SIBU: Usaha mempromosikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu diperhebatkan bagi menangani cabaran kekurangan jumlah graduan di dalam bidang tersebut.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, usaha ini bertujuan memperkasakan belia dengan pengetahuan, kemahiran dan semangat yang diperlukan untuk memacu inovasi, kemajuan teknologi dan pertumbuhan mampan.
Menurutnya, Sarawak bercita-cita tinggi untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030, dengan fokus utama membangunkan ekosistem STEM.
“Kebimbangan telah dibangkitkan mengenai jumlah graduan yang tidak mencukupi dengan kemahiran STEM dan berpotensi memberi kesan kepada pertumbuhan industri dan ekonomi di Malaysia.
“Untuk menangani cabaran ini, kita mesti memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk meneruskan kerjaya dalam bidang kritikal berkaitan STEM ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Program STEM Trailblazer 2024 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), hari ini.
Katanya, MEITD telah menetapkan sasaran mencapai 60 peratus enrolmen dalam sains tulen
selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
“MEITD telah menerajui strategi komprehensif untuk menerapkan pendidikan STEM dalam setiap aspek landskap pembelajaran, sambil bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan persekutuan dalam mempromosikan pendidikan STEM di seluruh Sarawak.
“Selain itu, kementerian juga menumpukan usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, ini penting untuk mengakses sumber global,” ujarnya.
Roland juga berkata, kementeriannya berusaha untuk meningkatkan keseluruhan pengalaman pembelajaran untuk pelajar, mewujudkan pemahaman dan penghayatan sains yang lebih mendalam.
“Inisiatif ini akan merapatkan jurang dalam pendidikan sains antara sekolah bandar dan luar bandar, mencetuskan rasa ingin tahu, meningkatkan kemahiran praktikal dan menyediakan pelajar untuk tenaga kerja IR 4.0,” kata beliau.
“Selain daripada melabur banyak dalam latihan perguruan dan pembangunan profesional dengan melengkapkan pendidik dengan alatan dan pengetahuan yang mereka perlukan untuk memberi inspirasi dan melibatkan pelajar dalam mata pelajaran STEM, MEITD juga komited untuk menyediakan Pusat Sains Sarawak, yang akan dibuka pada 2026,” tambahnya.
Program yang berlangsung selama dua hari itu 12 hingga 13 Julai disertai oleh kira-kira seramai 2,600 pelajar dan guru dari seluruh Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha Tetap MEITD Adana Jed, Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid serta yang lain.
Oleh Akun Giman