TERDAPAT dua tarikh penting dalam sejarah Sarawak yang berlaku pada bulan ini. Pertama adalah 1 Julai 1946. Kedua pula adalah 22 Julai 1963. Jika diamati dua tarikh ini, ia mempunyai makna yang mendalam kepada naratif perkembangan perjuangan untuk membebaskan Sarawak daripada penjajahan.
Ini kerana pada 1 Julai 1946 secara rasminya Sarawak diserahkan kepada British sebagai tanah jajahan British. Ini bermakna Sarawak dijajah oleh British. Hal ini mengenepikan perlembagaan 1941 yang akan memberi kuasa memerintah kepada anak jati Sarawak. Hal ini menjadi agenda penting penentangan oleh golongan antipenyerahan terhadap tindakan penyerahan Sarawak kepada British. Usaha ini walaupun gagal, namun dilanjutkan pada 1960-an untuk Sarawak merdeka dan memerintah negeri mereka sendiri.
MEMERINTAH SENDIRI
Apabila cadangan pembentukan Malaysia diumumkan oleh Tuanku Abdul Rahman Putra al-Haj, cahaya ke arah pemerintahan sendiri mula muncul. British memberi ruang kepada parti-parti politik di Sarawak untuk bertanding dalam pilihan raya 1963. Dalam pilihan raya itu, parti pro-Malaysia iaitu Perikatan Sarawak memenangi banyak kerusi tetapi masih belum mampu membentuk kerajaan.
Salah satu parti pro-Malaysia yang keluar dari Perikatan Sarawak iaitu Parti Negara Sarawak telah bergabung dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk mendapat kerusi dalam Council Negeri. Kedua-dua parti ini mempunyai potensi untuk meraih sokongan ahli Bebas dan seterusnya membentuk kerajaan. Namun Perikatan Sarawak berjaya memenangi sokongan calon Bebas. Akhirnya lahirlah tarikh 22 Julai 1963 yang mana terbentuk kerajaan pertama dalam kalangan anak tempatan di Sarawak. Stephen Kalong Ningkan dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak pertama.
KEMERDEKAAN?
Daripada latar belakang ini apakah sebenarnya maksud tarikh tersebut? Adakah ia satu tarikh kemerderkaan atau sebaliknya. Dua sarjana sejarah iaitu Michael Leigh dan Datu Sanib Said pernah mengeluarkan penyataan tentang tarikh tersebut. Malah Michael Leigh pernah mengeluarkan buku bertajuk ‘Deals, Datus and Dayaks: Sarawak and Brunei in the Making of Malaysia’ yang juga menyentuh tentang perkara tersebut.
Kedua-dua tokoh ini bersetuju bahawa tarikh tersebut hanya memberi taraf berkerajaan sendiri kepada Sarawak dan bukannya kemerdekaan. Apakah makna kemerdekaan itu? Kemerdekaan boleh dikaitkan dengan kebebasan penuh daripada pengaruh kuasa asing. Dalam hal ini anak watan boleh memutuskan semua keputusan tentang hala tuju negaranya. Hal ini juga merujuk kepada kedaulatan negara tersebut. Kedaulatan ini pula dikaitkan dengan kuasa tertinggi yang berkuasa dalam memerintah negara tersebut.
PERJANJIAN MALAYSIA
Jika ditinjau dalam Perjanjian Malaysia pada 1963, dalam fasal 4 menyatakan bahawa Baginda Ratu Great Britain hanya menyerah kedaulatan kepada Sarawak pada Hari Malaysia. Hal ini menunjukkan bahawa Sarawak sepenuhnya menerima kedaulatan pada 16 September 1963 yang merupakan hari kelahiran Malaysia. Oleh itu pemerintahan Stephen Kalong Ningkan pada 22 Julai 1963 belum lagi sepenuhnya merdeka dan masih dibawah pengaruh British.
Keadaan serupa dalam proses kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957. Apabila Perikatan Tanah Melayu memenangi pilihan raya pada 1955 dan Tuanku Abdul Rahman telah dipilih menjadi Ketua Menteri Tanah Melayu.
Beliau mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 9 Ogos 1955. Selepas itu satu kabinet telah dibentuk untuk mentadbir Tanah Melayu sebagai pemerintahan sendiri. Kemudiannya Tuanku Abdul Rahman dan Perikatan Tanah Melayu menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.
