SUDAH 30 tahun Sarawak tidak menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA) setelah kali terakhir mengungulinya pada 1994 di Perak. Dua kali lagi jadi juara ialah ketika SUKMA di Kuching pada 1990 dan 1992 di Johor. SUKMA mula diperkenalkan pada 1986. Namun dalam tempoh tiga dekad lalu, Bumi Kenyalang biasanya berada dalam kelompok lima terbaik. Namun, Sarawak juga acapkali muncul naib juara pada 1988, 1996, 1998, 2000, 2004 dan 2016.
Pada SUKMA ke-21 kali ini, Sarawak jadi tuan rumah untuk kali ketiga setelah kali pertama pada 1990 dan 2016. SUKMA ke-21 Sarawak 2024 berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara dan menghimpunkan 12,619 atlet serta pegawai dari seluruh negara termasuk dari Brunei. Ia akan diadakan di sembilan bahagian iaitu Kuching, Serian, Miri, Bintulu, Samarahan, Mukah, Sibu, Sri Aman dan Betong.
Sarawak berazam untuk sekali lagi menjuarai SUKMA. Para Sukma XXI 2024 pula diadakan September ini di Kuching.
SUKMA sebenarnya adalah landasan terbaik melahirkan atlet yang bukan sahaja mengharumkan nama negeri malah negara. Sarawak misalnya telah berjaya melahirkan atlet melalui SUKMA hingga mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
Antaranya ialah Datuk Pandelela Rinong, bermula pada SUKMA di Kedah pada 2006 dengan memenangi tiga pingat emas dan dua perak dalam kejohanan itu, sesuatu permulaan yang manis untuk kariernya. Sejak itu, anak Bidayuh ini tidak menoleh ke belakang. Dia mula mengharumkan nama Malaysia dan Sarawak khasnya pada 2012 lagi apabila mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama negara memenangi pingat Olimpik (gangsa) menerusi acara 10m platform individu di London.
Pandelela juga adalah atlet Malaysia kedua memenangi pingat Olimpik 2012 itu selepas Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton. Empat tahun kemudian di Rio 2016, Pandelela meraih pingat perak bersama bekas penerjun, Cheong Jun Hoong menerusi acara 10m platform seirama wanita.
Sebenarnya, Sarawak memang hebat dalam arena sukan akuatik iaitu terjun dan renang. Sebelum Pandelela, Sarawak pernah melahirkan jaguh renang iaitu Tania Bugo, anak kedua bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Hamid Bugo dan Judy Bugo. Tania pernah memenangi banyak pingat emas untuk SUKMA dan mewakili Malaysia ke kejohanan peringkat umur pada usianya lapan tahun.
‘The Flying Dayak’
Tania mendominasi acara renang dan perenang terbaik Sarawak pada era 1980-an dan 1990-an. Dia memenangi 13 pingat emas daripada jumlah 19 pingat emas ketika Sarawak menjadi tuan rumah Sukma III pada 1990, sekali gus membantu Sarawak muncul juara keseluruhannya. Dia baru berusia 14 tahun dan pencapaian cemerlangnya memukau seluruh negara ketika itu.
Watson Nyambek juga merupakan antara nama besar dalam sejarah SUKMA. Watson mula mencipta nama di pentas SUKMA pada 1996 di Kuantan. Raja Pecut negara ini yang dikenali dengan jolokan ‘The Flying Dayak’ pernah menyertai dua Sukan Olimpik iaitu di Atlanta pada 1996 dan Sydney pada tahun 2000.
Malah Watson pernah bersaing dengan pelari pecut dunia masa itu seperti Carl Lewis dan Ben Johnson. Pada 1998, di Kejohanan Olahraga Asia yang diadakan di Fukuoka, Jepun, Watson berjaya meraih tempat kedua dengan catatan masa 10.42 saat, hanya tiga saat di belakang pelari handalan dari China, Zhou Wei.
Jaguh baling tukul besi dari Sarikei, Grace Wong Xiu Mei mula menarik perhatian apabila menjadi atlet termuda iaitu pada usia 12 tahun, terpilih mewakili Sarawak dalam acara lontar peluru pada SUKMA 2012 di Pahang.
