KUCHING: Tidak akan ada kenaikan harga untuk gunting rambut ketika salon rambut dibuka semula pada hari Selasa ini.
Hal itu didedahkan oleh Presiden Persatuan Pendandan Rambut Kuching (KHA) Raymond Chin kepada pemberita, semalam.
Bagaimanapun, pelanggan akan diminta untuk membayar tambahan RM5 untuk peralatan perlindungan dan keselamatan seperti pelitup muka, sarung tangan, pencuci tangan pembasmi kuman dan apron pakai buang.
“Kesemua peralatan perlindungan ini untuk melindungi pelanggan ketika mereka menggunting rambut,” ujarnya.
Jelasnya, ini juga adalah sebahagian daripada Prosuder Operasi Standard (SOP) untuk memastikan semua pelanggan di salon rambut menggunakan pelitup muka.
“Selain itu, pendandan rambut juga akan menggunakan pelitup muka, sarung tangan sekali pakai dan apron yang akan diganti dengan set baru setelah setiap pelanggan. Oleh itu, kos tambahan ini juga untuk keselamatan pelanggan,” jelasnya.
Sementara itu, tambahnya, ruang duduk, meja, basin cuci rambut dan alat-alat gunting rambut akan dinyahkuman setelah digunakan oleh setiap pelanggan dan premis akan disanitasi setiap hari.
“Jarak sosial antara pendandan dan pelanggan akan dikawal.
“Pelanggan lain juga tidak dibenarkan menunggu di salon rambut lebih 10 minit.
“Adalah lebih baik sekiranya mereka melakukan tempahan sehari sebelum memotong rambut,” katanya lagi.
SOP lain yang akan dipatuhi oleh pihaknya termasuk pendaftaran butiran pelanggan, pemeriksaan suhu badan sementara makan dan minum di dalam premis dilarang.
“Walaupun hanya potongan rambut yang diizinkan, paling tidak ia dapat meringankan beban banyak industri yang terpaksa ditutup selama hampir tiga bulan,” tambahnya.
Beliau memberitahu, terdapat sekitar 500 salon di sekitar Kuching, dengan masing-masing empat orang pendandan dalam sesebuah salon rambut.
“Saya memiliki dua buah salon rambut iaitu di Kuching dan Kota Kinabalu dengan 17 kakitangan.
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, dianggarkan kerugian sebanyak RM30, 000 telah saya alami,” tegasnya.
Oleh Nur Ain Otsman