KUCHING: Kementerian Kerja Raya akan mengumumkan penyelesaian berhubung masalah banjir dan kesesakan di Lebuh Raya Pan Borneo yang tular di media sosial baru-baru ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya sudah diberikan taklimat berkenaan perkara tersebut.
Katanya, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi akan mengumumkan jalan penyelesaiannya tidak lama lagi.
“Kami sudah mendengar taklimat berhubung perkara ini pagi tadi iaitu banjir dan kesesakan di kawasan Jakar, Sarikei.
“Keputusannya nanti saya serahkan kepada Menteri untuk mengumumkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas meninjau kemajuan kerja projek pembinaan gantian penuh 12 bilik darjah dan lain-lain kemudahan di SK Jalan Haji Baki di sini, hari ini.
Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung kejadian banjir di Kilometer (KM) 23, Jalan Betong-Sri Aman berhampiran kawasan Tebarong selepas air Sungai Skrang mendadak naik.
Dalam pada itu, beliau juga akan mencari jalan untuk menurunkan peratusan kemalangan akibat keadaan jalan raya termasuklah di Lebuh Raya Pan Borneo.
“Menurut kajian oleh Kementerian Pengangkutan, punca kemalangan ini ada (dibahagikan kepada tiga) 80 peratus, 13 peratus dan tujuh peratus.
“80 peratus akibat kecuaian pemandu, 13 peratus berpunca kepada keadaan jalan raya, dan tujuh peratus lagi akibat keadaan kenderaan.
“Jadi tugas kami untuk melihat yang 13 peratus itu,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat