KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak telah menyita sebuah kontena dengan muatan minuman keras (medicated samsu) diimport di Pelabuhan Senari Kuching, baru-baru ini.
Pemgarahnya, Norizan Yahya berkata, semua barangan rampasan itu dianggarkan bernilai RM672,410 melibatkan nilai duti dan cukai sebanyak RM123,604.93.
“Pemeriksaan mendapati sebahagian barang rampasan melibatkan 1,664 botol minuman keras dianggarkan bernilai RM270,300 dan melibatkan anggaran duti/cukai bernilai RM58,417.09.
“Barangan rampasan dibawa masuk tanpa Kelulusan Permit Pergerakan seperti yang telah ditetapkan di bawah Perintah Kastam (Larangan Pemindahan) (Pindaan) 2022.
“Kontena bersama kesemua barang dagangan tersebut disita kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat pengikraran yang tidak betul dan Seksyen 138 Akta yang sama kerana gagal mematuhi Perintah Kastam (Larangan Pemindahan)(Pindaan) 2022,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Norizan berkata, modus operandi adalah ejen membuat pengikraran tidak betul tanpa memperincikan setiap barangan seperti yang telah ditetapkan dan membawa masuk minuman keras yang dicampur bersama barang dagangan lain.
Barangan kemudian diikrar di dalam satu kontena yang sama bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa dan mengelak keperluan permit pergerakan seperti yang telah ditetapkan di bawah Perintah Kastam (Larangan Pemindahan)(Pindaan) 2022.
Menjelas lanjut, beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, untuk kesalahan di bawah Seksyen 138 akta yang sama, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Sehubungan itu, Norizan menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
Oleh Rynna Sha’erra