Politik dan teori pertukaran sosial
TEORI pertukaran sosial, seseorang akan menimbang kos interaksi sosial (hasil negatif) terhadap ganjaran interaksi sosial tersebut (hasil positif). Kos dan ganjaran ini boleh bersifat material, seperti wang, masa atau perkhidmatan. Teori ini bukanlah baharu dalam ilmu sosiologi. George Homans yang memperkenalkan konsep ini sejak 1958 melalui penerbitan berjudul ‘Social Behavior as Exchange’.
Yang melakukan kombinasi aspek tingkah laku (behaviorisme) dan asas ekonomi kemudian dikembangkan dengan memperluaskan konsep-konsep khusus. Pada dasarnya, teori ini menjelaskan hubungan dua individu yang dihasilkan berdasarkan analisis ‘kos-faedah’. Ia berbentuk ukuran dalam penilaian terhadap usaha yang dicurahkan oleh seseorang dalam hubungan peribadi.
Pengukuran terhadap kelebihan dan kekurangan dalam sesuatu hubungan dapat memberikan data yang menentukan sama ada seseorang itu melaburkan terlalu banyak usaha dalam hubungan tersebut. Aspek keunikan teori ini terletak pada hakikat bahawa ia tidak semestinya mengukur hubungan berdasarkan metrik emosi. Sebaliknya, ia menggunakan proses sistematik yang bergantung pada matematik dan logik untuk menentukan keseimbangan dalam hubungan. Walaupun teori ini boleh digunakan untuk menilai hubungan romantik, ia juga sesuai digunakan untuk mengukur keseimbangan dalam perhubungan persahabatan dan tahap keintiman.
Prinsip
Berdasarkan prinsip ilmu sosiologi dan psikologi, ia menjelaskan tingkah laku sosial sebagai proses pertukaran, iaitu individu berusaha untuk memaksimumkan manfaat dan meminimumkan kos dalam interaksi mereka dengan orang lain. Ia mencadangkan bahawa hubungan dipertahankan melalui analisis kos-faedah, iaitu individu menilai ganjaran dan kos dalam interaksi dan hubungan mereka.
Teori ini sering menumpukan perhatian kepada dinamik memberi dan menerima dalam hubungan, menekankan kepentingan timbal balik dan keseimbangan pertukaran. Teori pertukaran sosial menjelaskan bahawa situasi sosial, iaitu aktiviti sosial yang saling mencari keuntungan, kelebihan, kesan kebaikan atau manfaat satu sama lain. Apabila terjadi aktiviti tersebut, maka kedua belah pihak saling percaya bahawa mereka dapat memperoleh lebih banyak keuntungan dibandingkan kerugian dan akan mencuba untuk terus berada dalam suatu hubungan sosial tersebut. Sebaliknya, jika orang berasa kerugiannya lebih besar atau kos, tanggungan lebih besar daripada manfaatnya, maka tidak akan meneruskan situasi tersebut.
Konsep utama
Terdapat enam konsep utama dalam teori pertukaran sosial meliputi aspek imbalan (rewards) meliputi manfaat atau keuntungan yang diperoleh dari suatu hubungan, seperti kasih sayang, sokongan, status sosial, atau material. Biaya (cost) berdasarkan ukuran pengorbanan atau kerugian yang dialami dalam suatu hubungan, seperti waktu, tenaga, wang atau tekanan. Keuntungan (profit), iaitu perbezaan antara imbalan dan biaya dalam suatu hubungan.
Hubungan dianggap menguntungkan jika imbalannya melebihi penanggungan biaya. Timbal balik (reciprocity), iaitu harapan bahawa kebaikan atau manfaat yang diberikan akan dibalas oleh pihak lain. Alternatif (alternatives) yang bermakna terdapat pilihan lain yang tersedia bagi individu di luar hubungan yang sedang dijalani, yang dapat mempengaruhi keputusan untuk melanjutkan atau mengakhiri jalinan. Yang terakhir ialah ketergantungan (dependency), iaitu berdasarkan tahap individu bergantung pada hubungan untuk mendapatkan manfaat yang diinginkan.
Teori pertukaran sosial dalam politik
Teori pertukaran sosial dapat diaplikasikan untuk memahami dinamik politik di negara ini berdasarkan situasi sistem politik yang unik dan kompleks yang mempunyai kepelbagaian etnik dan parti politik. Justeru, pentingnya memahami teori pertukaran sosial untuk menjelaskan interaksi antara politik, parti politik dan pengundi serta pembentukan gabungan politik dan proses membuat keputusan.
Hubungan antara politik dan pemilih
Aspek ini dapat dilihat dari segi aspek imbalan dan biaya. Imbalan bagi pemilih dapat dilihat dalam konteks negara ini apabila pemilih atau pengundi mengharapkan pelbagai manfaat daripada parti politik yang mereka sokong seperti bantuan kewangan, contoh Budi MADANI, BR1M, PADU, dasar ekonomi MADANI yang menguntungkan, penambahbaikan infrastruktur yang lebih baik serta mendapat santunan sosial dan pendidikan lebih bermutu.
Kos biaya bagi pemilih atau pengundi pula boleh berlaku sekiranya kecewa apabila janji politik tidak terpenuhi, ketidakpuasan terhadap dasar yang tidak sesuai dengan harapan seperti kenaikan harga diesel dan harga barangan asas serta ketidakstabilan politik apabila ada lompat parti yang mampu mempengaruhi kelangsungan kehidupan seharian.
