KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bakal membantu anak bongsu kepada penjual Sayur Paku Midin dari Taman Won untuk membina masa depan yang lebih cerah.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, JKM akan berbincang dengan ibu bapa Rombli Jusni, 63, dan Fauziah Razak, 55 untuk membenarkan anak mereka ditempatkan di sekolah asrama di Yayasan Kebajikan Islam (YAKIN).
“Usaha ini supaya dia (anak) dapat ditempatkan di satu tempat lebih selesa, ada jadual sekolah dan riadah teratur dan dia dapat fokus dalam persekitaran yang positif dengan adanya juga motivasi daripada persekitarannya,” katanya kepada pemberita semalam ketika mengunjungi sekali lagi di rumah Rombli di Taman Won semalam.
Simpati atas nasib keluarga yang berumah di atas wakaf surau itu, Fatimah berkunjung kali kedua ke teratak usang bekenaan turut menyampaikan surat kelulusan bagi bantuan kanak-kanak dari JKM.
“Sebelum ini permohonan dibuat adalah bantuan warga emas untuk Rombli namun JKM menukarnya menjadi bantuan bulanan kanak-kanak kerana jumlahnya lebih tinggi,” ujarnya sambil berharap bantuan itu dan pendapatan Rombli sebgai penjual paku midin akan memberi sedikit keselesaan kepada mereka.
Dalam pada itu Fatimah menzahirkan penghargaan kepada wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman yang sebelum ini telah memberi sumbangan membina rumah baharu di atas tanah lot yang diberikannya.
“Pembinaan rumah itu telah disambung semula hari ini (semalam) setelah tergendala oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” jelas beliau sambil memberitahu kunjungannya itu hadir bersama psukan Bomba bagi melakukan kerja-kerja penyahkuman di rumah berkenaan.
Rumah baharu itu nanti juga kata Fatimah akan disediakan gerai jualan di hadapan rumah bagi Rombli meneruskan jualan sayurnya.
Selepas kunjungan di rumah itu, Fatimah membawa anak bongsu keluarga itu serta Fauziah, isteri Rombli ke pasar raya Mydin untuk membeli-belah kelengkapan sekolah anak berkenaan.
Oleh Diyana Samsuddin