INSTITUSI Yang di-Pertuan Agong (YDPA) memainkan peranan penting dalam mempromosikan perpaduan nasional dalam rakyat Malaysia yang berbilang kaum melalui tanggungjawab dalam sistem Raja Berperlembagaan.
Bahkan bukan sahaja menjalankan fungsi perlembagaan malah juga memainkan peranan simbolik yang kuat dalam menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Dalam konteks ini, tanggungjawab perlembagaan dan simbolik YDPA adalah kritikal dalam mempromosikan perpaduan nasional. Aspek ini terlihat dalam beberapa perkara sebagaimana dibincangkan ini.
Peranan perlembagaan
Selaku Ketua Negara, baginda adalah sebagai raja berperlembagaan yang mewakili semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama, negeri atau latar belakang budaya. Peranannya dalam proses legislatif, termasuk kuasa untuk memberi perkenan diraja kepada undang-undang, memastikan bahawa baginda dapat mempengaruhi dasar-dasar yang mempromosikan keterangkuman dan kesamarataan serta memberikan keadilan kepada semua rakyat jelata. Dalam konteks ini, Majlis Raja-Raja adalah institusi penting yang turut mendukung kepentingan negara dan rakyat.
Justeru, bagi melindungi kepentingan negara, Yang di-Pertuan Agong boleh berperanan menyokong dasar dan program yang menekankan perpaduan dan integrasi, memastikan kerajaan memberi keutamaan kepada keharmonian nasional dalam agenda mereka. Misalnya dalam program sosial seperti aspek bantuan kemanusian, institusi YDPA boleh mendukung program kebajikan yang menyediakan bantuan kepada semua golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang mereka termasuk bantuan bencana, program makanan, dan sokongan kesihatan. Begitu juga inisiatif sosial yang menyasarkan golongan muda, seperti latihan kemahiran dan program mentor, dapat membantu mereka dari pelbagai latar belakang untuk mencapai potensi penuh mereka.
Peranan simbolik
YDPA adalah simbol perpaduan Malaysia, melampaui perbezaan etnik dan agama. Kehadiran baginda dalam acara-acara nasional dan upacara mengingatkan tentang identiti dan nilai-nilai bersama semua rakyat Malaysia. Sebagai jurucakap nasional melalui ucapan dan kenyataan awam, YDPA berperanan penting bagi menggesa perpaduan dan saling menghormati. Baginda dilihat sebagai pendamai nasional dalam menyantuni isu-isu yang melibatkan sensitiviti etnik atau agama.
Peranan simbolik dan ucapan YDPA memberikan inspirasi kepada rakyat untuk bersatu dan mengukuhkan rasa kebersamaan dalam memastikan Malaysia terus kekal harmoni dan sejahtera bagi mengukuhkan hubungan antara pelbagai komuniti, membentuk asas yang kukuh untuk masa depan negara yang lebih bersatu.
Penghormatan
Selain peranan perlembagaannya, YDPA dilihat aktif menyertai perayaan kebudayaan kalangan kumpulan etnik berbeza yang menyerlahkan rasa hormat terhadap warisan pelbagai budaya negara. Aspek ini dapat memupuk rasa kekitaan kalangan semua rakyat negara ini. Malah dengan usaha dan memberikan sokongan inisiatif yang memelihara tradisi budaya, baginda mampu mengukuhkan lagi kemakmuran kebudayaan negara.
Dialog persefahaman
Melalui galakan terhadap dialog antara agama, maka ia akan dapat mempromosikan persefahaman dan kerjasama kalangan kumpulan agama di negara ini. Sokongan kepada institusi keagamaan dari semua kepercayaan diperlukan untuk mengukuhkan prinsip kebebasan beragama dan keharmonian. Usaha ini penting dalam memastikan setiap agama dihormati dan memupuk kerjasama yang saling menghormati, mengukuhkan nilai-nilai keamanan dan perpaduan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang agama.