Akhirnya pihak British bersetuju dalam hal ini dan mengembalikan kedaulatan penuh kepada kerajaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Dengan kata lain Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 bukannya 9 Ogos 1955.
PERJUANGAN RAKYAT
Oleh itu, 22 Julai 1963 sebagai langkah pertama ke arah kemerdekaan Sarawak. Walaupun bukan kemerdekaan sepenuhnya, tarikh tersebut harus menjadi hari mengenang perjuangan rakyat Sarawak menuntut hak pemerintahannya. Sejak 1841 Sarawak dikuasai oleh pemerintahan asing. Keluarga Brooke bertakhta sebagai pemerintah Sarawak. Wilayah-wilayah Sarawak lain enggan menerima pertuanan baharu ini dengan menentang pentadbiran Keluarga Brooke.
Nama seperti Sharif Masahor, Datu Patinggi Abdul Ghapur, Rentap, Ngumbang dan Bantin merupakan orang tempatan yang enggan tunduk pada pemerintahan Brooke. Akhirnya mereka ini dikalahkan satu persatu oleh kerajaan Brooke. Sarawak ketika itu diiktiraf sebagai sebuah negeri baharu oleh Amerika Syarikat dan British. Pada 1888, Sarawak menjadi negara naungan apabila hal ehwal luar serta pertahanannya dibawah jagaan British.
Walaupun pemerintahan keluarga Brooke memerintah secara mutlak tetapi ia masih lagi memerlukan nasihat daripada pembesar Melayu dalam menjalankan pentadbirannya. Pemerintahan Brooke yang bersifat mutlak ini mula diubah apabila Perlembagaan 1941 diperkenalkan. Perlembagaan 1941 ini satu kemajuan dalam memberi taraf berkerajaan sendiri pada penduduk Sarawak.
HARAPAN TERTUNDA
Namun harapan ini tertunda apabila Jepun menyerang Sarawak. Kejayaan Jepun menguasai Sarawak membawa Sarawak ditadbir oleh kuasa asing yang baharu. Dalam dekad pentadbiran Jepun ini terdapat ruang diberi kepada anak tempatan mentadbir Sarawak.
Apabila Jepun kalah perang, harapan besar anak Sarawak untuk memerintah sendiri dan seterusnya merdeka semakin malap.
Raja Vyner Brooke menyerah Sarawak kepada British. Penyerahan Sarawak pada 1 Julai 1946 ini menjadikan Sarawak taraf tanah jajahan dan tindakan ini mengundur ke belakang dalam usaha pemerintahan sendiri.
Atas sebab itu tuntutan telah dibuat oleh persatuan dan penduduk Sarawak yang menentang penyerahan untuk mengembalikan status quo Sarawak.
Hal ini penting kerana mereka mempunyai harapan untuk menjayakan Perlembagaan 1941 bagi memberi ruang kepada anak tempatan memerintah. Namun British tidak peduli dan meremehkan tuntutan ini. Tindakan sambil lewa pegawai British dalam tuntutan ini membawa kepada gerakan lebih keras. Akhirnya Duncan Stewart yang baru sahaja dilantik sebagai gabenor telah ditikam dan meninggal dunia. Detik itu menamatkan gerakan antipenyerahan di Sarawak tetapi harapan untuk memerintah sendiri tidak pernah padam.
Harapan bersinar untuk anak Sarawak memerintah negerinya muncul apabila rancangan pembentukan Malaysia diumumkan pada 1961. Idea ini mendapat sokongan kuat dalam kalangan pemimpin Bumiputera walaupun ada yang menentang. Akhirnya tarikh 22 Julai 1963 menjelma yang membawa simbol penting dalam sejarah Sarawak.
Secara tuntasnya bahawa 22 Julai 1963 walaupun bukan merdeka tetapi ia simbol perjuangan rakyat Sarawak ke arah pemerintahan sendiri dan kemerdekaan. Oleh itu usaha meraikan tarikh tersebut sebagai satu usaha mengenang penat lelah perjuangan penduduk Sarawak untuk mengembalikan pemerintahan kepada anak watannya.
Akhir sekali selamat menyambut Hari Sarawak semoga Sarawak terus maju jaya.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).