Oleh: Mohidin Haji Malek
APABILA kita membaca sebuah puisi yang baik, hal yang pasti, keindahan puisi berkenaan akan dapat kita rasai. Bagi seseorang yang kuat daya imaginasinya, akan dapat digambarkan perasaan sang penulis ketika melahirkan puisi berkenaan. Puisi yang dinukilkan dengan baik, mampu membuat pembaca menangis, ketawa, terkedu, insaf, teruja, tercabar, bertafakur di samping terkocak tasik mindanya. Namun, jika sebuah puisi itu kurang bertenaga, pembaca tidak akan dapat merasai apa-apa. Kosong. Apa yang tertulis cuma sekadar kata-kata yang membentuk rangkap-rangkap. Itu sahaja.
Penulisan sebuah puisi, seperti yang pernah dinyatakan, berupa rakaman sebuah pengkisahan. Bezanya berbanding karya kreatif lain seperti cerpen atau novel adalah apa-apa yang ingin diceritakan, diungkap dalam bait-bait dan rangkap-rangkap yang ringkas, tuntas dan padat. Dari awal hingga ke akhir, penulis cuba menceritakan perihal sesuatu situasi atau peristiwa yang dilihat atau dialaminya dengan menggunakan kata-kata yang indah dan disusun dalam bentuk yang indah. Mesejnya boleh sahaja langsung dan boleh juga berlapis atau berkias. Langsung dengan erti kata mesejnya hanya satu serta jelas. Berlapis, dengan erti kata ada makna yang lebih mendalam yang ingin dilontarkan oleh penulis, dan memerlukan penaakulan yang mendalam untuk pembaca merungkai serta memahaminya.
Menulis atau menghasilkan sebuah puisi ibarat menyediakan suatu bentuk sajian atau hidangan. Lantaran hal yang sedemikian itu, sesebuah karya memerlukan adunan rempah ratus atau resipi yang seimbang untuk muncul sebagai “juadah” minda yang sihat untuk dihidangkan kepada khalayak pembaca, agar mereka berasa puas yang menginginkan hidangan selanjutnya, sama ada yang setara, mahupun lebih enak daripada itu. Ekoran daripada hal yang sedemikian, elemen keenakan itu akan tersebar dari mulut ke mulut.
Dalam konteks penulisan, pembicaraan tentang sebuah karya sudah pastinya mampu menganjak, bukan sahaja karya berkenaan, akan tetapi turut menjulang nama pengkaryanya. Hal yang tidak mustahil sekiranya seseorang itu sanggup mengorbankan masa untuk melakukan “uji kaji” atau pemurnian yang sudah pastinya mengambil masa yang panjang dan usaha yang berterusan.
Puisi yang bermutu, seperti yang dimaklumi, ialah puisi yang mempunyai keseimbangan antara bentuk luaran dengan bentuk dalamannya. Keseimbangan inilah yang memberi keindahan bahasa dan keindahan makna pada sesebuah puisi itu. Oleh sebab itu, seseorang yang hendak menulis puisi mestilah mengambil kira aspek keseimbangan ini. Bentuk luaran ialah ciri-ciri yang membina sesebuah puisi tersebut. Ciri-ciri ini dapat dilihat. Baris, bunyi, pemilihan kata, bahasa figuratif, kata konkrit, kata abstrak, penyimpangan bahasa dan tipografi merupakan bentuk luaran puisi.
Struktur dalaman puisi pula terdiri daripada tema, perasaan, nada atau sikap dan mesej. Tema adalah idea utama yang hendak disampaikan oleh seseorang penyair dalam sesebuah puisi. Antara tema dalam puisi termasuklah keagamaan, kemanusiaan, nasionalisme, ekonomi, politik dan seumpamanya. Perasaan ialah suasana perasaan penyair yang diikutsertakan dalam puisi dan dapat dihayati oleh pembaca. Perasaan tersebut mungkin simpati, sedih, benci, marah, kasihan, pasrah dan sebagainya. Nada ialah sikap penyair terhadap pembaca. Sikap penyair mungkin menggurui atau mengajar, mengejek, menasihati, dan menceritakan sesuatu kepada pembaca. Mesej ialah perkara yang mendorong seseorang penyair itu menulis puisi. Mesej ialah elemen yang tersirat di sebalik tema yang diungkapkan.
Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said pernah mengungkapkan bahawa, “Biasanya insan seni amat berhati-hati, sentiasa menghalusi, sentiasa menilai, rajin berwaras dan bersabar mengeram sesuatu sebelum mencernanya menjadi karya seni. Seniman ialah petani seni yang berfikir, di samping cepat tersentuh oleh sesuatu angin peristiwa atau ribut pengalaman.” Kenyataan beliau merangkumi apa-apa yang diperkatakan di atas. Penulis membentuk serta menghasilkan karya yang telah ‘ranum’ dari segi pengolahannya setelah dieram serta dicerna sebaik-baiknya untuk disajikan kepada khalayak pembaca untuk membangkitkan kepuasan dan lantas menyemarakkan dunia kepenulisan itu sendiri.
