SHEILA ZAIDI
KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak melaksanakan operasi sanitasi di tempat awam berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengarah Bomba Sarawak Khirudin Drahman berkata, pihaknya menempatkan anggota-anggota di kawasan yang telah disahkan positif oleh KKM dan PBT untuk menjalankan operasi sanitasi ini.
“Namun demikian, kami tidak dapat mendedahkan lokasi-lokasi yang akan dijalankan dengan operasi ini kerana tidak mahu mencetuskan panik kepada masyarakat.
“Kami hanya boleh mengumumkan semasa anggota kami sudah berada di lokasi dan ini dilakukan atas nasihat KKM,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa memantau operasi sanitasi awam di kawasan Satok semalam.
Menurut Khirudin, operasi sanitasi ini akan dilakukan secara berulang di kawasan yang telah disahkan positif.
Bagi sanitasi awam di kawasan tumpuan ramai pula, pihak bomba akan menjalankan operasi mengikut senarai PBT dan mendapat kerjasama daripada mereka, jelasnya.
Untuk kawasan seperti di pusat saringan dan pusat kuarantin, katanya, operasi sanitasi akan dijalankan setiap hari kerana dilihat sebagai kawasan yang berisiko tinggi.
Bahan-bahan yang digunakan untuk operasi ini pula adalah disediakan oleh pihak KKM dan bomba hanya bertindak melaksanakan operasi penyemburan, ujarnya.
Tambah beliau, bagi melaksanakan operasi santiasi awam ini, semua tujuh zon dan 32 balai bomba seluruh negeri telah dikerahkan untuk melaksanakan operasi di kawasan masing-masing.
Mengenai keanggotan, Khirudin berkata, semua balai telah diminta bersedia untuk menjalankan operasi sanitasi awam dan di Kuching sendiri terdapat empat balai yang boleh membantu menjalankan aktiviti berkenaan.
“Setiap lokasi kita mungkin menggunakan anggota dari dua balai yang bertugas pada hari berkenaan dan dalam satu pasukan ada tujuh anggota yang akan kita gabungkan.
“Untuk program sanitasi awam yang dijalankan semalam, pihak kami melaksanakan operasi di dua lokasi, iaitu satu di Satok yang mendapat kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sementara satu lagi di Hui Sing Garden yang mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS),” ujarnya.
Beliau turut meminta masyarakat untuk terus memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tegasnya, kerajaan sedang berusaha untuk memutuskan rantai jangkitan Covid-19 namun jika masyarakat sendiri ingkar, usaha ini akan menjadi sia-sia.