MINGGU lepas Hari Gawai telah dirayakan dengan penuh semangat kesyukuran dan perpaduan antara kaum. Hari Gawai ini juga diiktiraf sebagai cuti umum di Sarawak. Hari perayaan ini tidak asing lagi bagi penduduk Sarawak, dan konsep kunjung mengunjung sering diadakan pada hari perayaan itu.
Usaha menjadikan Hari Gawai ini sebagai cuti umum mempunyai sejarahnya tersendiri. Ini kerana usaha bersungguh-sungguh masyarakat Dayak untuk menjadi hari tersebut dalam kelendar cuti umum Sarawak menempuh pelbagai cabaran.
Semasa era pemerintahan Brooke, perayaan ini tidak diiktiraf sebagai hari kebesaran seperti perayaan Hari Krismas, Hari Raya dan Tahun Baharu Cina. Ketiga-tiga perayaan ini diiktiraf oleh kerajaan Brooke, dan telah dijadikan cuti umum bagi negeri Sarawak, manakala Hari Gawai hanya disambut mengikut tradisi setiap kawasan.
CATATAN AWAL
Perayaan Gawai ini pernah disebut, dan dicatat oleh beberapa sarjana Barat yang berkunjung ke Sarawak seperti Henry Ling Roth. Dalam buku beliau menyatakan bahawa gawai (gawei) menurut orang Dayak Laut (Iban) di sesetengah tempat sebagai makan bersama seperti dinner party dalam budaya orang Inggeris.
Beliau menambah bahawa perayaan ini merupakan satu perayaan yang mengiktiraf obligasi persahabatan, dan hari melayan kedatangan tetamu. Malahan perayaan ini satu perayaan kaum yang diraikan tanpa mengira kedudukan dan pangkat. Semua anggota masyarakat diiktiraf sebagai penting berdasarkan kepada keupayaan mereka.
RAKAMAN
Selepas Perang Dunia Kedua, juru gambar Singapura iaitu P. L. Chan pernah merakam perayaan Gawai semasa lawatannya di Sungai Rajang pada 1958. Apa yang beliau saksikan semasa kawatan di Kapit itu adalah tentang layanan baik masyarakat Iban di sana.
Dalam lawatan beliau ke Kapit itu beliau menyaksikan bagaimana perayaan Gawai dilakukan. Dalam lawatan itu, beliau menyatakan bahawa perayaan Gawai disertakan beberapa acara lain seperti Ratu Cantik Kapit dan pesta menuba.
PERJUANGAN
Perjuangan untuk menjadikan perayaan Gawai sebagai cuti umum di Sarawak mula terserlah selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Ketika itu persatuan-persatuan dalam kalangan masyarakat Dayak mula melipatgandakan usaha untuk menjadikan Hari Gawai sebagai hari kelepasan umum di Sarawak.
Hasrat mereka ini tercapai apabila kerajaan British memberi kelulusan untuk meraikan Hari Gawai pada 1 Jun setiap tahun dengan diberi nama Hari Sarawak. Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri, G. A. T. Shaw menyatakan bahawa hari tersebut melambangkan hari yang mana masyarakat petani di pedalaman Sarawak telah menyempurnakan proses penanaman padi pada hujung Mei dan awal Jun.
Namun demikian The Dayak National Union tidak bersetuju hari tersebut dikenali sebagai Hari Sarawak. Persatuan ini mahu agar hari itu dikenali sebagai Hari Dayak atau perayaan Hari Dayak. Presidennya iaitu Michael Buma dalam menyentuh soal ini menyatakan bahawa mereka menyokong diadakan Hari Sarawak tetapi mereka mahukan agar satu hari yang khas kepada kaum Dayak untuk setiap tahun.
Alasan yang diberikan oleh beliau ialah masyarakat Cina dan Melayu mempunyai hari untuk mereka sendiri bagi menjemput rakan dan taulan mereka semasa perayaan mereka. Oleh itu mereka juga mahu menunjukkan bahawa orang Dayak juga mempunyai hari dimana mereka juga dapat merayakannya bersama-sama dengan kaum lain di Sarawak. Namun hasrat mereka ini telah ditolak oleh pihak British.
TERUS MENUNTUT
Antara orang yang banyak berjuang untuk menukar nama Hari Sarawak ialah Tra Zehnder. Beliau selaku ahli Council Negeri telah membawa usul penukaran nama hari tersebut ke dewan itu. Dalam kenyataan beliau bahawa penukaran nama itu perlu bagi mengiktiraf keberadaan masyarakat Dayak yang ramai di Sarawak.
Beliau juga menegaskan bahawa usaha ini tidak mempunyai motif politik. Namun demikian usul dibawa oleh beliau ini ditolak oleh Council Negeri. Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri, A. J. N. Richards bahawa perkara ini telah dibawa ke Majlis Tertinggi. Majlis itu pula telah berbincang dan menolak cadangan penukaran nama tersebut.
Richards juga menambah bahawa pandangan tentang hal ini juga diambil dari semua Majlis Bahagian, dan hasilnya menunjukkan majlis-majlis tersebut menyokong pandangan Majlis Tertinggi. Hal ini menyebabkan Tra Zehnder berasa kecewa kerana Council Negeri menolak usul beliau.
SAMBUTAN PERTAMA
Hari Sarawak yang diwartakan oleh kerajaan British sebagai cuti umum telah diraikan pada I Jun 1962 yang jatuh pada hari Isnin. Namun demikian hari pertama sambutan itu tidak disertakan dengan majlis-majlis kerajaan. Hanya kakitangan kerajaan dan swasta diberi cuti pada hari tersebut. Gabenor juga tidak memberi sebarang ucapan pada hari bersejarah itu.
Hanya Pegawai Pentadbir kerajaan, F. D. Jekaway memberi kenyataan tentang perayaan tersebut. Beliau berkata bahawa Hari Sarawak itu akan mengukuhkan lagi persaudaraan sesama penduduk Sarawak. Beliau menambah bahawa rakyat Sarawak perlu sedar bahawa mereka hidup bersama di bumi Sarawak. Oleh itu mereka juga bergantung antara satu sama lain untuk mengekalkan kedamaian dan kemakmuran. Bagi beliau segala pebezaan pandangan harus tidak membawa kepada permusuhan.
SELEPAS MERDEKA
Isu tentang nama Hari Sarawak terus berpanjang sehingga selepas pembentukan Malaysia. Isu ini dibawa sekali lagi ke Council Negeri pada April 1964. Ketua Menteri Stephen Kalong Ningkan sedar tentang perlunya menukar nama Hari Sarawak kepada Hari Dayak. Ini kerana timbul rasa kurang senang dalam kalangan penduduk Dayak tentang penggunaan nama hari tersebut.
Akhirnya nama Hari Sarawak ditukar kepada Hari GawaiDayak, dan jatuh pada 1 Jun setiap tahun. Perayaan ini terus diraikan sehingga ke hari ini. Terdapat langkah seterusnya untuk menjadikan hari tersebut sebagai cuti umum bukan setakat di Sarawak tetapi juga di seluruh negara. Semoga usaha ini mendatangkan hasil untuk mengukuhkan kesatuan dalam negara kita.
SELAMAT HARI GAWAI.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).