KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) telah menyatakan minat untuk bekerjasama dengan AirAsia bagi meningkatkan kesalinghubungan antarabangsa Sarawak.
Menterinya, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, laluan berpotensi diterokai termasuk penerbangan ke Perth di Australia dan Guangzhou di China.
“Satu lagi laluan berpotensi adalah ke Balikpapan di Kalimantan Barat, Indonesia, memandangkan Lapangan Terbang Pontianak belum dibuka untuk penerbangan antarabangsa.
“Saya percaya dengan penglibatan aktif dengan syarikat penerbangan, ia akan membangunkan kerjasama lebih baik dalam menyelesaikan isu mobiliti udara, pengalaman penumpang dan sekali gus meningkatkan kemampanan pergerakan orang awam dan barangan di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media MOTS, semalam.
Lee turut mengesyorkan AirAsia menambah penerbangan Kuching-Miri berikutan permintaan yang tinggi.
“Apa yang penting, kita bergerak bersama dalam membangunkan industri penerbangan di Sarawak ke arah industri yang berdaya tahan, mampan dan berdaya saing,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Kapten Chester Voo berkata, AirAsia menguasai bahagian pasaran utama di peringkat nasional dengan 32 juta penumpang pada 2023.
“Khusus untuk Sarawak, AirAsia mengendalikan 334 penerbangan mingguan termasuk 193 dari Semenanjung Malaysia, 47 dari Kota Kinabalu, 19 dari Singapura dan Jakarta.
“Sambungan serantau dalam Sarawak termasuk 34 penerbangan mingguan antara Kuching dan Sibu, 22 antara Kuching dan Bintulu dan 33 penerbangan antara Kuching dan Miri,” katanya.
Untuk rekod, AirAsia telah membawa kira-kira 74 juta penumpang dari Sarawak sejak 2002.
Syarikat penerbangan itu kini menggaji 757 kakitangan dan menyelenggara lima daripada pesawat A320 mereka yang ditempatkan di Sarawak.
Tambah kenyataan itu lagi, mesyuarat tersebut juga berkisar mengenai penyepaduan teknologi dron untuk logistik luar bandar di Sarawak, yang berpotensi menawarkan penjimatan kos berbanding operasi pesawat tradisional.
Bagaimanapun, taklimat terperinci mengenai operasi dron kargo Airasia dan Bukti Konsep (POC) akan dibuat kemudian kepada MOTS.
Hadir sama, Setiausaha Tetap MOTS yang baharu Datu Wong Hee Sieng, Ketua Bahagian Penerbangan Kementerian Zulkarnain Rosli, Pegawai Khas Mohammad Faez, wakil Air Asia Sarawak Hamdan Mohamad, Aziza Ariffin dan Allaister Vyner.