SIBU: Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Trailblazer 2024 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) memberikan peluang kepada pelajar di pelbagai peringkat pendidikan untuk melibatkan diri dalam aktiviti STEM yang inovatif dan mencabar.
Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata, penganjuran program tersebut menjadi landasan kepada para peserta untuk mempamerkan bakat dan kreativiti mereka.
Menurutnya, pendidikan STEM adalah penting untuk masa depan negara, dimana ia melengkapkan minda muda dengan kemahiran diperlukan untuk cemerlang dalam dunia yang semakin berteknologi dan dipacu data.
“Kita berbangga untuk menganjurkan pertandingan yang merangkumi pelbagai disiplin yang menarik dan berorientasikan masa depan, daripada projek Raspberry Pi di peringkat sekolah rendah kepada pertandingan Robomaster dan dron untuk pelajar sekolah menengah dan projek berorientasikan penyelidikan untuk siswazah kami.
“Acara ini bukan sekadar pertandingan, ia adalah pengetahuan, kreativiti dan inovasi. Ia adalah peluang untuk pelajar belajar, memahami dan mendapat inspirasi untuk meneruskan kerjaya dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian program tersebut, hari ini.
Katanya, UTS berbesar hati mendapat peluang ini untuk bekerjasama dengan rakan kongsi, termasuk Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dan penaja dalam menganjurkan acara penting ini di Sibu.
“Marilah kita semua bekerjasama untuk memberi inspirasi kepada saintis, jurutera dan inovator generasi akan datang. Penyertaan anda, sama ada sebagai pendidik, ibu bapa atau pelajar, adalah tidak ternilai.
“Mari kita mulakan STEM Trailblazer sebagai pelopor, peneroka dan penggerak ke arah masa depan Sarawak yang maju dan makmur,” katanya.
Majlis pelancaran program tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Turut hadir ialah Program yang berlangsung selama dua hari itu 12 hingga 13 Julai disertai oleh kira-kira seramai 2,600 pelajar dan guru dari seluruh Sarawak.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha Tetap MEITD Adana Jed serta yang lain.
Oleh Akun Giman