub memperkenalkan bendera yang dinamakan Trisakti. Bendera ini mempunyai warna biru, putih dan merah. Pada 1988 berlaku sekali lagi perubahan pada bendera Sarawak dengan mengekalkan warna asalnya iaitu kuning, merah dan hitam. Bendera ini kekal digunakan sehingga ke hari ini. Pada awal tahun ini, Premier Sarawak, Abang Johari memberi nama kepada bendera ini sebagai Ibu Pertiwi.
Sejarah ini memberi makna jelas bahawa Sarawak telah merdeka dan juga mempunyai benderanya sendiri. Tidak perlu dikibar bendera lama Sarawak yang bermotif koloni.
BELAJAR SEJARAH
Kisah bendera ini memberi dorongan dan kesedaran kita tentang pentingnya sejarah. Sejarah Sarawak telah membina kematangan Sarawak sehingga ke hari ini. Hal tentang bendera Sarawak ini menjadi perkara penting kita kembali belajar dan mengingati sejarah. Malah usaha memperkasakan sejarah Sarawak perlu digiatkan. Penubuhan State Record Repository dibawah Pustaka Negeri Sarawak banyak menyimpan rekod-rekod kerajaan terdahulu yang amat berguna dalam usaha memperkasakan sejarah Sarawak ini.
Dalam hal ini disarankan agar Kerajaan Pusat dan negeri dapat membantu menubuhkan sebuah pusat atau jabatan sejarah yang mampu mendalami sejarah Sarawak yang amat berguna kepada anak-anak Sarawak pada masa hadapan. Hal ini penting untuk mengelak sebarang kekeliruan mahupun kekaburan tentang sejarah Sarawak yang boleh dimanipulasi pihak-pihak tertentu.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).