APABILA berbicara mengenai antipenyerahan, naratif tentang hal ini lebih terarah kepada apa yang berlaku di Kuching. Kebiasannya akan menyentuh peranan yang dimainkan oleh Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS). Dalam PKMS ini dibicarakan tentang tokoh penting yang memainkan peranan dalam gerakan antipenyerahan seperti Datu Patinggi Abang Abdillah, Johari Anang, Abang Ikhwan Zaini, Abang Zaini, Lily Eberwin dan lain-lain.
Mereka melakukan pelbagai usaha membantah penyerahan Sarawak kepada British. Pusat kegiatan mereka pula lebih kepada Kuching. Namun demikian gerakan ini sebenarnya melebar luas di seluruh Sarawak. Jika diteliti fail British dari Kew Garden, London menampakkan bahawa gerakan antipenyerahan ini telah tumbuh di beberapa bandar dan pekan di luar Kuching. Walaupun ada tuduhan pihak British mengatakan perjuangan antipenyerahan ini tidak mendapat sambutan tetapi mereka juga mengawasi gerakan ini di beberapa kawasan di Sarawak.
SEKITAR BAHAGIAN PERTAMA
Ini kerana gerakan antipenyerahan di Kuching memainkan peranan penting dalam menyebarluaskan kesedaran tentang penyerahan. Ahli-ahli PKMS bergerak aktif dalam memaklumkan tentang hal ini. Beberapa individu daripada mereka telah pergi ke luar Kuching untuk membuat penerangan tentang hal ini. Hal ini menjadi kerisauan pihak British.
Beberapa individu dari Kuching dikenal pasti oleh British menjadi ejen yang mengembangkan kesedaran tentang penyerahan Sarawak. Di Lundu pihak British telah mendapat maklumat bahawa individu yang dinamakan Jais memain peranan penting dalam kempen antipenyerahan. Di Serian pula PKMS dan Persatuan Dayak Sarawak bergiat aktif pada Julai 1947 untuk mengadakan kempen penerangan tentang penentangan penyerahan.
Pegawai British juga cuba menyekat pergerakan mereka di Serian dengan cuba mencari beberapa bukti untuk menangkap beberapa individu yang disyaki sebagai pihak antipenyerahan. Hal ini terjadi kepada salah seorang penyokong antipenyerahan iaitu Orang Kaya Japar dan ada usaha dibuat untuk mendakwa beliau. Bau juga tidak ketinggalan dalam radar kesedaran antipenyerahan.
British mengenal pasti Bol Hassan sebagai orang yang mengerakkan usaha ini di Bau. British juga cuba mencari bukti untuk mendakwanya dengan alasan bahawa beliau telah melakukan peras ugut. British juga mendakwa bahawa Bol Hassan sebagai orang yang terlibat dalam sebagai editor surat khabar propaganda Jepun.
MELEBAR BAHAGIAN KEDUA
Bahagian Kedua juga tidak sunyi daripada kesedaran tentang isu penyerahan Sarawak kepada British. Beberapa pemimpin Melayu dan Dayak menunjukkan sokongan kepada usaha mengembalikan status Sarawak kepada keadaan asal. Ini kerana mereka risau bahawa pemerintahan koloni British akan membawa kepada kemasukan kapitalis asing ke Sarawak. Hal ini dilihat akan mengancam kedudukan dan kepentingan kaum Bumiputera di Sarawak.
Antara mereka yang dikatakan aktif oleh British dalam gerakan antipenyerahan ini adalah Langgir. Walaupun beliau menafikan hal ini, pihak British masih sangsi kepada aktiviti beliau di Spaoh.
Abang Noral Alam, bekas guru besar di Betong pula aktif dalam Persatuan Melayu di Betong. Beliau telah dilantik sebagai setiausaha bagi persatuan tersebut. Selain beliau beberapa individu lagi yang bergerak aktif menentang penyerahan di Betong adalah Wan Drahman, (Tukang) Yamam, Mat Zakir dan Jagat.
SUARA DARI RAJANG
Suara-suara penentangan terhadap penyerahan Sarawak kepada British juga berkumandang di Rajang dengan wujudnya pergerakan beberapa persatuan di situ. Salah satu persatuan yang aktif dalam mengerakkan penentangan kepada penyerahan ini adalah PergerakanPemuda Melayu (PPM).
Yang Dipertua PPM, Mohd. Sirat H. Yaman pernah menghantar surat kepada Gabenor Sarawak, Sir Charles Noble Arden Clarke tentang sekatan Anthony Brooke ke Sarawak. Dalam surat itu beliau menyatakan bahawa penduduk Bumiputera Sarawak yang menjemput Anthony Brooke ke Sarawak. Beliau menambah bahawa Anthony Brooke tidak seharusnya dihalang melawat Sarawak.
PPM juga mengadakan perarakan pada Julai 1947 di Sibu bagi mengenang tamatnya pemerintahan Brooke dan menunjukkan rasa penentangan terhadap penyerahan Sarawak. Perarakan tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Kesedaran untuk mengembalikan kemerdekaan Sarawak itu juga menjalar sampai ke Matu. Salah satu surat ditulis oleh M. Ikok Marudin kepada Gabenor Sarawak bahawa penduduk Bumiputera di Matu tidak menyokong penyerahan Sarawak kepada British. Beliau menyangkal bahawa majoriti penduduk Matu menyokong penyerahan seperti dinyatakan oleh Gabenor Sarawak.
AKTIVITI DI BARAM
Di Baram pula pemimpin-pemimpin Melayu telah mengadakan hubungan dengan pemimpin antipenyerahan di Kuching. Salah seorang pemimpin Melayu di Marudi yang aktif dalam menjayakan usaha ini adalah Wan Zin.
Beliau sendiri telah datang ke Kuching untuk mendapat maklumat tentang aktiviti antipenyerahan.
Pada 1947, beliau telah membawa beberapa poster antipenyerahan, gambar Anthony Brooke dengan tandatangan beliau dan bendera Sarawak yang dibuat daripada kertas untuk diedarkan di Marudi. Beliau menjadi ejen yang menyebar luaskan tentang apa sebenarnya berlaku di Sarawak. Namun demikian usaha beliau ini menemui banyak cabaran kerana kebanyakan penduduk di pedalaman Baram tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku.
Malah penduduk di pedalaman yang ditemui oleh Wan Zin tidak mengetahui siapakah Anthony Brooke tetapi membeli poster tersebut. Selain Wan Zin usaha untuk mengiatkan lagi aktiviti penentangan terhadap penyerahan ini digerakkan oleh Kipli T. K. Osman. Beliau yang datang dari Bintulu telah singgah ke Marudi dan kemudiannya Miri.
Di Miri, beliau telah mengadakan mesyuarat dengan Persatuan Melayu. Beliau telah memberi penerangan tentang kedatangan Anthony Brooke bersama isterinya ke Miri.
Catatan ringkas ini menunjukkan bahawa gerakan antipenyerahan di Sarawak bersifat menyeluruh.
Pelbagai pihak sama ada individu mahupun persatuan telah menyebar luaskan pemahaman tentang perubahan status Sarawak yang telah menjadi koloni British.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).