Oleh: Benjamin Asin
CELAKA!
Aku teringat kisah diriku ditipu ribuan ringgit semasa menjual produk kesihatan secara dalam talian. Semuanya kerana halusinasi alam maya yang menanahkan langit nasibku. Tetapi aku tidak bersalah! Aku hanya dibuai kelekaan masa itu. Ruang suram menyelimuti seluruh perasaan kesal dengan segala perkara silam yang telah dilaluiku.
Kini, aku telah melupakan segalanya. Aku tinggal bersama keluarga mentuaku di Pakistan, tempat asal Andreas. Seperti biasa setiap hujung minggu kembali, banyak sekali kerja rumah yang perlu disiapkan di banglo dua tingkat itu. Namun, aku sedaya upaya menyiapkannya. Tabiat rajin sudah sebati dengan diriku. Tidak mahu menangguhkannya sebab hari lain memang teramat sibuk dengan kerja.
Andrian Aron Bryan Johnson D’Caesar atau nama manjanya dalam keluarga, Andrian, masih sibuk menyiapkan tugasan universiti di ruang tamu rumahnya. Kelihatan jarinya ligat menari di papan kekunci untuk mendapatkan mukadimah bagi Projek Tahun Akhir Universiti bagi kursus Teknologi Maklumat dan Komuniti. Masih mencari idea untuk memulakannya. Mungkin merumitkan. Matanya memandang jauh ke arah taman bunga di luar. Pemandangan hijau mungkin menenangkan fikirannya. Namun, kesesakan jalan raya boleh dilihat dari rumah. Kota Pakistan kencang berdenyut. Namun, usahanya masih diteruskan untuk menfotosintesis projeknya.
Dunia kegawatan akibat pandemik Covid-19 yang semakin membarah, mengingatku pada Andreas yang bertangguh membeli laptop baru untukku. Yang ada pun sudah mencecah sepuluh tahun, sudah tidak canggih lagi. Alasannya, kerjanya sibuk memanjang, kegawatan ekonomi dan perlu bersabar, dan perlu menyimpan duit jikalau dirinya dibuang kerja seperti rakan-rakan sekerjanya yang lain.
Aku menerima alasan itu dengan berat hati walaupun pergerakan menghidupkan laptopku memang terlalu lambat ibarat menunggu siput mengengsot dan rakan-rakan sekerja yang lain sudah memiliki laptop canggih.
Tiba-tiba ada deringan bunyi mesej dan kerlipan lampu menyala dari telefonku dari arah sofa ruang tamu. Gangguan pertama di hujung minggu, segala kerja rumah tertangguh tidak sampai sepuluh minit sebelum itu. Gangguan seperti ini memang tidak mahu dinantikanku. Tetapi, hujung minggu bersendirian di rumah amat membosankan.
Ya, Facebook!
Terpampang notifikasi. “Permintaan kawan baru. Klik di sini untuk melihatnya.”
Aku teruja. Jumlah kawan Facebook akan bertambah lagi. Sudah mencecah seribu orang. Mungkin permintaan ini dari seseorang yang dikenalinya. Lantas diklik untuk melihatnya. Aku berdebar dalam mengharapkan imej seorang remaja lelaki yang sungguh kacak di skrin. Seorang remaja lelaki berpotongan rambut yang rapi dengan senyuman mengancam. Imaginasi terus membawa kepada potret manis.
Foto pun dimuat turun. Namanya, Andriano.
Aku terkejut. Sungguh melucukan. Aku tidak mengenali sesiapa bernama Andriano yang mahu menjadi rakanku itu. Namanya juga bukan nama biasa. Dari gambar foto, lelaki bernama Andriano mungkin sama usia dengan Andreas, suamiku sendiri.
Aku klik pada profil. Keliru. Melihat dengan lebih penuh teliti. Caranya senyum sama dengan suamiku. Alamak! Buku kegemaran ialah The ICT Revolution: Productivity Differences and The Digital Divide dan The Internet Of Things dan buku Internet of Things A To Z: Technologies And Applications oleh John Wiley and Sons Ltd.
Wau! Status, berkahwin. Apa dia?
Aku berfikir pantas dalam mencari petunjuk. Mungkin ada penjelasan. Ada sesuatu yang tidak kena. Aku tidak mengenali lelaki bernama Andriano yang nampak sebaya dengan Andreas. Kenapa dia mahu jadi rakan Facebook? Aku tidak mahu ditipu lagi.
Tahun 2019, bergraduat dari universiti. Sama dengan tahun dengan suamiku menjadi graduan. Ketika itu, titik permulaan apabila aku mula mengenali Andreas sepenuhnya.
Andreas kacak orangnya. Kulitnya putih kuning kemerah-merahan. Tubuhnya tinggi lampai dan seimbang dengan mulut, hidung dan matanya yang sempurna. Andreas bukan nama asalnya, tetapi nama Facebooknya. Sesungguhnya, pengalaman berkenalan dengannya melalui alam maya umpama menyerahkan seluruh cinta yang tidak serupa.
Nama asalnya, Andreas Aaron Heston Johnson D’Caesar. Bapanya seorang pensyarah Teknologi Maklumat di salah sebuah kolej antarabangsa tempatan di Malaysia. Dr. Adriel Maxmiller Johnson D’Caesar dilahirkan di Pakistan dan dibesarkan di Singapura, menjadi warganegara Malaysia sebelum menetap di Sabah. Andreas anak sulung daripada dua orang adik beradik, Andrian adiknya, mereka kembar seiras lelaki.
Kesempatan berkenalan dan bermesra di dunia tanpa sempadan melalui platform facebook selama lima tahun menjanjikan ikatan cinta kami semakin bersemi.
Mungkinkah Andriano mahu menyamar sebagai suaminya, Andreas yang mengaku seorang pelajar di salah sebuah universiti luar negara? Atau mungkin salah seorang kawan suaminya yang menyamar sebagai pelajar Teknologi Maklumat yang mahu mengintip pergerakan serta aktivitinya secara online? Tidak mungkin Andrian menyamar sebagai Andriano?
Semacam satu kepompong baru apabila seseorang itu menukarkan agamanya melalui alam maya walaupun tidak sekalipun bersua muka. Tetapi, semua itu berdasarkan cinta. Cintanya kepada diriku dan cinta kepada agama adalah dua perkara berbeza. Tiada apa yang mustahil. Andreas seorang yang tidak terkecuali. Segala hukum, segala rukun dipelajarinya tanpa sedar.
***
Aku terus bergegas ke arah ruang tamu. Andrian sedang asyik menaip di komputer riba.Aku cuba mengintip gerak-gerinya dengan berpura-pura menyapu di hadapannya. Walaupun matanya fokus pada skrin komputer, tetapi jarinya leka menaip pada telefonnya. Sudah menjadi trend sebahagian remaja masa kini penuh khusyuk bermedia sosial tanpa menghiraukan keadaan sekelilingnya. Entah apa yang cuba dikemaskininya sehingga matanya nampak berpinar.
“Adriano. Apakah kamu mengenalinya?” Aku bertanya kepada Adrian dengan penuh berhati-hati.
Adrian mengalihkan pandangan dari skrin telefonku. Andrian begitu terkejut dan terkeliru. Bukan sahaja aku mengganggu penyiapan projek Tahun Akhirnya, tetapi juga bertanya sesuatu yang bersifat peribadi bagi dirinya.
“Apa dia Amelyn? Andriano?”
“Ya, Andriano yang kelihatan seperti kamu mungkin menyamar dalam Facebook!”
“Facebook? Tak mungkin!” Suaranya agak tinggi dan bergetar, sehingga fokusnya terganggu.
Ternyata Andrian menyembunyikan sesuatu yang musykil walaupun dirinya kelihatan tidak tahu menahu langsung mengenai Facebook. Sesuatu yang tidak mengejutkan kerana kesibukan Andrian dengan Projek Tahun Akhirnya. Tetapi aku masih bersangka buruk dengan adik iparku sendiri, tidak mungkin remaja sementah itu tidak mengenali dunia teknologi terkini. Sejurus itu, mak cikku Puan Mary tersengih-sengih senyum dan jarinya menatal skrin telefonnya ketika membuka pintu rumah.
Apakah aku harus bersangka buruk terhadap Andrian walaupun dia seakan-akan menyembunyikan sesuatu dariku? Namun, biarlah kebenaran terbukti suatu hari nanti. Begitu juga dengan mak cikku, Kehidupan onlinenya belum dieksplorasi sepenuhnya. Dirinya tidak mahu sebarang gangguan. Dirinya juga sentiasa sibuk dengan media baharu seperti Instagram, Tik Tok dan laman web peribadinya yang menjadi perjalanan hidupnya. Laman web yang mengandungi sejarah peribadinya yang penuh mendukacitakan.
“Maaf! Sahaja menduga Andrian!”
Aku terus berlari masuk ke bilik tidur. Andrian dan mak cikku terpinga-pinga. Berpandangan sebelum kembali khusyuk kepada skrin masing-masing.
Aku berasa lega sebaik kembali menatap profil Andriano di Facebook. Andriano bukan adik iparnya. Tidak mungkin adik iparnya menyamar sebagai Andriano.
Tetapi persoalan lebih besar menerjah fikiranku. Siapakah sebenarnya Andriano? Bagaimana dia mengenali aku? Mengapakah dia mahu menjadi rakanku? Mungkinkah ada udang di sebalik batu? Dalam dunia tanpa sempadan ini, ramai orang jahat dalam dunia siber yang mahu mengambil kesempatan terhadap dirinya, begitu kata suaminya.
“Berhati-hati! Tiada privasi dalam dunia Internet. Dunia internet seluas langit di angkasa. Jangan terlalu mendedahkan butiran peribadi. Berbahaya. Lebih baik menyamar daripada berterus-terang!”
Kata-kata suaminyanya masih segar. Aku tidak sesekali menyamar dalam facebook. Hanya dalam Instagram.
Aku menghela nafas lega apabila mengetahui adik iparku bukan Andriano dan mungkin tidak tahu mengenai siapakah penyamar Facebook itu. Jaringan Facebook sudah dianggotai lebih 300 juta manusia. Andriano mungkin daripada golongan lima puluhan yang sama menjadi penagih fenomena jaringan sosial siber bernama Facebook.
“Mereka ini kadang-kala sekadar pemerhati senyap yang berbahaya. Facebook merupakan jaringan kegembiraan buat anak-anak muda. Golongan yang masih banyak masa untuk dibuang begitu sahaja. Golongan yang tidak mempunyai banyak tanggungjawabnya.”
Begitulah kata Kayla, kawan baikku yang mempunyai lebih ramai rakan Facebook kerana memang Kayla seorang yang mementingkan glamor. Memang ada persaingan sesama mereka, penagih tegar Facebook mengenai jumlah rakan-rakan. Kalau lebih ramai bermakna lebih popular dan lebih disanjung tinggi.
Begitulah juga perspektifku yang baru mencecah usia 27 tahun. Aku hanya menerima kawan-kawan yang sebayaku, yang dikenaliku dan rakan sekerjaku. Lebih-lebih lagi kepada saudara-mara terdekatku. Apalagi teman rapat suamiku. Tetapi bukan semua orang yang aku kenal kerana mereka hanya mengambil kesempatan atau berniat serong kepadaku.
Dek kerana itu jumlah rakanku juga terhad dan tidak banyak. Aku cukup berhati-hati. Dengan pelbagai cerita jenayah terkini dan gangguan seksual melalui siber, aku mengambil berat semua berkaitan privasi.
“Kenapa Maya?”
Tiba-tiba suara lembut mak cik mengejutkan aku. Cepat-cepat aku menutup skrin telefon bimbitku. Cuba mencari jawapan yang tidak membongkar sesuatu yang ingin dirahsiakan. Kehidupan online melalui Facebook.
“Tiada apa-apa!”
Mak cikkunya tersenyum sinis. Mendekati aku. Duduk di birai katil.
“Sebentar tadi mak cik terdengar mengenai Facebook!”
Aku memandang mak cikku dengan penuh kejutan. Berkerut mukanya yang sedikit tua. Memang sesuatu yang tidak disangka. Mak cikku hanya seorang seller produk Mary Kay dan menjualnya secara dalam talian. Mak cikku mengikuti ayah mertuaku ke Pakistan dan mencari pendapatan sampingan dengan menjual produk kecantikan. Bukan tidak mahu berniaga di Malaysia, tetapi niatnya ingin mengembangkan sayap perniagaan sehingga ke luar negara di samping menghabiskan lebih banyak masa bersama kami di sini.
“Mak cik tahu tentang Facebook?”
Mak cikku terus tersenyum. Menatap wajahku yang membesar dalam kehidupan kosmopolitan. Dalam era dunia siber. Dalam dunia moden sebuah negara Pakistan yang masih berpegang pada tradisi dan ketamadunannya.
“Tentu! Mak cik tidak sekadar tahu menjual produk Mary Kay secara online!”
Aku terdiam seketika. Mak cikku tidak mempunyai komputer. Sekadar telefon mudah alih sahaja. Rakan-rakannya juga terhad di kalangan ekspatriat Malaysia. Tidak bercampur dengan masyarakat tempatan yang agak terbuka.
“Bagi pengetahuan Maya, rakan-rakan mak cik telah memperkenalkan Facebook, kami telah menggunakan komputer di kafe Internet kat tingkat bawah … memang seronok, bukan sekadar berkomunikasi untuk sesama kawan di Pakistan, malah melalui Facebook, mak cik juga dapat menjejak kawan-kawan lama, teman lelaki baru dari serata dunia, berkongsi cerita, penipuan kewangan dalam talian, permainan dan foto keluarga!”
Aku semakin berdebar mendengar lantunan suara mak cikku yang teruja. Mak cikku menyendiri setelah kehilangan suaminya sepuluh tahun lepas. Selama ini aku memandang rendah keupayaan mak cikku terhadap teknologi masa kini. Sekali lagi, aku mempunyai persepsi yang salah terhadap generasi dewasa masa kini.
Tiba-tiba ada lintasan menyambar mindaku. Prasangka bertalu-talu mengikat nadi hatiku. Apakah mak cikku menyamar sebagai Andriano? Apakah mak ciknya termasuk golongan berusia lima puluhan yang mengganggu ketenteraman Facebook? Mahu menjejak aktiviti diriku secara online? Apakah mak cikku mengikis harta kekayaan keluarga ini secara diam-diam? Apakah peristiwa silamku berkaitan penipuan kewangan akan berulang kembali? Tetapi aku tidak berani untuk meluahkan prasangka buruk yang menyelimuti minda seketika itu.
“Wow! Mak cik pun sudah jadi ahli Facebook?”
Terus mak cikku log masuk Facebook pada skrin telefon aku.
“Sekarang mak cik tahu akaun Facebook Amelyn Rose. Nanti mak cik akan buat permintaan untuk menjadi rakan Amelyn Rose, rakan kepompong Facebook mak cik yang ke-500!”