SIBU: Sejumlah RM167,000 geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) telah diperuntukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang kepada 21 orang penerima di kawasannya.
Antara penerima cek MRP yang disempurnakan oleh pegawai pusat khidmatnya terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang, Sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rumah ibadat dan jabatan-jabatan kerajaan.
Gira berharap dengan peruntukan tersebut ianya boleh digunakan secara berhemah untuk keperluan aktiviti JKKK rumah panjang, sekolah, persatuan NGO dan rumah ibadat.
“Ini menjadi bukti jelas Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) benar-benar komited dan peka dalam membantu rakyat tanpa mengira apa-apa ideologi dan persatuan,” ujar Gira ketika dihubungi.
Menurutnya, semua penerima harus memanfaatkan sebaik-baiknya bantuan demi pembangunan komuniti penduduk secara keseluruhannya.
Hadir semasa pada majlis tersebut ialah pegawai pusat khidmat DUN Tamin, Kr. Ajan Dau, Kr, Dido Saleh dan Alo Meliau.
Oleh Tarani Lanting