Oleh: Abang Median Abang Said
KARYA sastera sangat dekat dengan kehidupan manusia kerana karya sastera akan bercerita tentang kehidupan manusia. Sastera dan kehidupan saling berkait dan sangat intim untuk membentuk naratif. Pada dasarnya, karya sastera menjadi refleksi kehidupan manusia. Konsep, falsafah, moral serta tatanan nilai selalu disuguh oleh pengarang sebagai sarana komunikasi yang membentuk misi tertentu.
Cerpen mengangkat kebenaran yang diciptakan, digayakan, dipadatkan, serta diperkukuh melalui kekuatan imaginasi penulis cerpen terhadap para pembacanya. Naratif mengalir melalui watak utama dalam cerita dan berakhir melalui nasib yang dialami watak tersebut. Menurut Edgar Allan Poe – seorang pelopor cerita pendek yang cukup terkenal dari Amerika – sesebuah cerpen hanya memiliki sebuah Handlung (sebuah aktiviti) dan zentrale Person (satu tokoh utama). Perkara yang sama cuba dilakukan oleh Benjamin Asin – seorang penulis yang mempunyai pengucapan bahasa yang menarik – melalui cerpennya “Kepompong Maya”.
Terdapat banyak pendekatan sastera – psikoanalisis, ginokritik, takmilah, stilistik dan lain-lain – namun pendekatan struktural amat serasi untuk menilai keseimbangan sastera terutama untuk penulis-penulis baharu yang turut mencakupi tentang naratif, penyusunan idea, binaan plot dan tema yang cuba diketengahkan. Keseimbangan antara bahan-bahan sastera itulah yang akan menentukan sama ada karya tersebut mempunyai kekukuhan untuk berdiri sebagai karya yang baik.
Pendekatan ini merupakan sarana untuk menganalisis unsur-unsur karya sastera di samping kaitannya dengan unsur lain secara keseluruhan sebagai kesatuan. Kekuatan suatu karya dapat dinilai iaitu melalui fungsi dari setiap unsur. Tanpa analisis ini kebulatan makna yang hanya dapat digali dari karya itu sendiri tidak akan terungkap. Makna dari unsur-unsur karya sastera itu hanya dapat difahami dan dinilai sepenuhnya atas dasar pemahaman tempat dan fungsi unsur-unsur itu secara menyeluruh. Kupasan kali ini cuba menilai tentang rincian struktur cerpen “Kepompong Maya” untuk menilai kekukuhan binaannya.
Binaan plot cerpen ini bermula dengan kemarahan watak “aku” atau “Amelyn Rose” kerana ditipu ribuan ringgit semasa menjual produk kesihatan secara dalam talian. Perkara tersebut begitu menghantui fikiran “aku” sehingga dia cuba berhati-hati agar penipuan tersebut tidak berulang. “Aku” dalam cerpen ini digambarkan sedang menetap bersama-sama keluarga mentuanya di Pakistan, tempat asal Andreas – iaitu suaminya. Ada beberapa kekeliruan atau kesilapan yang dilakukan oleh pengarang dalam cerpen ini. Menurut pengarang :”Andreas bukan nama asalnya, tetapi nama Facebooknya”.
Namun pengarang menyatakan bahawa nama asalnya ialah Andreas Aaron Heston Johnson D’Caesar. Tidakkah itu menunjukkan bahawa Andreas itu sememangnya nama asalnya suami “aku” ? Perkara ini begitu mengelirukan dan turut mengganggu kelancaran pembacaan.
Selain itu, pembaca turut tertanya-tanya: Mengapa “Amelyn” tinggal dan menetap di Pakistan? Pada bahagian permulaan cerpen digambarkan bahawa “aku” meminta Andreas membelikannya komputernya yang telah agak ketinggalan zaman sehingga agak lembap untuk “aku” melakukan urusan kerjanya. Adakah “Amelyn” bekerja di Pakistan? Bekerja sebagai apa? Adakah Andreas turut mengikuti “aku” ke Pakistan? Sedangkan pada perenggan awal diterangkan bahawa bapa mentuanya – Dr. Adriel Maxmiller Johnson D’Caesar merupakan seorang pensyarah Teknologi Maklumat di salah sebuah kolej antarabangsa tempatan di Malaysia. Ayah mentuanya dibesarkan di Singapura, menjadi warganegara Malaysia sebelum menetap di Sabah. Fakta-fakta yang bertindih sehingga pembaca terus mengikuti naratifnya dengan sangsi telah menjejaskan struktur cerpen ini.
