VANCOUVER: Kerajaan Sarawak bekerjasama dengan Universiti British Columbia serta institusi pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak untuk menyediakan kursus dan program latihan bertauliah berkaitan perlombongan kepada rakyat Sarawak.
Hal tersebut dinyatakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mengetuai delegasi Sarawak melawat Institut Penyelidikan Mineral dan Perlombongan Bradshaw (BRIMM), Universiti British Columbia di sini, semalam.
Awang Tengah berkata kepentingan belajar dari industri perlombongan terkemuka Vancouver, yang mana kejayaan mereka sebagai penanda aras untuk memperkasakan sektor perlombongan, merupakan salah satu daripada enam sektor ekonomi utama di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030)
Semasa lawatan itu, delegasi telah diberi taklimat mengenai perkara berkaitan industri perlombongan di Kanada.
Lawatan itu menekankan komitmen Sarawak untuk memajukan sektor perlombongan, secara mampan dan bertanggungjawab untuk mempercepatkan pembangunan sosioekonomi selaras dengan PCDS 2030.
Perbincangan dengan wakil BRIMM menyentuh aspek pembangunan utama industri perlombongan yang bertanggungjawab termasuk latihan, pembangunan bakat dan rangka kerja institusi.
Antara yang menyertai rombongan itu ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Turut bersama adalah Peguam Besar Negeri, Datu Saferi Ali; Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar; Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Datu Lester Matthew dan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi.