KUCHING: Projek bina baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Pulo dijangka siap sepenuhnya Februari tahun depan.
Dibiayai kerajaan Sarawak melalui Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), bangunan sekolah itu, menurut Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, boleh digunakan pada April atau Mei tahun depan.
Katanya, sekolah yang dibina baharu dilengkapi 30 bilik kelas dan mampu menampung 900 pelajar, turut menyediakan tiga kelas untuk keperluan 75 pelajar prasekolah.
Beliau berkata demikian menjelaskan perkara itu ketika meninjau tapak projek bina baharu SK Pulo di kawasan pembanguan Darul Hana, kelmarin.
Lebih menarik, jelas Dr. Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, sekolah tersebut dikategorikan sebagai sekolah dan kelas pintar.
“Teknologi pintar ini melibatkan pengurusan sekolah, sistem pelajaran, kantin (transaksi tanpa tunai) dan sistem pengimbasan mula untuk merekodkan kehadiran pelajar ke sekolah,” katanya.
Selain itu, katanya, sekolah tersebut turut dilengkapi dewan tertutup yang mampu menempatkan 375 orang dalam satu masa dan gelanggang sukan terbuka.
Beliau berharap sekolah tersebut kelak mampu melahirkan ramai pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.
“Terima kasih kerajaan Sarawak yang membina sekolah baharu serba canggih ini.
“Semoga sekolah ini dapat menjadi sekolah terbaik di Sarawak pada masa akan datang” katanya.
Oleh Nur Ain Otsman