Dalam penulisan cerpen, sebuah alur dan jalan cerita yang tegas serta memiliki rangka yang berstruktur akan menjadi penanda kualiti cerpen berkenaan. Pengarang perlu teliti dalam membina perincian tentang watak dan perwatakan. Gambaran yang keliru akan terus memandu pembaca ke ruang kekaburan yang turut akan menumpulkan minat pembaca.
Umpamanya, pengarang menyatakan bahawa Andreas mempunyai seorang adik iaitu Andrian yang digambarkan sedang menyiapkan projek tahun akhir universiti bagi kursus Teknologi Maklumat dan Komuniti. Pengarang ada menulis tentang pandangan “aku” terhadap Andrian: “tidak mungkin remaja sementah itu tidak mengenali dunia teknologi terkini”.
Tentunya Andrian lebih muda berbanding watak “aku” yang telah berusia 27 tahun. Walau bagaimanapun, pengarang menyatakan bahawa Andrian dan Andreas merupakan adik beradik kembar seiras. Mana satu yang tepat? Adakah Andreas lebih muda berbanding watak Amelyn? Tapi adakah Amelyn akan beranggapan bahawa Andreas juga merupakan remaja mentah seperti Andrian? Perkara ini sangat mengganggu dan merencatkan naratif yang diolah oleh pengarang.
Sebagai penulis, pengarang boleh membuat catatan atau membuat jadual agar pengisian atau ciri-ciri watak tidak bercelaru apabila diolah dalam deskriptif cerpen. Pengarang tentunya tidak menyedari tentang kesilapan tersebut. Pembacaan kali kedua atau ketiga sangat perlu sebelum karya itu dihantar kepada editor agar sebarang kesilapan mampu dihindari.
Pengarang seperti cuba berpegang dengan ciri-ciri cerpen menurut Edgar Allan Poe yang tidak terikat dengan pembukaan. Pengarang Amerika ini sukakan pengakhiran yang mengambang atau tergantung. Hal ini dapat diertikan bahawa cerita pada cerpen terus menjurus pada inti cerita. Pengakhiran dalam cerita pendek tersebut masih menyisakan pertanyaan kepada para pembaca. Kegiatan analisis unsur-unsur sastera itu perlu dilakukan untuk mengapresiasikan karya sastera walaupun kegiatan menganalisis ini bukan satu-satunya jalan atau lorong yang mutlak. Dalam mengapresiasikan karya sastera, penilaian itu dapat dilakukan secara intuitif, intelektual ataupun kedua-duanya sekali.
Secara intelektualnya, cerpen “Kepompong Maya” memperkatakan tentang masalah penipuan dalam media sosial (dalam cerpen ini merujuk kepada Facebook) yang banyak berlaku; kadangkala tidak disedari oleh pengguna media berkenaan. “Aku” yang berasa fobia dengan penipuan yang berlaku kepada dirinya sebelum ini telah menerima permintaan kawan baru yang menggunakan nama Adriano. Tentunya perasaan aku bercampur-baur. Masih ada rasa khuatir. Pada masa yang sama “aku” turut berasa teruja kerana bilangan kawan di Facebooknya akan bertambah lagi (dikatakan sudah mencecah seribu orang). Pengarang menggambarkan kesangsian watak “aku” apabila lelaki yang ingin menjadi sahabat Facebooknya mempunyai garis senyuman yang manis persis senyuman suaminya. Potongan rambutnya digayakan kemas. “Aku” berasa sangsi kerana tidak mengenali sesiapa bernama Andriano yang mahu menjadi rakannya itu. Dari gambar foto, lelaki bernama Andriano itu mungkin sama usia dengan Andreas, suaminya.
