KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) ingin memaklumkan bahawa sejak Minggu Epidemiologi 1 Tahun 2024 (ME 1/2024) jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan menunjukkan penurunan.
Jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan pada ME 26/2024 adalah sebanyak 3,810 kes berbanding dengan 17,256 kes pada ME 1/2024 (penurunan 77.9 peratus).
Jumlah kes kematian Covid-19 juga menunjukkan penurunan dari 22 kes pada ME 1/2024 kepada tiada kes pada ME 26/2024 (penurunan 100 peratus).
Sehingga kini, tiada varian baharu yang dikesan di Malaysia.
Varian yang sedang menular di Malaysia adalah masih varian Omicron, dengan subvariannya yang terdiri daripada Variant of Concern (VOC), Variant of Interest (VOI), dan Variant Under Monitoring (VUM).
Sehingga 29 Jun 2024, sebanyak 854 kumulatif kes Currently Circulating Variant of Interest (VOI) telah dilaporkan dengan pecahan kes sebanyak 581 kes JN.1 dan sublineages (68 peratus); 233 kes EG.5 dan sublineages (27.3 peratus); dan 40 kes BA.2.86 dan sublineages (4.7 peratus).
Bagi VUM, Malaysia turut melaporkan subvarian baharu yang disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu LB.1 sebanyak 12 kes (57.1 peratus). Namun begitu, subvarian yang sedang menular ini tidak menyebabkan jangkitan yang lebih teruk kepada individu yang dijangkiti.
Malaysia seperti negara-negara lain di dunia telah menghadapi pandemik COVID-19 sejak 2020.
Setelah lebih empat (4) tahun mengharungi Covid-19 dengan pelbagai kaedah untuk menanganinya, negara sekarang berada dalam situasi yang lebih baik dan bersedia untuk peralihan fasa hidup bersama Covid-19.
Sehubungan itu, KKM telah mengemaskini keperluan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (Home Surveillance Order – HSO) dan keperluan pemakaian pelitup muka adalah seperti berikut:
1. Perintah Pengawasan dan Pomeranian (Home Surveillance Order – HSO)
i. Individu yang positif COVID-19 akan dirawat sama seperti jangkitan saluran pernafasan yang lain dan tidak lagi diberikan HSO.
ii. Walau bagaimanapun, individu tersebut masih berpotensi menyebarkan jangkitan COVID-19. Oleh itu, atas tanggungjawab sosial, individu tersebut digalakkan untuk:
· kekal berada di rumah atau tempat kediaman;
· elakkan berinteraksi rapat dengan orang lain dan sentiasa mengamalkan langkah-langkah kawalan dan pencegahan kesihatan awam sekiranya perlu keluar rumah atau tempat kediaman; dan
· dapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya gejala berterusan atau bertambah teruk. Pemberian Sijil Cuti Sakit dan rujukan ke hospital (jika perlu) adalah berdasarkan penilaian Pegawai Perubatan yang merawat.
iii. Kontak rapat kepada kes positif Covid-19 digalakkan memantau gejala dan tahap kesihatan.
Sekiranya gejala berterusan atau bertambah teruk, dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan berhampiran.
iv. Kes positif Covid-19 tidak perlu melaporkan status positif ujian kendiri dalam aplikasi MySejahtera.
2. Pemakaian Pelitup Muka
i. Individu disahkan positif Covid-19 digalakkan memakai pelitup muka, meminimumkan interaksi sosial, dan mengelakkan tempat yang sesak;
ii. Individu yang bergejala seperti batuk dan selesema, digalakkan memakai pelitup muka, terutama ketika berada di fasiliti kesihatan atau tempat yang sesak dengan pengudaraan yang kurang baik; dan
iii. Petugas kesihatan digalakkan untuk memakai pelitup muka ketika berada di fasiliti kesihatan, terutamanya semasa menguruskan pesakit selaras dengan amalan kawalan dan pencegahan jangkitan.
Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (Home Surveillance Order – HSO) dan keperluan pemakaian pelitup muka akan berkuat kuasa pada 15 Julai 2024.
Walaupun kita akan memasuki peralihan fasa hidup bersama Covid-19, KKM akan sentiasa memantau situasi terkini Covid-19 di peringkat global dan Malaysia.
KKM mempunyai kaedah pemantauan untuk menilai situasi Covid-19 sejak fasa awal pandemik yang dikenali sebagai Sistem Amaran Awal (Heightened Alert System – HAS) dan masih digunakan sehingga kini.
Tiga (3) indikator yang dipantau dalam HAS ialah kes baharu Covid-19, kes kematian Covid-19, dan kemasukan kes Covid-19 ke hospital.
Peningkatan kes dari semasa ke semasa adalah dijangkakan dan orang ramai disarankan untuk hidup bersama Covid-19 dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan seperti berikut:
i. Kerap mencuci tangan dengan air bersih dan sabun/ pensanitasi;
ii. Memakai pelitup muka terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi mendapat jangkitan, individu yang bergejala, atau apabila berada di tempat tertutup/ sesak; dan
iii. Golongan yang berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 (seperti umur 60 tahun dan ke atas serta mempunyai masalah perubatan), disarankan untuk mengambil dos tambahan vaksin Covid-19.
KKM mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas peranan bersama dalam memerangi Covid-19.
Komitmen dan kerjasama rakyat Malaysia adalah kunci kepada kejayaan pencapaian peralihan fasa hidup bersama Covid-19.
Namun begitu, kita tidak boleh alpa dengan situasi semasa.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah perlu untuk memperkasakan diri, menjaga kesihatan masing-masing, serta mencegah daripada mendapat jangkitan atau menularkannya kepada orang lain. – Bernama