SIBU: Seramai 36 penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong telah menerima dana Program Projek Khas (PPK) berjumlah RM641,000 di Pejabat Parti Demokratik Progresif (PDP) Cawangan Dudong, hari ini.
Pengerusi PDP Cawangan Dudong Datuk Teo Boon Siew yang mewakili ADUN Dudong Datuk Seri Tiong King Sing menyampaikan cek kepada penerima dari rumah panjang, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), persatuan dan rumah ibadat.
Dalam ucapan ringkasnya, Teo mengingatkan penerima supaya menggunakan dana tersebut untuk projek yang dimohon.
“Pastikan anda menggunakan dana sewajarnya. Jangan gunakannya untuk tujuan lain, kerana anda perlu menunjukkan semua transaksi peruntukan.
“Anda perlu membuat laporan lengkap projek tersebut dengan gambar sebelum, sedang dan selepas projek. Kemudian, laporan dan gambar tersebut harus dihantar ke pusat khidmat untuk direkodkan,” jelasnya kepada penerima dana PPK.
Tambahnya, audit akan menyemak semua urus niaga dana di pusat perkhidmatan itu pada setiap akhir tahun.
“Jika anda tidak memberikan butiran dan transaksi kepada kami, pada masa hadapan, jika anda memohon sebarang bantuan daripada kami, permohonan anda mungkin ditolak,” katanya.
Oleh Tarani Lanting