KUCHING: Seramai 423 anggota keselamatan dari pelbagai agensi digerakkan untuk menjaga keamanan sepanjang berlangsungnya Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2024 mulai esok hingga Ahad ini.
Festival muzik tahunan bertaraf antarabangsa yang diadakan di Kampung Budaya Sarawak (KBS) dengan kira-kira 10,000 pengunjung setiap hari, meraikan kepelbagaian muzik dunia dan menampilkan penghibur terkenal dari seluruh dunia.
Bagi mengelak berlakunya perkara yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan mendatangkan kemudaratan, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyarankan orang ramai agar sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak polis.
Selain itu, katanya, mematuhi undang-undang dan arahan yang dikeluarkan sepanjang berlangsungnya festival muzik berkenaan.
“IPD Kuching berada dalam keadaan kesiapsiagaan yang tinggi untuk penugasan jaga aman sepanjang festival ini, yang melibatkan seramai 32 pegawai dan 277 anggota polis, 20 anggota RELA, 74 pengawal keselamatan dari Mahafiz Security serta 20 dari Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS),” katanya.
Pihak polis menegaskan bahawa penggunaan atau menerbangkan dron di kawasan festival adalah tidak dibenarkan tanpa kelulusan atau permit.
“Mana-mana individu yang didapati menerbangkan dron tanpa kelulusan dan kebenaran CAAM adalah melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya.
Dalam pada itu, pengunjung juga dinasihatkan agar tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan sehingga boleh menghalang kelancaran lalulintas, sebaliknya perlu mematuhi arahan para petugas untuk meletakkan kenderaan di tempat letak kenderaan yag telah disediakan.
Bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, orang ramai juga boleh memilih untuk menaiki bas ulang-alik atau van yang disediakan oleh pihak penganjur dari pusat bandar tapak festival.
Oleh Nur Ain Otsman