KUCHING: Kerabat diraja dijangka turut serta ke Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) tahun ini.
Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, antaranya ialah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Selangor dan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Bercakap kepada pemberita pada sidang media hari penghargaan penaja RWMF 2024, hari ini, Ting menjangkakan Bumi Kenyalang akan menerima peningkatan pengunjung ke festival tersebut yang berlangsung 28 hingga 30 Jun ini di Kampung Budaya Sarawak (KBS).
Berdasarkan penjualan tiket setakat ini dan jangkaan akan ada lebih ramai mengunjungi festival tersebut untuk membeli tiket di saat akhir, katanya, terdapat peningkatan dari segi jumlah pengunjung berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan sekitar lebih 20,000 pengunjung.
“Tahun ini, kami sangat berbangga kerana mempunyai artis Jepun Kitaro datang untuk menyertai kami dari Jumaat iaitu 28 Jun ini.
“Sudah tentu bukan hanya beliau bahkan ramai lagi. Keseluruhannya, lebih 70 melibatkan antarabangsa dan artis dalam negara, kesemuanya berjumlah lebih daripada 150 orang.
“Ini sekali lagi merupakan rekod baharu bagi kami,” katanya pada sidang media tersebut yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Artis antarabangsa lain termasuklah Alright Mela Meets Santoo (Pakistan/Perancis), Bourbon Lassi (Australia/Malaysia), Imarhan (Algeria/Perancis), Krakatau Ethno (Indonesia), Nini (Taiwan/Amerika Syarikat), Rizal Hadi and Folk (Indonesia), Rhythm Rebels Featuring Selonding Bali Aga (Indonesia) dan Tribal Tide (Singapura).
Pengunjung RWMF 2024 akan turut dihiburkan dengan persembahan artis Malaysia yang lain seperti The Borneo Collective (Malaysia Timur), Adrian G (Malaysia Barat), Alena Murang (Malaysia Timur), Nisa Addina (Malaysia Timur), Salammusik (Malaysia Barat), The Colour of Sound’s Malaysia (Malaysia Barat), Tuni Sundatang (Malaysia Timur) and Zarul @OurBodySound (Malaysia Barat).
Sebastian juga berkata, dengan pelbagai kolobarasi ia menjadi kunci utama kejayaan penganjuran RWMF 2024.
“Oleh itu, saya sangat teruja untuk menekankan Memorandum Persefahaman (MOU) perkongsian strategik selama tiga tahun antara Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Malaysia Aviation Group (MAG), yang selanjutnya menegaskan komitmen kita untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama,” katanya.
Mengulas lanjut berkenaan kehadiran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Selangor dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke festival ini, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor berkata, kawalan ketat sudah semestinya menjadi priotiti utama pihaknya.
“Kaki mempunyai unit protokol kami sendiri, serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya, malah dengan kehadiran orang berprofil tinggi, sudah tentu itu akan menjadi keutamaan kami,” katanya.
Sharzede juga menasihati orang ramai yang hadir untuk menggunakan pengangkutan bas shuttle.
Bagi pengunjung yang sudah membeli tiket, jelasnya, tempat pengambilan adalah dari Plaza Merdeka dan Riverside Majestic Hotel.
Katanya lagi, pengunjung hanya perlu menunjukkan tiket untuk mendapatkan perkhidmatan bas shuttle yang disediakan secara percuma dan berhenti di hadapan KBS dengan bayaran RM12 sehala.
Oleh Nickelyson Lakun