BAGI generasi lama terutama yang kini sudah berusia 60 tahun ke atas, sukar untuk melupakan kisah politik rejim Marcos selama 21 tahun di Filipina. Ferdinand Edralin Marcos pernah menjadi Presiden Filipina pada 1965 hingga 1986 yang mencatat sejarah hitam khususnya dalam aspek dakwaan korupsi.
Marcos merupakan pelajar pintar dalam undang-undang dan mendapat keputusan cemerlang yang sehingga kini purata markah kelulusan tidak dapat ditandingi. Kepintaran ini digunakan dalam kes perundangan yang melandanya. Paling kurang ketika muda beliau dapat bebas daripada tuduhan membunuh pesaing politik ayahnya dan terus menapak dalam dunia politik.
Penglibatan dalam politik kemudian mengambil alih kerajaan dan menjadi Presiden Filipina ke-10. Pada penggal pertama ekonomi diwarisinya berkembang kemudian penggal kedua penuh dengan pancaroba apabila suasana ekonomi ketika itu sangat teruk, kadar kemiskinan tinggi, krisis hutang, banyak program infrastruktur dibiayai hutang luar negara yang kemudian mencetus krisis inflasi pada penggal-penggal seterusnya ditandai kestabilan ekonomi dan sosial negara.
TADBIR URUS LEMAH DAN NEPOTISME
Marcos melantik isterinya sendiri sebagai Gabenor Metro Manila sejak 1975 bagi mengukuhkan kuasa politik. Marcos mencipta jawatan Kabinet baru bagi isterinya sebagai Menteri Pembangunan Manusia Filipina pada 1978. Imelda juga menjadi Pengerusi Majlis Dana Sokongan Ekonomi, badan kerajaan Filipina yang mentadbir dana yang diterima dari kerajaan Amerika Syarikat.
Jawatan lain termasuk sebagai pengerusi lembaga amanah dan/atau pengarah entiti korporat kerajaan, seperti Dana Perumahan Bersama, Lembaga Transit Aliran Ringan, Food Terminal Inc, Perbadanan Kewangan Pinjaman Perumahan Kebangsaan, dan Majlis Penguasaan Makanan Kebangsaan. Kesemua jawatan tersebut memberikan Imelda akses kepada sumber-sumber kerajaan yang besar serta kuasa untuk memberi kontrak dan konsesi kepada pihak-pihak yang dipilih (Chaikin & Sharman, 2009:155). Pelantikan Imelda ke pelbagai peranan duta besar memberikan peluang tambahan baginya untuk mendapatkan wang awam yang boleh digunakan untuk perbelanjaan peribadi.
ANAK-ANAK MARCOS
Anak Marcos dianggap sebagai orang yang berpengaruh dalam politik dan penerima manfaat sumber kekayaan di bawah wasiat Marcos. Anak perempuannya bernama Ma Imelda Romualdez Marcos Manotoc (Imee) (1965) merupakan anak sulungnya adalah ahli kabinet dan wakil rakyat dari Kabataang Barangay, mewakili sebuah kumpulan belia nasional (1979–1986) dan ahli Majlis Kebangsaan (1984–1986). Beliau juga mahir dalam undang-undang berjaya melindungi kekayaan keluarga Marcos dan memimpin keluarga kembali ke kuasa politik dengan menjadi ahli kongres sejak 1998 hingga 2007.
Seorang lagi anaknya Irene Marcos Araneta (1961), dikenali sebagai socialite zaman mudanya dan pada tahun 2000 menjadi subjek siasatan kerajaanJerman/kerajaan Filipina berhubung percubaan pencucian wang oleh keluarga Marcos untuk menarik wang mereka secara rahsia dari Switzerland dan sehingga kini kes tersebut dan beberapa kes masih lagi berlanjutan di mahkamah.
Anak lelakinya, Ferdinand Romualdez Marcos Jnr (Bongbong)(1957) menjadi pembantu eksekutif bersama wasiat bapanya. Bongbong pernah jadi timbalan gabenor dan kemudian gabenor wilayah kelahiran bapanya, Ilocos Norte (1980–1986). Selepas berkelana dalam politik Bongbong terpilih menjadi Ahli Kongres Filipina (1992–1995), Gabernor Ilocos Norte (1998–2007) dan ahli Kongres (2007–) dan beliau bertanding Presiden Filipina dan bekerjasama dengan Duterte bagi mendapatkan pengaruh politik partinya dengan memperoleh 59 peratus undi popular.
Kemenangannya itu mendapat kritikan daripada pihak pengesah fakta kerana melakukan penyelewengan fakta sejarah yang bertujuan untuk mengubahsuai jenama Marcos dan mencemarkan reputasi pesaing-pesaing politiknya. Kempennya dilihat untuk memperbaiki imej penyalahgunaan hak asasi manusia dan imej ketika ayahnya menjadi Presiden Filipina telah berjaya mengubah persepsi tentang ayah dan keluarganya dalam politik negara.
MENGUBAH IMEJ
Sebenarnya keluarga Marcos telah menghabiskan bertahun-tahun untuk menjenamakan semula imej mereka yang didakwa secara palsu mengambarkan pemerintahan Marcos sebagai zaman keemasan dan mengecilkan imej-imej kekejaman masa lalu. Gelombang penyahbenaran politik atau imej palsu ditonjolkan bagi tujuan politik dalam usaha untuk mengubah sejarah, meningkatkan nama baik dan reputasi keluarga Marcos dan melemahkan lawan politik mereka.