Kesangsian watak “aku” menyebabkannya cuba mengaitkan watak Andriano dengan Andreas. Dia beranggapan bahawa Andreas cuba mengujinya dengan menyamar menjadi Andriano. Kemudian ada juga terlintas di fikirannya bahawa adik iparnya iaitu Andrian yang menyamar menjadi Andriano walaupun dia menyedari bahawa Andrian begitu sibuk dengan Projek Tahun Akhirnya. Cerpen “Kepompong Maya” hanya berkitar tentang kesangsian dan ketakutan Amelyn Rose tentang penipuan dalam media sosial. Namun pengarang hanya membicarakan gelodak perasaan Amelyn Rose hanya pada bahagian luaran. Pergolakan emosi tidak digambarkan secara rinci dan tuntas. Gambarannya hanya pada bahagian permukaan. Terdapat lompang besar yang perlu diisi oleh pengarang untuk menjadikan karyanya lebih bermakna. Jangan biarkan lompang itu kosong begitu sahaja.
John Gardner, penulis Amerika (1933-1982) pernah mengatakan bahawa gagasan seseorang penulis adalah hal-hal yang menjadi kepeduliannya. Sememangnya jelas, pengarang peduli tentang masalah penipuan melalui media sosial yang berleluasa sejak kebelakangan ini. Watak “aku” berasa tertipu dengan mengalami kerugian ribuan ringgit apabila menjual produk kesihatan. Namun pengarang tidak merincikan penipuan tersebut. Adakah produk itu tidak berkualiti? Adakah produk itu tidak diperoleh sedangkan duit modalnya sudah diberi? Bagaimana pula dengan pengguna yang membeli produk kesihatan itu daripada “aku”? Sepatutnya pengarang memberikan perincian yang lebih mendalam untuk mengupas permasalahan yang menghambat perasaan watak utama cerpen berkenaan. Isu penipuan yang dialami oleh watak utama dan diolah menjadi pendahuluan cerpen hanya dikupas dengan sangat minimum dan kabur.
Isu-isu penipuan melalui media sosial ini ada pelbagai. Umpamanya, pengguna-pengguna media sosial selalu menggambarkan kebahagiaan yang dialami biarpun jiwa mereka dalam kesengsaraan. Penampilan secara fizikal melalui pengeditan juga merupakan penipuan. Lantas kekaguman telah diberikan pada tempat yang salah. Semua itu merupakan penipuan melalui media sosial. Media sosial dijadikan eskapisme untuk mengalih realiti kehidupan yang memeritkan. Namun pengarang telah mengambil jalan yang sangat sederhana dengan memperkatakan tentang penipuan yang diolah secara luaran sahaja.
Cerpen yang ditulis oleh Benjamin Asin ini juga menampilkan pengakhiran yang mengambang – tidak ada kesimpulan atau kata putus yang ditinggalkan oleh pengarang. Terpulang kepada pembaca untuk mengapresiasikannya apabila digambarkan bahawa makcik kepada Andreas juga dikaitkan sebagai penyamar watak Andriano. Dia mempunyai semangat yang berkobar-kobar untuk menambah bilangan kawan-kawan Facebooknya kerana terlibat sebagai penjual kosmetik kecantikan sehingga Amelyn Rose akan menjadi rakannya yang ke-500.
Di samping memperkatakan tentang kekhuatiran “aku” dengan media sosial, pengarang juga telah memberikan sedikit gambaran tentang bagaimana watak utama cerpen ini yang berkenalan dengan suaminya melalui media sosial. Pertembungan idea antara kesan positif dan kesan negatif media sosial cuba diseret oleh pengarang melalui watak Amelyn Rose.
Untuk memahami karya sastera sepenuhnya sebagai struktur yang bermakna, kebenaran harus disedari sebagai tanda. Pada dasarnya analisis struktural bertujuan memaparkan secermat mungkin fungsi dan keterkaitan antar berbagai unsur karya sastera yang secara bersama menghasilkan sebuah keseluruhan. Ada beberapa elemen yang dapat diteliti untuk memberikan lebih kejelasan kepada pengarang tentang tahap karyanya. Elemen-elemen tersebut dapat difokuskan sebagai berikut :
- Bagaimanakah alur atau binaan plot dalam cerpen ini?
- Bagaimana pula aspek watak dan perwatakannya?
