KUALA LUMPUR: Pelaksanaan inisiatif Pakej Rahmah Prabayar Siswa langkah terbaik untuk meringankan beban pelajar dalam mendapatkan akses kepada kemudahan telekomunikasi terutama untuk pembelajaran.
Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Prof Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid, bagaimanapun, mencadangkan supaya inisiatif itu diperluaskan ke Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) supaya lebih ramai pelajar dapat menikmati bantuan berkenaan.
“Cuma tawaran ini hanya tersedia untuk pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) sahaja. Saya berharap pakej ini ditawarkan juga kepada pelajar rakyat Malaysia di IPTS supaya mereka juga dapat menikmati bantuan kerajaan,” katanya kepada Bernama.
Beliau mengulas pengumuman Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil baru-baru ini yang memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan Pakej Rahmah Prabayar Siswa pada harga tidak melebihi RM30 dengan minimum permulaan data sebanyak 30GB untuk tempoh sah laku selama 180 hari.
Bagaimanapun, pakej itu dikhususkan untuk pelajar lepasan menengah yang melanjutkan pelajaran di IPTA dan ILKA terpilih dan boleh dilanggan mulai 16 Ogos depan menerusi lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL Communications (YES).
Khairuddin berkata, sebagai sebuah universiti milik kerajaan Sarawak dengan kampusnya di Sibu, UTS sememangnya sentiasa mengalu-alukan inisiatif sama ada daripada kerajaan mahupun syarikat-syarikat telekomunikasi mengadakan pakej prabayar berpatutan kepada pelajar.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Dr Ahmad Hata Rasit berkata, pengenalan pakej berkenaan adalah relevan, sesuai dengan keperluan pelajar dalam mendapatkan liputan dan perkhidmatan Internet lebih baik untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran berkualiti di dalam era transformasi digital pada masa kini.
“UNIMAS akan bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan untuk memastikan pelajar mendapat akses penuh kepada pakej ini seperti menyediakan reruai pusat sehentian di ruangan yang menjadi tempat tumpuan pelajar atau di kolej-kolej kediaman terpilih.
“Selain itu, promosi berkenaan program akan dilaksanakan secara berterusan dan melalui pelbagai saluran komunikasi untuk memastikan semua pelajar tahu dan mengambil peluang menggunakan pakej ini,” katanya.
Sementara itu, penuntut UNIMAS, Fiona Sebie, 35, berkata, inisiatif itu akan menyokong pembangunan pendidikan negara kerana dapat mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi oleh pelajar seperti kos pengangkutan, keperluan harian dan sebagainya.
Rakan seuniversiti Fiona, Rozuan Manduri, 38, pula berkata dalam era digital, akses kepada peranti dan Internet yang baik penting untuk pembelajaran jarak jauh dan pembelajaran di luar kelas.
Di Sabah, penuntut IPTA di negeri itu memohon kerajaan supaya menetapkan Pakej Rahmah Prabayar Siswa pada tahap Internet 5G termasuk di kawasan luar bandar bagi membolehkan mereka menerima kualiti Internet lebih baik berbanding sebelum ini.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Rosa Afdeela Salleh, 22, berpendapat perkara itu boleh dilaksanakan kerana kerajaan sebelum ini pernah melancarkan pakej seumpamanya iaitu Pakej 5G Rahmah pada Ogos tahun lepas.
“Isu utama kita di Sabah ini, kita hadapi masalah kualiti Internet yang tidak baik sehingga menyukarkan kami pelajar melakukan tugasan atau hadiri kelas dalam talian ketika berada di kampung, pakej murah itu baik tetapi kualiti (Internet) itu perlu jadi keutamaan,” katanya.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Sains Data) UMS Muhammad Ifran Izham Abdullah, 22, pula berkata ramai pelajar menggunakan kemudahan wifi berkelajuan tinggi antara 30mbps hingga melebihi 100mbps yang disediakan universiti itu untuk menyiapkan pelbagai tugasan.
Muhammad Ifran Izham bagaimanapun berkata apabila berada di luar kampus seperti pulang ke kampung halaman di kawasan pedalaman situasi agak sukar untuk mereka mendapatkan liputan Internet yang baik. – Bernama