SIBU: Isu kekurangan Guru Bahasa Iban bukanlah perkara baru malah ia telah berlarutan sekian lama tanpa ada penyelesaian kesudahannya.
Naib Presiden Persatuan Intelektual Pribumi Sarawak (PERANTIS), Nelly Tawai dan Ketua Pergerakan Wanita (PERANTIS), Robbia Jarup dalam kenyataan bersama berkata, kemelut tanpa penyelesaian ini juga telah mendapat perhatian Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Beliau telah mengambil pendekatan akan berbincang dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk memindahkan pusat pengajian Bahasa Iban ke universiti-universiti tempatan di Sarawak, terutamanya di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi mengatasi isu kekurangan pensyarah Bahasa Iban yang sangat kritikal di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) May yang lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang telah membangkitkan, setakat ini, sebanyak 693 sekolah rendah dengan 67,308 orang murid mengambil mata pelajaran Bahasa Iban.
“Kuota guru opsyen Bahasa Iban yang ada adalah seramai 352 sedangkan kuota yang diperlukan adalah seramai 593 orang. Ini bererti masih kekurangan 241 orang guru opsyen Bahasa Iban yang diperlukan di Sekolah Rendah.
“Tambah beliau lagi, bagi sekolah menengah pula, sebanyak 83 sekolah menengah dengan 20,070 orang murid yang mengambil mata pelajaran Bahasa Iban.
“Kuota guru opsyen Bahasa Iban yang ada adalah seramai 79 orang sedangkan jumlah kuota yang diperlukan adalah seramai 182 orang. Jadi ini bererti masih ada 103 orang kuota guru opsyen Bahasa Iban yang diperlukan di sekolah menengah,” ujar kenyataan itu.
Kenyataan itu memberitahu, ini telah membuktikan betapa signifikannya kerumitan masalah kekurangan guru Bahasa Iban di Sarawak.
“Berdasarkan angka yang dibentangkan pada Sidang DUN Mei yang lalu, kita mengusulkan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil langkah penyelesaian yang holistik dan komprehensif untuk menangani isu kekurangan tenaga pengajar Bahasa Iban seperti berikut:
“Menambah jumlah pengambilan PISMP Bahasa Iban melalui arus perdana kepada 100 orang setiap ambilan mulai Jun 2025-2030.
“Membuat pengambilan Khas untuk PISMP Bahasa Iban mulai Ambilan 2025-2030 seramai 100 orang sehingga jumlah guru beropsyen Bahasa Iban dapat dicapai.
“Menambahkan ambilan untuk Program PDPP Bahasa Iban kepada 100 setiap ambilan mulai Ambilan 2025-2030.
“Menawarkan semula Program Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP) Bahasa Iban dengan pengambilan sebanyak 100 orang setiap kohort mulai 2025-2030 di IPG Kampus Batu Lintang dan IPG Kampus Tun Abdul Razak.
“Menghidupkan semula Program Diploma Lepasan Ijazah Bahasa Iban di UPSI (kerjasama KPM), atau menawarkan Program Diploma Lepasan Ijazah Bahasa Iban dan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Iban di UNIMAS (kerjasama KPM) untuk guru sekolah menengah,” kata kenyataan itu.
Sekiranya masalah ini tidak ditangani, kenyataan memberitahu, ia akan menjejaskan usaha untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Iban di kalangan generasi muda.
“Bahasa Iban bukan lagi bahasa etnik untuk kegunaan dan dituturkan oleh komuniti Iban semata-mata, tetapi sudah berkembang menjadi salah satu bahasa yang dimiliki dan dapat dipelajari rakyat secara keseluruhan.
“Ia bukan sahaja sebagai sebuah bahasa ibunda tetapi sebagai sebuah budaya dan memastikan bahasa ini terus terpelihara,” ujar kenyataan itu.
Oleh Akun Giman