Dua soalan ini disatukan kerana mempunyai satu jawapan yang jelas. Masalah gambaran perwatakan yang longgar dan menimbulkan kesangsian kepada pembaca seperti yang dijelaskan pada awal penulisan ini telah menyebabkan aspek binaan plot cerpen ini tidak menyatu dengan baik. Ada banyak kemusykilan antara sebab dan akibat yang tidak dirincikan oleh pengarang.
3. Bagaimanakah latar dalam cerpen “Kepompong Maya”?
Latar tempat yang dipilih oleh pengarang yang berlaku di Pakistan tidak digambarkan dengan jelas. Bagaimana cuaca di Pakistan? Adakah tempat-tempat yang menarik yang boleh diberikan sedikit gambaran untuk meninggalkan kesan estetik kepada pembaca? Pembaca tidak diberikan nilai tambah tentang latar tempat atau latar masyarakat dalam cerpen ini.
Mungkin pengarang boleh merincikan tentang makanan masyarakat Pakistan sewaktu minum petang apabila Andrian sibuk menyiapkan tugasan pengajiannya. Atau boleh juga sewaktu kehadiran ibu saudara Andreas yang datang berziarah. Gambaran latar yang rinci boleh meninggalkan kesan emosi kepada pembaca untuk meresap masuk ke dalam naratif cerpen berkenaan. Bacalah bagaimana A. Samad Said menulis novel Salina sehingga pembaca berasa seperti berada di Kampung Kambing sewaktu zaman perang Dunia Kedua biarpun kampung berkenaan hanya hidup dalam imaginasi pembaca pada zaman milenium ini. Bacalah novel karya Shahnon Ahmad sehingga pembaca berasa seolah-olah berada di kampung Banggul Derdap. Memahami kegetiran hidup Lahuma dan Leha menjadikan naratifnya melekat dalam minda. Ada kesan intuitif yang begitu mendalam.
Latar tempat memiliki beberapa fungsi iaitu sebagai penyebab suatu peristiwa terjadi, misalnya lingkungan sekitar sebagai pangkal sebuah konflik. Latar tempat juga berperanan untuk menggambarkan perwatakan secara tidak langsung dan mengungkapkan perasaan hati yang terkait dengan pengalaman watak. Maknanya, latar tempat bukan hanya menjadi tempelan yang tidak mempunyai kaitan dengan naratif atau klimaks yang hendak ditulis.
Seorang Penyair Inggeris iaitu C. Day Lewis pernah mengatakan : Kita menulis tidak untuk difahami tetapi untuk memahami.
Antara kekuatan pada pengarang tentunya ialah dari aspek bahasanya. Pengarang teliti dalam memilih diksi dan mengaplikasikan gaya bahasa sastera dalam karyanya sehingga menarik minat pembaca. Bahasa yang diolah oleh pengarang terasa segar seperti penggunaan gaya bahasa metafora pada pendahuluan cerpen berkenaan :
- Semuanya kerana halusinasi alam maya yang menanahkan langit nasibku.
- Ruang suram menyelimuti seluruh perasaan kesal dengan segala perkara silam yang telah dilaluiku.
- Kota Pakistan kencang berdenyut.
Sememangnya pengarang mampu menjadikan karyanya sebuah karya yang menarik jikalau mampu memanipulasi bahasa dalam pengolahan karya. Namun pengarang juga perlu menyusun plot cerpennya dengan baik. Begitu juga dengan gambaran perwatakan perlu diolah selari dengan naratif cerpen yang digarap. Semua ini akan membentuk struktur cerpen yang kukuh kerana saling berjalin erat atau saling terkait antara elemen-elemen sastera yang mendukungnya dalam suatu sistem.
Pengarang tentu tahu serta faham tentang peranannya untuk menghasilkan karya yang berkualiti kerana telah banyak menghasilkan cerpen sebelum ini yang begitu baik dan merupakan penulis muda yang sangat menjanjikan. Yang penting, pengarang perlu terus konsisten untuk menulis.
Samuel Beckett, sasterawan Ireland (1906-1989) pernah menegaskan: Selalu berusaha. Selalu gagal? Tidak mengapa. Cubalah lagi. Gagal lagi? Itu tentunya gagal yang lebih baik.
Semoga pengarang keluar dari kepompong karyanya untuk menjadi rama-rama di taman sastera yang indah.