POLA pilihan raya dunia berubah rentak mengikut sentimen setempat. Perubahan tersebut tidak semestinya membawa kesan baik kepada parti politik yang menguasai kerajaan memerintah, namun terdapat banyak pengajaran politik yang boleh dijadikan panduan pada masa akan datang.
Sejak Narendra Modi berkuasa pada 2014, per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) India meningkat daripada AS$5,000 kepada lebih daripada AS$7,500. Kadar pertumbuhan KDNK juga sebanyak 8.4 peratus, yang dianggap pertumbuhan rancak ekonomi utama dunia. Bagaimanapun, segala positif ini tidak memberikan jaminan kemenangan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) India.
Sebelum ini, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Modi yakin menyasarkan hampir 400 kerusi dengan komponen gabungan di Dewan Rakyat yang mempunyai 543 kerusi. Hal ini kerana dasar politik. Meskipun ini merupakan kali ketiga parti BJP dan sekutunya menang berturut-turut tetapi BJP hanya memenangi 240 kerusi berbanding 303 pada PRU lalu.
Ia bermakna BJP gagal memperoleh majoriti mutlak di Parlimen. BJP juga kehilangan 36.6 peratus undi berbanding PRU lalu. Kehilangan undi majoriti dua pertiga ini menyebabkan BJP bergantung kepada gabungan lain untuk meluluskan undang-undang di Parlimen.
PUKULAN POLITIK
POPULARITI Modi menurun secara drastik di wilayah-wilayah yang penting, seperti Uttar Pradesh yang mempunyai kepadatan penduduk di India. Penurunan ini mencerminkan ketidakpuasan pengundi terhadap pentadbiran Modi walaupun beliau tetap menjadi figura politik yang popular kerana menggunakan isu populis etnik.
Misalnya diberikan liputan luas kononnya Modi menyelesaikan 45 jam bermeditasi di Vivekananda Memorial Kanniyakumari di Tamil Nadu ketika fasa pilihan raya akhir Parlimen yang dikenali sebagai Lok Sabha meskipun ada menyatakan ia sekadar strategi media dukungan Modi.
Tempat tersebut menurut mitologi ialah tempat Dewi Parvati bermeditasi ketika menunggu Dewa Shiva. Di sebalik itu, Modi memberikan simbolik tempat tersebut sebagai titik pertemuan timur dan di perairan barat India sebagai perpaduan nasional. Di sebalik itu, terdapat isu pengurusan dan kepimpinan yang mendapat kritikan bahawa Modi cenderung untuk mengendalikan pemerintahan secara bersendirian tanpa melibatkan ahli-ahli lain dalam parti. Pendekatan ini boleh menyebabkan keputusan yang tidak menyeluruh dan kurang mendapat sokongan penuh dari parti dan pengundi.
KEKALAHAN
BEGITU juga kekalahan BJP di negeri-negeri utama seperti Uttar Pradesh, Maharashtra, Haryana, Rajasthan dan Punjab menunjukkan kelemahan dalam mengekalkan sokongan di kawasan yang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuat. Kekalahan memalukan Modi adalah di kerusi Faizabad di Uttar Pradesh, wilayah ramai penduduk.
Kawasan tersebut pernah dicetuskan kontroversi oleh Modi yang merasmikan Kuil Dewa Rama yang dibina di atas bekas tapak masjid purba di Ayodhya yang mencetuskan kemarahan minoriti Islam di India. Bermakna Parti Samajwadi mendapat sokongan orang Islam bekerjasama dengan golongan Hindu yang menolak BJP. Kerjasama ini menunjukkan tidak semua orang Hindu mendokong gerakan politik Modi yang dilihat terlalu memfokuskan pemikiran agama Hindu hingga mengabaikan golongan minoriti Islam.
Pengundi merasakan bahawa Modi dan BJP lebih fokus kepada agenda nasionalis Hindu, seperti pembinaan kuil Ram di Ayodhya dan isu-isu identiti keagamaan berbanding menyelesaikan masalah ekonomi yang mendesak. Malah, terdapat kebimbangan mengenai isu hak-hak golongan minoriti khususnya umat Islam dan Kumpulan kasta rendah dalam Hindu. Tindak tanduk BJP yang banyak melakukan tangkapan dan acaman menyebabkan pengundi kurang puas hati terhadap parti BJP.
EKONOMI KURANG MENENTU
ISU-isu ekonomi seperti pengangguran, inflasi dan ketidakseimbangan pendapatan kurang mendapat perhatian yang sewajarnya daripada kerajaan Modi. Ramai rakyat, terutama golongan miskin dan kelas menengah, berasa terpinggir kerana keperluan ekonomi mereka kurang diutamakan.