Timbal balik dan kepuasan
Timbal balik berlaku apabila ahli politik memberikan janji-janji dalam kempen pilihan raya dan manisfesto, dan program-program tertentu untuk mendapatkan sokongan suara daripada pengundi. Sebagai imbalan, pengundi memberikan suara mereka dalam bentuk undi ketika pilihan raya berlangsung. Kepuasan akan berlaku dalam kalangan pengundi akan dipengaruhi oleh sejauh mana ahli politik dan parti politik memenuhi janji-janji mereka dan bagaimana dasar yang dilaksanakan sesuai dengan keperluan dan harapan pengundi.
Pembentukan dan pemeliharaan pakatan politik
Keuntungan bersama berlaku di negara ini apabila pembentukan pakatan politik seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa yang lain berdasarkan keuntungan bersama yang dapat diperoleh oleh parti-parti yang menyertainya. Aspek keuntungan ini termasuklah mendapat kekuasaan politik, pelantikan sebagai Speaker Dewan, mempunyai pengaruh dalam pengambilan keputusan, dan sokongan legislatif. Inilah dibentuk berdasarkan prinsip pertukaran sosial. Pakatan ini dibentuk dengan tujuan mendapatkan kekuasaan politik dan mencapai tujuan bersama, meskipun terdapat perbezaan ideologi di antara parti tersebut.
Ketergantungan berlaku apabila parti-parti dalam pakatan saling bergantung untuk mencapai tujuan bersama. Ketergantungan ini menciptakan dinamik kekuasaan dan ini dapat dilihat apabila parti-parti yang lebih besar atau memiliki sokongan lebih kuat dapat memiliki lebih banyak pengaruh. Misalnya BN, PH dan GPS mendapat jawatan sebagai menteri atau ahli kabinet apabila membentuk Kerajaan Perpaduan.
Pengagihan keadilan
Pengagihan keadilan adalah keberlanjutan pakatan politik di Malaysia bergantung pada persepsi keadilan dalam pengagihan imbalan dan biaya dalam kalangan anggota pakatan politik. Ketika salah satu parti berasa diperlakukan tidak adil, terdapat kemungkinan ada yang mempertimbangkan untuk meninggalkan pakatan yang ada atau mencari alternatif yang lain. Misalnya, ini dapat dilihat apabila Ahli Parlimen Muar keluar dari Kerajaan Perpaduan dan tidak menyokong kerajaan di Dewan Rakyat.
Proses pengambilan keputusan politik
Rasionaliti politik di negara ini dalam membuat keputusan berdasarkan perhitungan rasional mengenai imbalan dan biaya dari pelbagai pilihan dasar termasuk mempertimbangkan kesan dasar terhadap populariti mereka, sokongan perlembagaan, keuntungan politik dan kos politik lain. Perikatan Nasional (PN) tidak mahu menyertai Kerajaan Perpaduan kerana bimbang populariti mereka semakin hilang apabila berada dalam arus perdana dan tidak dapat menjadi Perdana Menteri kerana ada tokoh yang lebih popular lagi. Perhitungan imbalan-biaya dalam legislatif misalnya, orang politik akan mempertimbangkan faktor dasar tertentu dapat mempengaruhi dukungan perwakilan dan tahap dasar sejajar dengan agenda parti.
Alternatif dan kekuasaan
Ahli politik di Malaysia selalu mempertimbangkan alternatif yang tersedia. Jika satu pakatan tidak menguntungkan, mereka mungkin mencari atau menciptakan alternatif lain yang lebih menguntungkan. Misalnya, Noh Omar menyertai Muafakat Nasional dan parti Bersatu kerana kurang saingan untuk berada di barisan hadapan politik negara.
Keberlangsungan
Hakikatnya, kekuasaan dalam politik Malaysia sering kali bergantung pada ketergantungan. Parti yang lebih bergantung pada sokongan pihak lain biasanya memiliki kekuasaan yang lebih rendah. Parti Bangsa Malaysia memiliki kuasa lebih rendah tanpa jawatan Menteri atau Timbalan Menteri, maka dari segi suara agak kurang didengari pihak paling berkuasa.
Dalam kes pertukaran sosial dalam politik di negara ini, dapat dilihat dalam janji kempen pilihan raya untuk untuk menarik sokongan pengundi. Janji-janji ini merupakan imbalan yang ditawarkan kepada pemilih dengan harapan memperoleh undi. Pertukaran sosial berlaku dalam kalangan kelompok kepentingan atau lobi memberikan sumbangan kewangan atau sokongan lainnya kepada politik dengan harapan mendapatkan dasar yang menguntungkan mereka sebagai imbalan. Misalnya, kelompok bisnes akan mendukung politik yang mesra niaga dengan harapan mendapatkan dasar ekonomi yang lebih menguntungkan mereka.
Berdasarkan analisis ini, ternyata teori pertukaran sosial dalam politik Malaysia menyediakan kerangka analisis yang berguna untuk memahami dinamik kekuasaan, pakatan politik dan interaksi antara politik dan pengundi. Ternyata politik adalah sebagai rangkaian pertukaran imbalan dan biaya, dapat difahami akan proses keputusan politik dibuat, pembentukan pakatan politik terbentuk dan dipertahankan. Begitu juga hubungan politik dan pengundi dalam sistem-sistem politik yang kompleks. Juga, dapat diperjelas proses parti-parti politik dan politik disesuaikan dengan perubahan situasi politik dan keperluan kawasan diwakili mereka.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).