Di sinilah galakan dan dukungan institusi terhadap usaha-usaha murni melambangkan institusi YDPA mempromosikan persefahaman dan kerjasama di kalangan kumpulan agama di Malaysia. Aspek ini dapat diperkuat lagi dengan memberi sokongan kepada institusi keagamaan dari semua kepercayaan untuk memperkukuh prinsip kebebasan beragama dan keharmonian.
Memperluaskan kembara
Kembara Mahkota Johor ketika baginda menjadi Sultan Johor adalah contoh utama. Baginda bertemu dengan rakyat dari pelbagai latar belakang dan budaya, mewujudkan hubungan langsung antara monarki dan rakyat, secara tidak langsung mempromosikan perpaduan dan persefahaman. Ditambahkan juga dengan peranan masa kini dari segi penyertaan dalam acara-acara nasional seperti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia juga penting, iaitu kehadiran YDPA berfungsi sebagai simbol penyatuan untuk semua rakyat Malaysia.
Penglibatan baginda dengan pelbagai acara kebajikan dan program sosial merentasi garis etnik dan agama, memberikan bantuan dan sokongan kepada komuniti yang kurang bernasib baik dan ini memperkuatkan rasa kemanusiaan bersama dan solidariti.
Sudah tentu dengan memperluas Kembara Mahkota Johor ke seluruh negara dapat menguatkan integrasi nasional dengan ketara. Aspek ini dapat menunjukkan komitmen monarki kepada semua rakyat Malaysia dan memupuk keterangkuman di pelbagai negeri, seterusnya berhubung terus dengan rakyat mewujudkan hubungan yang lebih dekat antara rakyat.
Hal ini kerana kehadiran fizikal dalam pelbagai komuniti boleh mempromosikan mesej keamanan dan perpaduan, memperkuat idea bahawa kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaiannya.
Cabaran
Terdapat cabaran semasa terhadap perpaduan nasional Malaysia. Hal ini meliputi ketidaksamaan ekonomi antara kumpulan etnik dan perbezaan budaya yang mencetuskan cabaran serius. Di sinilah peranan penting YDPA bagi membantu menangani cabaran ini dengan menggunakan platformnya untuk menyokong dasar-dasar yang menangani ketidaksamaan ekonomi.
Aspek ini termasuk mempromosikan pembangunan yang adil bagi memastikan tiada komuniti yang terpinggir dalam proses pembangunan negara. Selain itu, YDPA boleh memperjuangkan inisiatif pendidikan yang menekankan kefahaman terhadap pelbagai budaya dan perpaduan nasional. Langkah ini membantu merapatkan jurang etnik dan memupuk semangat keharmonian di kalangan rakyat Malaysia.
Pengaruh media sosial turut menjadi isu utama yang mana penyebaran maklumat palsu dan manipulasi isu berkaitan dengan agama, bangsa, dan budaya (3R) boleh mengancam perpaduan nasional. YDPA boleh memainkan peranan dalam menggalakkan penggunaan media sosial yang bertanggungjawab serta mengambil berat terhadap penyebaran maklumat yang benar dan sensitif terhadap kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Bukan itu sahaja, terdapat kecenderungan sentimen negeri menggunakan etno-nasionalisme politik. Sebagai contoh, isu Sabah untuk Sabah misalnya boleh menjejaskan perpaduan nasional. YDPA harus berperanan untuk mengurangkan sentimen etno-nasionalisme politik dan memperkukuh federalisme melalui pendidikan dan meningkatkan kesedaran.
Dengan mengambil pendekatan proaktif terhadap cabaran ini, YDPA tidak hanya memainkan peranan simbolik dalam menyatukan rakyat Malaysia tetapi juga bertindak sebagai pemimpin yang mempromosikan nilai-nilai perpaduan, kesatuan, dan keadilan dalam masyarakat yang berbilang etnik dan budaya.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).