Eksport bawang telah dikurangkan atau dihentikan yang menyusahkan petani, malah harga ladang rendah menyebabkan protes dan kekalahan kepada parti BJP di luar bandar di beberapa kawasan luar bandar utama di negeri Maharashtra, Uttar Pradesh dan Bihar.
Pembangunan ekonomi yang tidak seimbang bila kawasan bandar menerima lebih banyak manfaat berbanding kawasan luar bandar. Ini menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk luar bandar yang merasakan mereka tidak menikmati manfaat pembangunan secara adil. Kadar pengganguran yang tinggi sebanyak 8.1 peratus pada April tahun ini.
KESAN REFORMASI EKONOMI
BEBERAPA dasar ekonomi yang dilaksanakan oleh Modi, seperti demonetisasi meskipun ia baik untuk ekonomi negara secara keseluruhan bagi menstabilkan mata wang dan melawan inflasi serta menghindari pasaran gelap malah membolehkan ekonomi informal lebih telus, namun ia dianggap menyusahkan kepada rakyat biasa dan perniagaan kecil.
Pengenalan sukai GST juga dianggap membebankan meskipun ia baik dan berkesan bagi menghalang daripada membayar cukai kalangan peniaga. Langkah-langkah ini dilihat sebagai lebih banyak mendatangkan mudarat daripada kebaikan kepada ekonomi secara keseluruhan.
Terdapat juga kritikan pengabaian golongan marginal khususnya bagi golongan petani, pekerja harian dan graduan muda yang sukar mendapatkan pekerjaan dan mereka merasakan kerajaan lebih mementingkan agenda keagamaan daripada menyelesaikan masalah harian mereka. Protes petani yang meluas adalah salah satu manifestasi kekecewaan ini. Ketidakseimbangan sosial masih berlaku apabila ketidakseimbangan dalam pengagihan kekayaan dan peluang ekonomi memburukkan jurang antara kaya dan miskin. Kerajaan dilihat gagal dalam melaksanakan dasar-dasar yang boleh merapatkan jurang ini.
PERPECAHAN DALAMAN
TERDAPAT tanda-tanda perpecahan dalaman dalam BJP, dengan beberapa ahli politik senior dan pemimpin parti tidak bersetuju dengan pendekatan Modi. Perpecahan ini menjejaskan kesepaduan dan kekuatan parti dalam menghadapi cabaran politik yang semakin kompleks manakala kempen pembangkang pula menumpukan perhatian pada isu-isu ekonomi dan hak-hak rakyat berjaya menarik perhatian pengundi. Kempen-kempen ini berkesan dalam memobilisasi sokongan, khususnya dari kumpulan kasta terpinggir yang memiliki hak dan perlindungan tertentu di bawah perlembagaan.
Pakatan Modi, iaitu National Democratic Alliance (NDA) yang terdiri parti utama seperti Telegu Desam Party (TDP) dan Janata Dal United (JDU) sering tidak sependapat dengan Modi dalam beberapa isu penting, seperti sensus kasta dan perlindungan hak orang Islam dan ini menjadikan Pakatan NDA rapuh serta berisiko mencetuskan ketidakstabilan dalam pemerintahan pada masa akan datang.
Walapun begitu, Modi cuba menangkis serangan pembangkang dengan menghadiri 206 jelajah politik termasuk jerayawara dan perarakan besar-besaran dalam tempoh 75 hari berkempen. Beliau juga melakukan 80 wawancara dengan pelbagai media yang berlainan bagi membina naratif politik. Sekurang-kurangnya Modi masih mampu bertahan meskipun keputusan politik mencatatkan penurunan yang sangat besar dari segi prestasi parti dalam pilihan raya.
POLARISASI KEAGAMAAN
DENGAN menekankan isu-isu yang memecah-belahkan berdasarkan agama, seperti undang-undang kewarganegaraan yang kontroversial, kerajaan Modi dikritik kerana menyebabkan ketegangan antara komuniti dan agenda ini mengalihkan perhatian daripada isu-isu ekonomi yang lebih penting dan mendesak.
Ternyata kepercayaan semakin terhakis apabila keutamaan terhadap agenda nasionalis Hindu dilihat sebagai satu strategi politik untuk mengekalkan sokongan asas parti tetapi ia merosakkan kepercayaan pengundi yang mengharapkan penambahbaikan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
Kelemahan BJP dan Modi mencerminkan pelbagai isu ekonomi, sosial dan politik yang mempengaruhi sokongan pengundi. Ketidakpuasan terhadap prestasi ekonomi, kebimbangan mengenai hak-hak minoriti, kegagalan memenuhi janji politik dan pendekatan autoritarian mengurangkan sokongan terhadap mereka. Pengundi menghukum Modi kerana lebih fokus pada agenda nasionalis Hindu daripada memperbaiki ekonomi, menyebabkan ketidakpuasan dan penurunan populariti BJP.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).