Dengan mengambil kira apa-apa yang diperkatakan, pemakalah ingin membicarakan tentang tiga buah puisi yang telah disiarkan dalam ruangan ini pada minggu lalu, iaitu “Intifadah” oleh Siti Hajar Ahmad, “Wanita dan Tangisan Malam” nukilan Halimah R, dan “Warkah dari Emma” karya Zieyra Alih. Tiga buah puisi ini membawa tema yang berbeza.
Sajak “Intifadah”, selaras dengan maksudnya, berkisar tentang perjuangan untuk menuntut kebebasan, khususnya di bumi Palestin. Konflik yang bermula sejak 7 Oktober 2023 itu menarik perhatian dunia. Penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin akibat kekejaman rejim Zionis membuahkan reaksi luar jangka masyarakat dunia yang mengecam genosid yang dilakukan. Hal yang sedemikian inilah yang memunculkan ilham untuk menghasilkan puisi, khususnya. Menghasilkan sebuah karya tentang sesuatu peristiwa yang sedang berlaku, pada lazimnya menarik minat khalayak pembaca untuk menyantuninya.
Namun, perlu diingatkan bahawa dalam situasi seperti yang berlaku di Gaza, elemen emosi memainkan peranan penting. Seperkara lagi yang perlu diambil ingatan adalah kenyataan bahawa apa-apa yang dihasilkan berupa persepsi semata-mata dan bukannya pengalaman sebenar. Hal yang sedemikian sedikit sebanyak memberi kesan terhadap penitipan perasaan dalam karya yang dihasilkan.
Lewat puisi “Intifadah”, Siti Hajar dilihat berusaha untuk menerapkan elemen perasaan dalam karyanya. Namun, hal yang sedemikian tidak dapat diterapkan sepenuhnya. Dalam rangkap pertama, digambar akan keperitan yang harus didepani demi mempertahankan tanah warisan. Pada rangkap kedua pula dinukilkan tentang kesiapsagaan para pejuang untuk menegakkan panji perjuangan, manakala rangkap akhir, melontarkan peringatan kepada kaum Yahudi bahawa akan berlaku kebangkitan pejuang-pejuang untuk mengembalikan maruah bangsa yang tanah kelahirannya dijarah.
Dari aspek bahasa, khususnya dalam aspek pemilihan diksi untuk membentuk bait-bait yang mengesankan, Siti Hajar perlu berusaha untuk mendalami ilmu bahasa. Dalam konteks puisi seperti ini, pemilihan diksi yang tepat mampu mengocak kolam rasa khalayak pembaca, dan seandainya gagal berbuat demikian, puisi yang dihasilkan akan menjadi hambar. Misalnya rangkap pertama boleh sahaja diringkaskan menjadi “di bumi yang terdera/lolongan intifadah kocak semangat/anak-anak para anbia/pertahan maruah/tanah warisan yang dijarah”. Dalam penghasilan puisi, faktor ekonomis perlu diambil kira. Ekonomis namun padat dan tepat. Begitu juga halnya bagi rangkap kedua. Dipaparkan semula karya berkenaan sebagai imbasan kembali.
Intifadah
Di tanah ini,
mereka hidup dalam mati
mati dalam hidup
genggam teguh kalimah agung
meski bernafas dalam relung debu
raungan tenggelam dalam perut
tangisan darah membasuh muka
harapan mengacip gigi
namun semangat menjulang dada
marak dalam intifadah!
Bahawa penyerahan sesungguhnya
adalah jiwa yang tak pernah ingkar
nafas yang tidak pernah gentar
memperjuang bumi anbia
melindungi kesucian Baitul Maqdis.
Nun di sana,
dari sungai hingga lautan
dari udara hingga daratan
segerombolan mujahidin siaga
menegak panji membela makna manusiawi
mempertahan agama suci
dari rakusnya muslihat tangan dan lidah para kolonial.
“khaibar khaibar ya yahud,
jaisyu Muhammad saufa ya’ud”
(Berjaga-jagalah wahai Yahudi,
tentera Muhammad pasti kembali)
Lewat puisi “Wanita dan Tangisan Malam” pula, Halimah R mengisahkan tentang penderitaan yang dialami wanita setelah bergelar isteri. Kebahagiaan yang diimpikan cuma seketika. Alam rumah tangga menjadi ibarat neraka akibat penderaan jasad dan jiwa. Linangan air mata berupa tafsiran suara hati yang mampu dicurahkan. Puisi ini bernada sedih dan mampu mengocak perasaan khalayak pembaca, khususnya wanita, seandainya penukilannya dilakukan dengan teliti serta mengambil kira pemilihan diksi yang tepat dan mengesankan. Untuk memurnikan puisi ini memerlukan penyelaman yang dalam ke lubuk hati insan yang bergelar wanita.
Satu aspek kelemahan yang terkesan ialah penitipan perasaan. Membaca serta menaakul puisi ini tidak menimbulkan kesan yang mendalam dalam sanubari pembaca. Seperti yang dinyatakan pada bahagian awal makalah ini, puisi yang baik penukilannya mampu menyentuh perasaan khalayak pembaca. Tidak bermakna puisi ini tidak baik. Persoalannya baik, namun perlu dimurnikan pengolahannya agar menjadi sebuah karya yang mampu menyentuh jiwa pembaca. Penulis menukilkan puisi ini seperti berikut;
Wanita dan Tangisan Malam
Wanita itu
asalnya, bahagia atas lafaz
aku terima nikahnya.
Sepurnama bersama
ibarat neraka
neraka yang bagaimana?
langkahnya diperkuda
mencuba bertahan selama mana.
tapi,
apalah kudrat seorang wanita
didera jasad dan jiwa.
akhir nekad,
sudah sebati redha
bergelinangan air mata
menemani malam dunia
memujuk diri sepi cinta
menerima takdirNya
akal meraung gila
jasad dipukul derita
langkah longlai hampa
diperlaku hamba.
Gugur air mata
lena.
Siangnya macam biasa.
Puisi yang terakhir, “Warkah dari Emma” tulisan Zieyra Alih berupa titipan perasaan Emma dalam sebuah warkah. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada warkah ini ditujukan khusus kepada Zieyra. Boleh sahaja diandaikan bahawa warkah ini ditujukan kepada orang lain, akan tetapi diserahkan kepada Zieyra untuk ditafisrkan maksudnya. Segalanya berkemungkinan. Daripada warkah ini dapat difahami bahawa insan bernama Emma cuba bangkit daripada situasi yang melemahkan atau mematahkan semangat dirinya. Walaupun agak kabur dari segi faktor penyebab ‘kekecewaan’ itu, namun dapat diandaikan bahawa aspek pendustaan atau pembohongan berupa punca Emma ‘rebah’.
Pengolahan sajak ini agak baik, namun masih terdapat ruang penambahbaikan dari segi pemilihan diksi yang sesuai serta pembinaan bait-bait yang mengesankan. Sebagai contoh, baris kedua dan ketiga yang dinukilkan “kau mungkin tidak memahami/mengapa aku terus melihat daun-daun gugur” memperlihatkan binaan frasa yang indah, akan tetapi baris yang selanjutnya, iaitu “seperti ada sesuatu di sana/seakan mengundangku memandangnya” sedikit sebanyak melunturkan keindahan yang telah dilakarkan. Apa-apapun, secara keseluruhannya, terlihat sinar kematangan Zieyra dalam berkarya. Berikut puisi yang beliau nukilkan;
Warkah dari Emma
Sahabatku,
kau mungkin tidak memahami
mengapa aku terus melihat daun-daun yang gugur
seperti ada sesuatu di sana
seakan mengundangku memandangnya
hampir bertahun aku terkurung
terasa diseru oleh jiwa yang tak kuketahui
berbisik
melalui pepohonan dan hembusan angin
yang meniup melalaikan
aku bangkit
mencari jiwa yang hampir hilang
di tengah badai ombak lautan
mencari
ke mana perginya kekuatanku dulu
yang tidak kenal erti penat dan lelah
tapi akhirnya rebah dan bersendirian
ku gagahkan juga diri
melihat dunia yang penuh kata dusta
di sebalik indahnya kata
tapi siapa saja yang mengenal dunia nyata ini
yang ditutupi dengan seribu satu rahsia.
Secara keseluruhannya, ketiga-tiga buah puisi yang dihasilkan agak baik. Masih ada ruang untuk melakukan pemurnian. Mengimbas kembali kata-kata Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, “insan seni amat berhati-hati, sentiasa menghalusi, sentiasa menilai, rajin berwaras dan bersabar mengeram sesuatu sebelum mencernanya menjadi karya seni”. Lantaran itu, sesebuah karya yang dihasilkan harus melalui proses pengeraman, dan dalam jangka waktu berkenaan, usaha mencerna serta menghalusi karya perlu dilakukan untuk menjadikannya sebuah karya seni yang bermutu. Tugas pengkarya adalah untuk memaknakan keindahan seni karya.
Seperkara yang turut dinyatakan beliau adalah “perkara pertama yang perlu adalah membaca; kedua, membaca; ketiga, membaca; keempat, membaca; dan kelima barulah menulis”. Tuntasnya perbanyakkan kegiatan membaca untuk menambah ilmu dan jadikan kamus sebagai teman setia semasa berkarya.
Tahniah kepada ketiga-tiga pengkarya. Teruslah berkarya dan tingkatkan usaha untuk menghasilkan karya seni yang indah, bermakna dan bermutu.
Salam sastera. Bahasa nadi bangsa.