Ditambah lagi ramai pengundi tidak cukup tua untuk mengingati pemerintahan Marcos, yang berakhir pada 1986, lebih-lebih lagi ramai ahli akademik memberikan pendapat dan amaran bahawa tempoh tersebut tidak diajar secara mendalam di sekolah telah mewujudkan kelemahan yang telah dieksploitasi oleh keluarga Marcos dan penyokong mereka (The Guardian, 10 Mei 2022).
Ramai penyokong menyatakan mereka tidak percaya bahawa keluarga tersebut telah menyelewengkan wang negara, walaupun terdapat banyak keputusan mahkamah sebaliknya.
MEDIA SOSIAL PENGUBAH IMEJ
Ternyata mainan media sosial telah menjadi pengubah imej keluarga Marcos dalam pilihan raya Filipina yang telah berlangsung baru-baru ini. Dianggarkan terdapat 1,425 akaun influencer di YouTube, TikTok, Facebook, dan Twitter yang dikenal pasti sebagai sebahagian daripada operasi pengaruh dalam pilihan raya Filipina 2022.
Bongbong Marcos mengggunakan khidmat influencer ketika kempen pilihan raya dan selepas pilihan raya bagi terus mempertahankan calon, memitoskan calon, melakukan kempen penyahbenaran (disinformasi) terhadap musuh politik.
BUKAN BAHARU
Sebenarnya ini bukanlah suatu yang baharu kerana Rodrogo Duterte dalam kempen pilihan raya Filipina 2016 melakukan perkara sama dengan penglibatan blogger politik seperti Mocha Uson (Mocha Uson blog), RJ Nieto (Thinking Pinoy), dan Carlos Munda (MindaNation) yang kemudian dilantik ke jawatan pentadbiran kerajaan selepas kemenangan.
Kali ini Ferdinand “Bongbong” Marcos Jr membina kempen digital dan penggunaan rangkaian pempengaruh digital menyemai nostalgia authoritarian pemerintahan ayahnya yang didakwa adalah zaman kemakmuran dan kemudian dipersiapkan pengundi janji kemakmuran di bawah presiden Bongbong Marcos yang akan datang.
Pempengaruh berfungsi sebagai perantara politik agenda keluarga Marcos dalam komuniti media sosial, hampir sama berkesannya seperti pelakon politik dan media tradisional pada titik-titik tertentu semasa tempoh kempen (Fatima Gaw &Aries A. Arugay, 2024). Dalam kempen media sosial, Bongbong tidak terlibat secara penampilan besar-besaran akan tetapi hanya menyampaikan mesej penyatuan yang ringkas tetapi samar, ini didorong untuk mengelak kontroversi berbangkit kerana beliau sedar risiko penyahkebenaran kempen digital yang digunakannya untuk mendapat tempat dalam politik arus perdana.
PERANAN PEMPENGARUH
Pempengaruh adalah sebahagian daripada operasi pengaruh politik yang semakin berkembang dan lebih besar yang secara sistematik mempromosikan propaganda untuk memajukan kepentingan elit politik keusahawanan. Mereka diarahkan oleh ahli strategi peringkat tinggi mengenai mesej politik yang perlu mereka promosikan, dan kiriman politik yang mereka hasilkan kemudian diperkuat oleh ‘troll’ peringkat rendah dan akaun palsu. (Fatima Gaw & Aries A. Arugay, 2024).
Pempengaruh berada di barisan hadapan dengan orang awam, menarik perhatian audiens dan minat yang lebih luas, dan menjana wang dari keterlihatan ini. Pempengaruh yang dipilih adalah selebriti yang dikenali ramai, mempunyai pengikut ramai hingga beratus ribu atau juta yang dapat menjamin mesej yang disampaikan akan sampai beratus ribu atau jutaan juga hingga ke akar umbi.
Hakikatnya, mereka bukan pakar politik, tidak berpengalaman politik tetapi mempunyai akses kepada rakyat luar yang paling berpengaruh dan luas. Terdapat juga akaun TikTok yang menggambarkan ahli politik sebagai idola dan penyokong mereka sebagai peminat, ada yang meletakkan ahli politik sebagai citarasa segar di media sosial, ada pula meletakkan diri mereka sebagai sumber media alternatif bagi penjenamaan kandungan berita parti politik mereka.
Ada juga mempunyai pengaruh yang luas kepada orang ramai akan terus digajikan untuk tempoh yang lebih lama. Sudah tentu kadar upah yang diperoleh bergantung kepada pengaruh ramai pengikut yang memberikan maklum balas suka atau peningkatan pengikut. Merekalah yang merapatkan hubungan antara sang tokoh politik dengan pengundi biasa.
PENGEKALAN KUASA
Ketika kerajaan Bongbong terbentuk, pempengaruh masih dikekalkan bagi membantunya mengekalkan populariti sepanjang pentadbirannya.Terdapat juga pembentukan budaya politik Filipina yang memberikan ganjaran kepada pempengaruh bukan sahaja dalam bentuk kewangan tetapi juga dalam pelantikan politik, atau diletakkan di sektor srategik seperti di media utama kerajaan.
Ternyata dengan kempen sosial media yang berkesan, ditambah pula gandingan dengan anak Duterte, Sara Duterte-Carpio, dapat pengaruh besar Duterte dan membantu Bongbong memperoleh sokongan pengundi baharu secara luas. Terbukti Bongbong memperoleh undi sekitar 30 juta, iaitu dua kali ganda berbanding pesaingnya, Naib Presiden Filipina Leni Robredo, manakala kem Duterte-Carpio berjaya memenangi jawatan Naib Presiden, dengan jumlah undi lebih tiga kali ganda berbanding pencabar terdekatnya.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).