Mendapat jolokan ‘Amazing Grace’, anak sepupu kepada legenda Wong Tee Kui itu merangkul emas pada SUKMA 2014 Perlis dengan rekod baharu balingan sejauh 55.82 meter sekali gus melayakkannya bertanding di Sukan SEA Singapura pada 2015 dan memperoleh emas. Ketika itu Grace baharu berusia 14 tahun. Grace Wong mempertahankan emas miliknya dalam Sukan Sea 2023.
Pada SUKMA 2016 di Sarawak, Grace Wong sekali lagi memecah rekod peribadi untuk mengekalkan kutipan emas dengan balingan sejauh 57.76 meter. Bapa saudaranya, Wong Tee Kui, adalah atlet legenda yang pernah mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat emas pada Sukan SEA 1991, 1993, 1995, 1999 dan 2001.
Terkini kita ada Kilat Boy atau nama sebenar Daeoloniel Mcdelon, jaguh baharu tinju. Atlet kelahiran Sri Aman ini pernah menyumbang pingat emas kepada kontinjen Sarawak menerusi acara Feather 54-57kg di Sukma 2022. Dia mula menjadi tumpuan hangat peminat sukan tinju selepas merangkul gelaran juara pada Kejohanan Tinju Profesional Pakistan 2022. Dia juga merupakan atlet Sarawak pertama memenangi tali pinggang kejohanan Asian Boxing Federation (ABF).
Penerjun tunggal ke Paris
Legenda tinju negara, Mejar Sapok Biki, adalah pembimbing Kilat Boy. Sapok, anak kelahiran Simunjan adalah pemenang pingat emas Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.
SUKMA edisi 2016 di Sarawak menjadi permulaan yang gemilang buat kerjaya ‘Queen Poomsae’, Nurul Hidayah Abdul Karim, meraih emas. Atlet kelahiran Bintulu ini telah memenangi beberapa kejohanan peringkat antarabangsa sepanjang kerjayanya.
Nurul Hidayah juga telah menjadi juara pada Sukma 2018. Pada 2022, dia mencipta nama di Kejohanan Poomsae Taekwondo Dunia 2022 di Goyang, Korea Selatan. Gandingan Nurul Hidayah-Jason meraih emas acara berpasukan campuran di Sukan Sea 2019 Filipina dan 2023 Kemboja (acara tidak dipertandingkan pada edisi 2021 Vietnam), selain pingat perak bersama adiknya Nur Humaira dan Lim Jia Wei bagi acara berpasukan wanita di Kemboja.
Seorang lagi atlet ‘kelahiran SUKMA’ ialah Bertrand Rhodict Lises yang menang emas pada SUKMA 2022. Bertrand menjadi penerjun tunggal negara yang layak secara merit ke Olimpik Paris dalam acara 10 meter (m) platform individu dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan. Atlet dari Sarawak itu berjaya menempah tiket ke Paris menerusi acara 10 meter (m) platform individu ketika beraksi di Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun, tahun lepas.
Azlan Iskandar (skuasy) pemenang pingat emas Sukan Asia 2010, juga adalah legenda Sarawak lahir di SUKMA pada 2002 sebelum menyarung jersi kebangsaan. Beliau telah sampai di ranking dunia No. 14.
Atlet para Sarawak juga menyerlah seperti Bonnie Bunyau, anak kedua legenda angkat berat Para Sukma Sarawak, Gustin Jenang. Bonnie adalah pemenang pingat emas pertama Malaysia dalam sukan Paralimpik dalam Powerlifting.
Badang Sarawak itu pernah bersama-sama bapa, Gustin ak Jenang selain abangnya, Bryan Junency mencipta gelombang kejuaraan apabila menjadi penyumbang pingat emas setiap kali mewakili Sarawak pada Sukan Paralimpik Kebangsaan/Para Sukma.
Sebenarnya, ramai lagi atlet Sarawak kelahiran SUKMA muncul sebagai atlet negara dan menyerlah di peringkat kebangsaan/antarabangsa. Tidak cukup kolum ini jika mahu menyenaraikan pencapaian kesemua mereka. Terima kasih!
Lebih molek andai sempena SUKMA Ogos ini, diadakan majlis khas ‘Jasamu Dikenang’ untuk atlet kelahiran SUKMA Sarawak yang mengharumkan bukan sahaja nama Bumi Kenyalang, malah Malaysia di persada antarabangsa.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.