DORTMUND, Jerman: Jurulatih Belanda, Ronald Koeman mengakui kekalahan 1-2 di tangan England pada separuh akhir Euro 2024 ‘sukar diterima’ selepas penalti kontroversi dan jaringan minit akhir Ollie Watkins menutup impian mereka ke final.
“Saya kecewa dengan keputusan akhir kerana kami bermula dengan baik,” kata Koeman selepas perlawanan yang menyaksikan mereka meraih gol awal hasil jaringan Xavi Simons.
Harry Kane menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti kontroversi sebelum Watkins meledak gol kemenangan pada minit akhir untuk menempah pertemuan dengan Sepanyol pada final Euro 2024.
Sepakan penalti England hadir selepas percubaan Kane melambung tinggi dan dia seolah-olah dikasari oleh pertahanan Belanda, Denzel Dumfries.
Sentuhan Dumfries hanya sedikit dan tampak tidak berbahaya namun pengadil dari Jerman, Felix Zwayer memberikan sepakan penalti selepas meneliti monitor video bantuan pengadil (VAR).
“Apa yang anda boleh lakukan sebagai pemain pertahanan? Pada pandangan saya, ia bukanlah sepakan penalti.
“Kita tidak boleh bermain bola sepak dengan betul kerana VAR. Ia merosakkan bola sepak.”
Koeman turut berasakan pasukannya dapat mengawal permainan selepas kemasukan Joey Veerman, menggantikan Memphis Depay yang mengalami kecederaan sekali gus membolehkan mereka mengekang serangan England.
“Kami berdepan kesukaran di bahagian tengah untuk menyekat pemain seperti Jude Bellingham dan Phil Foden.
“Kami tidak mengawal permainan tetapi kami melakukan sedikit pertukaran supaya dapat mengawal permainan. Kami pasukan yang lebih baik dalam 20 minit terakhir perlawanan.
“Tetapi ia berakhir pada minit ke-90. Satu jaringan yang hebat dan semuanya berakhir, jadi ia sesuatu yang sukar untuk diterima.”
Dalam perkembangan lain, Koeman percaya England mampu memberi saingan kepada Sepanyol pada aksi final, awal pagi Isnin ini.
“Saya rasa England menunjukkan permainan yang hebat selepas ketinggalan 1-0 pada babak pertama.
“Mereka kini berada di final dan berpeluang untuk memenanginya. Sepanyol bermain pada tahap yang sangat tinggi tetapi England boleh menghentikan mereka, kenapa tidak?” – AFP