KEBANYAKAN kita rakyat biasa sukar untuk membezakan antara projek persekutuan dan yang dibiayai kerajaan Sarawak khususnya mengenai projek bekalan air. Sebab itu, apabila Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2024 Siri 2 mendedahkan sehingga Oktober 2023, terdapat 36 projek di Sarawak dan Sabah dengan kos jumlah lebih RM1.5 bilion masih dalam perancangan, walaupun telah mendapat kelulusan pada 2016, 2017 dan 2018, menyebabkan ramai terkejut.
Menurut LKAN gangguan bekalan air di Sarawak dan Sabah yang tidak ditangani dengan baik menyebabkan penduduk luar bandar di dua negeri ini, masih tidak dapat menikmati bekalan air bersih dan terawat. Dalam pada itu, semakan audit terhadap Laporan Bajet Program dan Prestasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi projek tersebut mendapati, baki peruntukan projek BALB Retikulasi Sarawak pada 2017 berjumlah RM1.24 juta dan RM4.98 juta bagi projek BALB Sabah pada 2020, tidak menggambarkan jumlah baki yang sebenar pada tahun tersebut.
Apabila media melaporkan isu ini, orang ramai terutama nitizen di media sosial terus mengecam kepemimpinan Sarawak sehingga keesokan harinya dijelaskan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi bahawa laporan Ketua Audit Negara itu adalah salah satu laporan audit yang merujuk kepada pengurusan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dibiayai Kerajaan Persekutuan melalui KKDW.
Ini disusuli kenyataan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa bekalan air yang dibiayai oleh kerajaan Sarawak tidak mengalami sebarang masalah, kerana yang bermasalah adalah projek Kerajaan Persekutuan.
“Ketua Audit Negara memaklumkan bahawa Sarawak mengalami masalah air tetapi yang dibiayai oleh kerajaan Sarawak tiada masalah. Saya letak RM4 billion (peruntukan bekalan air) ketika menjadi Ketua Menteri dan Premier Sarawak, terpaksa menggunakan duit sendiri tetapi yang bermasalah ialah bekalan air yang dibiayai oleh Persekutuan.
“Semuanya dibuat di Putrajaya, perunding dan syarikat juga Putrajaya yang melaksanakannya, perlu ikut cara mereka. Itu masalahnya, kadangkala duit (peruntukan) tidak datang,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei (HIITS) 2024 di Kuching, baru-baru ini.
Seperti kata Julaihi, kesemua proses pra-kontrak yang merangkumi urusan pelantikan perunding, Makmal Pengurusan Nilai, pelawaan tender, penilaian tender, penganugerahan kontrak dan pelantikan kontraktor adalah diuruskan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan melalui KKDW.
Sepatutnya KKDW mencontohi kaedah diguna pakai oleh Kementerian Kewangan dengan mengiktiraf dan menjadikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182. Ini diumumkan pada 4 Januari 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan melalui pengiktirafan itu, JKR Sabah dan Sarawak diberi kuasa melaksanakan tadbir urus secara sendiri bagi projek pembangunan Persekutuan pada kadar sehingga RM50 juta.
Dalam projek bekalan air dikendalikan oleh KKDW, menurut Abang Johari, semuanya diuruskan di Putrajaya termasuk perundingan. Maknanya KKDW boleh menurunkan kuasa kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) untuk melaksanakan projek bekalan air dengan menyediakan dana sahaja dan biar JBALB mengendalikan projek itu, bagi mengurangkan karena birokrasi serta mempercepatkan pelaksanaan.
Sebenarnya Sarawak sudah memulakan langkah desentralisasi iaitu menurunkan kuasa untuk projek pembangunan di luar bandar melalui penubuhan sembilan agensi di peringkat wilayah.
Desentralisasi
Agensi itu adalah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA) dan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Agensi ini diketuai oleh menteri atau timbalan menteri di kawasan terbabit dengan anggotanya terdiri daripada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan sama. Mereka bermesyuarat secara berkala, merangka dan mencadangkan projek untuk rakyat di kawasan masing-masing. Pendekatan ini lebih praktikal daripada merangka program pembangunan dari jauh di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya seperti sebelum ini.
Menurut Abang Johari, setiap agensi itu menerima peruntukan RM1.5 bilion untuk digunakan dalam tempoh tiga tahun sebelum dana tambahan diperuntukkan. “Ini bermakna membuat keputusan dikendalikan oleh pemimpin tempatan (melalui agensi itu) yang kita panggil desentralisasi. Jika tidak, semuanya akan diuruskan secara berpusat di Petra Jaya, semuanya dilakukan di Wisma Bapa Malaysia,” katanya.
Diharapkan KKDW, kementerian yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melihat aspek ini dan menurunkan kuasa kepada agensi teknikal di Sarawak untuk projek bekalan air. Malah, diharapkan juga Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof melontarkan idea ini apabila mengadakan perjumpaan dengan pihak KKDW bagi menyelesaikan isu bekalan air di Sarawak secara tuntas membabitkan projek persekutuan.
Seperti kata Julaihi, banyak projek persekutuan lewat dilaksanakan kerana karenah birokrasi dan prosedur yang panjang. “Sebagai contoh, sebanyak 12 projek BALB yang diluluskan antara 2016 hingga 2018 mengambil masa yang agak lama dan pembinaan masih belum bermula seperti yang telah dilaporkan dalam laporan audit tersebut,” katanya.
Julaihi menjelaskan isu kelewatan pelaksanaan projek BALB dibiayai Kerajaan Persekutuan melalui KKDW pernah beliau bangkitkan dan jelaskan beberapa kali semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada November 2023 dan Mei 2024 lepas.
Katanya, kelewatan itu telah menyebabkan projek yang dirancang tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak.
“Ini seterusnya juga telah memberi kesan kepada rakyat Sarawak yang lama menunggu bekalan air di kawasan masing-masing. Saya amat berharap agar Kerajaan Persekutuan melalui KKDW memberi perhatian serius terhadap laporan audit tersebut,” katanya.
Beliau juga menyarankan agar peruntukan projek BALB di bawah KKDW disalurkan terus kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak sebagai agensi pelaksana dengan mengguna pakai tatacara dan prosedur pelaksanaan projek kerajaan Sarawak. Ini katanya, bagi mengurangkan karenah birokrasi dan prosedur yang panjang sekali gus dapat mempercepatkan pelaksanaan projek agar rakyat Sarawak dapat menikmati bekalan air seperti yang telah dirancang.
Apapun, bila bercakap mengenai bekalan air, akan ada nitizen tidak puas hati berdasarkan hakikat bahawa masih banyak kawasan yang belum menikmati kemudahan bekalan air bersih atau air terawat. Walaupun berbilion ringgit diumumkan kerajaan untuk projek bekalan air, selagi air paip tidak mengalirkan air bersih dan bekalannya tidak terputus, selagi itulah kita akan mendengar runggutan itu. Mereka gelisah!
Cabaran meyakinkan rakyat
Ini satu cabaran bagi kerajaan untuk meyakinkan rakyat. Meyakinkan mereka bukan dengan jaminan, tetapi ‘secara senyap’ yakni bekalan air sentiasa menitis dengan lancar pada paip air di rumah, tiada berlaku kekerapan gangguan.
Namun kerajaan tetap melaksanakan projek bekalan air dan usaha juga sedang dilakukan untuk menggantikan paip lama di seluruh wilayah ini.
Menurut Julaihi selaku menteri bertanggungjawab mengenai bekalan air, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana yang besar dalam menyediakan perkhidmatan bekalan air di seluruh Sarawak yang dilaksanakan oleh agensi pelaksana seperti JBALB, Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan LAKU Management Sdn Bhd (LAKU).
Katanya, sejak 2018, sejumlah RM4 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan Sarawak di bawah peruntukan pembiayaan alternatif bagi melaksanakan 304 projek bekalan air yang kini masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
“Setakat ini, sebahagian besar projek tersebut iaitu sebanyak 262 projek bersamaan 86 peratus telah disiapkan, 38 projek atau 13 peratus sedang dalam pembinaan manakala empat projek atau satu peratus lagi sedang dalam perancangan. Di samping itu, kerajaan Sarawak juga telah meluluskan siling peruntukan sejumlah RM809 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) bagi pelaksanaan 127 projek bekalan air.
“Secara keseluruhannya, sejumlah 431 projek bekalan air dibiayai kerajaan Sarawak sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 288 projek atau 67 peratus telah disiapkan, 44 projek bersamaan 10 peratus sedang dalam pembinaan manakala 99 projek lagi atau 23 peratus sedang dalam perancangan.
“Projek ini juga telah membantu meningkatkan liputan bekalan air terutamanya di kawasan luar bandar iaitu daripada 61.9 peratus pada 2018 meningkat kepada 70.5 peratus setakat ini.
“Ini menjadikan liputan bekalan air seluruh Sarawak sehingga kini adalah 85.4%. Selain usaha untuk melaksanakan projek baharu bekalan air, kerajaan Sarawak juga akan melaksanakan program menaik taraf dan menggantikan paip lama serta uzur
sepanjang 2,742km secara berfasa di seluruh Sarawak dengan kos peruntukan berjumlah RM1.085 bilion melalui pembiayaan alternatif,” katanya.
Diharapkan apabila semua perancangan itu berjalan lancar, rakyat menikmati air terawat yang mengalir ke rumah tanpa sebarang gangguan lagi.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.