KUCHING: Isu kemasukan indikator ‘K’ ke dalam kad pengenalan bagi tujuan pemastautin di Sarawak bakal dibentangkan ke Kabinet Negeri untuk dasar kelulusan.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata KPWK telah menyediakan draf kertas kerja untuk Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan telah menghantar kepada Peguam Besar Negeri Sarawak.
“Ia bertujuan untuk semakan supaya dapat dibentangkan kepada Kabinet Negeri bagi mendapatkan dasar kelulusan yang akan ditetapkan oleh Kabinet mengenai kemasukan indikator ‘K’ bagi mereka (anak-anak) yang tidak mengetahui status asal ibu bapa,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Kesejahteraan Komuniti: Majlis Penyampaian Sijil Kewarganegaraan dan Dokumen Sementara Bagi Individu Tanpa Kewarganegaraan Sarawak (DSITKS) di sini, hari ini.
Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteran Komuniti telah menerima 700 permohonan kewarganegaraan antara 1 November 2022 hingga 13 Mei 2024.
Menjelas lanjut Fatimah berkata, daripada jumlah tersebut, 223 permohonan memenuhi syarat manakala 477 tidak memenuhi syarat ditetapkan.
“Pemohon yang tidak layak disarankan untuk memohon kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, mendaftar kelahiran anak, mendaftarkan pengangkatan anak secara teratur dan mendaftar perkahwinan dengan warga asing secara teratur.
“Isu dokumen pengenalan diri dalam kalangan kanak-kanak di Sarawak merangkumi masalah tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan masalah tanpa kewarganegaraan berpunca daripada pelbagai sebab.
“Antaranya punca yang dikenalpasti adalah perkahwinan ibu bapa belum didaftarkan semasa anak dilahirkan kepada ibu bukan warganegara,”ujarnya.
KPWK komited untuk menangani isu dokumen pengenalan diri dan kewarganegaraan untuk membantu golongan terjebak di Sarawak melalui rangkaian kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Jawatankuasa Khas di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan Peringkat Negeri Sarawak ditubuhkan untuk menyemak dan memperakukan permohonan yang diterima untuk kanak-kanak atau individu di bawah umur 21 tahun tanpa kewarganegaraan di Sarawak.
Untuk rekod, pada 21 Julai 2022, kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk mengeluarkan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS) agar individu atau kanak-kanak tanpa kewarganegaraan mendapat akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan di Sarawak.
Oleh Azreen Keria