SERDANG: Pelan tindakan dikenali sebagai Blueprint Keterjaminan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) dibangunkan bagi memposisikan institusi pendidikan tinggi yang berusia 53 tahun itu sebagai peneraju dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan, kata Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (Itafos) UPM Prof Dr Anjas Asmara Samsudin.
Bercakap kepada Bernama, Anjas Asmara berkata, UPM telah diberikan mandat oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyediakan pelan tindakan berkenaan yang akan dijadikan panduan oleh semua IPT di negara ini termasuk IPT swasta dalam memperkasakan sektor pertanian dan keterjaminan makanan.
“Blueprint (pelan tindakan) ini dibangunkan oleh UPM sebagai panduan semua IPT dan institusi pendidikan yang menawarkan program pengajian dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan.
“Kalau kita lihat inti pati blueprint ini, kita rujuk kepada Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0), Pertubuhan Produktiviti Asia (APO) dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Tiga dokumen ini merupakan dokumen sandaran kita untuk menghasilkan blueprint ini,” katanya.
Anjas Asmara berkata pelan tindakan yang dibangunkan bermula Disember lepas itu turut melibatkan tiga tokoh dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan iaitu Prof Dr Siti Fatimah Arshad, Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin dan Prof Datuk Dr Zulkifli Idrus.
Pada 7 Jun lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah melancarkan Blueprint Keterjaminan Makanan UPM yang merupakan pemacu strategi dan inisiatif terkini pertanian selaras perkembangan teknologi, ke arah membolehkan negara mencapai keterjaminan makanan yang mampan.
Pengenalan pelan tindakan itu bakal memperkukuh industri pertanian negara serta memperlihatkan fungsi universiti yang berperanan memberi manfaat kepada masyarakat. UPM diberikan mandat sebagai universiti peneraju keterjaminan makanan negara.
Susulan pelancaran pelan tindakan itu, Anjas Asmara berkata satu mesyuarat bersama IPT awam dan swasta akan diadakan di UPM hujung bulan ini bagi memberikan penerangan lanjut mengenai pelan tindakan tersebut kepada wakil IPT yang hadir.
“Selepas itu kita akan lihat di mana kekuatan setiap IPT untuk kita pastikan agenda keterjaminan makanan diterjemah dengan baik dan berkesan sebelum tertubuhnya sebagai Nexus Keterjaminan Makanan IPT bagi memastikan mereka mengguna pakai Blueprint Keterjaminan Makanan UPM,” katanya.
Beliau berkata UPM diberi mandat oleh KPT untuk meneraju penubuhan Nexus Keterjaminan Makanan IPT yang merupakan satu sinergi antara institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).
Berkongsi bidang penyelidikan yang diberikan tumpuan oleh Itafos, Anjas Asmara berkata bagi menjayakan bidang pertanian dan keterjaminan makanan, institut itu telah memperkenalkan dua jenis varieti padi baharu iaitu Padi Putra 1 dan Padi Putra 2 serta dalam proses mendaftarkan varieti padi Climate Ready Seeds (CR) dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
“Selepas varieti ini didaftarkan secara rasmi, barulah kita boleh pasarkan secara meluas kepada pesawah. Kalau tidak didaftarkan, pesawah tidak akan dapat tuntut subsidi,” katanya sambil menambah Itafos juga sedang menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan makanan alternatif untuk ternakan.
Beliau berkata, Itafos mempunyai enam penyelidik yang juga kakitangan akademik di UPM dengan dibantu oleh penyelidik bersekutu daripada beberapa fakulti antaranya Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Perubatan Veterinar serta Fakulti Sains dan Teknologi Makanan.
Kesemua tenaga pakar UPM itu, katanya, berganding bahu dengan berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing kerana bidang pertanian dan keterjaminan makanan adalah meluas serta memerlukan pelbagai pakar dalam pelbagai bidang.
“Sudah pasti kita hendak pastikan setiap PTJ (pusat tanggungjawab) UPM mempunyai nilai yang menyokong kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan.
“Contohnya, Fakulti Kejuruteraan, mereka akan bangunkan teknologi untuk digunakan dalam aktiviti pertanian dan keterjaminan makanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan pula ada pakar untuk memastikan makanan adalah berkhasiat,” katanya.
Anjas Asmara berkata usaha itu dilihat mampu memperkasakan peranan UPM dalam membangunkan keterjaminan dan membawa perubahan kepada sektor makanan negara sekali gus memastikan UPM terus cemerlang dalam menyumbang kepada keterjaminan makanan negara. – Bernama