TARIKH pendaftaran Barisan Nasional (BN) ialah pada 7 Jun 1974 walaupun idea penubuhannya telah berlaku pada 1973. BN dilancarkan di Seremban oleh Tun Abdul Razak Hussein. Idea asal nama Barisan Nasional ialah berdasarkan idea Yang Dipertua Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Mohd Asri Muda berdasarkan nama Banjaran Bukit Barisan di Sumatera Barat, Indonesia atau dikenali sebagai Bukit Barisan yang begitu terbentang luas iaitu hampir 1,700 kilometer, yang bermakna penyatuan yang terbentang luas.
Barisan Nasional bermula dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC), kemudian diikuti dengan pertambahan kemasukan parti seperti Parti Perikatan Sabah, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). PAS juga pernah bersama BN sebelum dikeluarkan dari Barisan Nasional pada 1977.
Terdapat parti komponen seperti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Rakyat Bersatu Sabah (PBRS), Parti Progresif Penduduk, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan SPDP. Namun selepas kekalahan Barisan Nasional pada 2018, banyak yang keluar secara rasmi dari BN dan menjadikan ia hanya tinggal empat parti sahaja, iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS.
KEPIMPINAN AMPUH
UMNO sebagai teras BN pernah memerintah negara sejak kemerdekaan negara hinggalah 2018 dan ini bermakna, selama 61 tahun dan jika diambil pembentukan rasmi BN 1974, bermakna 44 tahun menerajui negara dan tempoh ini memegang jawatan Perdana Menteri sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, hingga Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengalaman pentadbiran BN terbukti memberikan manfaat lebih-lebih lagi pengganti-penganti Perdana Menteri era selepas 2018 kesemuanya terdiri daripada bekas pemimpin-pemimpin utama UMNO dan Barisan Nasional seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hal ini menunjukkan bahawa BN berjaya memberikan bakat kepimpinan negara daripada tradisi politik yang matang dan bijaksana.
Matlamat utama penubuhan BN adalah untuk mewujudkan kestabilan politik melalui gabungan pelbagai parti yang mewakili kepentingan etnik dan kaum berbeza di Malaysia. Selama beberapa dekad, BN berjaya mengekalkan kuasa melalui strategi politik berkesan, pembangunan ekonomi yang pesat, dan dasar-dasar mengutamakan perpaduan nasional.
CABARAN
Cuma apabila berlakunya perebutan kuasa, politik wang dan isu dalaman parti yang menyebabkan teras politik BN iaitu UMNO menjadi tergugat dan terjejas. Lebih-lebih berlakunya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang banyak memberi impak buruk kepada UMNO dan ini menyebabkan parti-parti komponen juga terjejas.
Dengan kata lain, BN telah menjadi tonggak politik Malaysia sejak penubuhannya pada 1973. Dalam tempoh lima dekad ini, BN memainkan peranan penting dalam membentuk landskap politik dan ekonomi negara. Namun, perkembangan terkini menunjukkan cabaran dihadapi BN dalam mengekalkan relevansinya di tengah-tengah perubahan demografi ekonomi dan politik yang pesat. Maka, perlunya menganalisis perjalanan 50 tahun BN, menilai relevansinya dalam konteks masa kini, dan pandangan tentang masa depannya.
KEJAYAAN DAN SUMBANGAN
Selama lima dekad, BN mencatat pelbagai kejayaan yang signifikan. Pembangunan infrastruktur yang pesat, peningkatan taraf hidup dan kemajuan dalam sektor pendidikan adalah antara sumbangan besar BN kepada negara. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada 1971 adalah salah satu dasar penting bertujuan untuk mengurangkan jurang ekonomi antara kaum dan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi. Hasilnya, Malaysia menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dan peningkatan kesejahteraan rakyat.
BN juga berjaya mengukuhkan hubungan diplomatik Malaysia di peringkat antarabangsa, menjadikan negara ini sebagai pemain penting di rantau Asia Tenggara. Pendek kata, BN merupakan sumber kekuasaan mekanisme utama dalam pentadbiran negara, malah dianggap tempat mendapatkan kuasa, kedudukan dan kontrak utama kerajaan.
RELEVANSI DALAM KONTEKS SEMASA
Dalam era pasca-PRU-14, relevansi BN sebagai kuasa politik dominan semakin dipersoalkan. Kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018 menandakan perubahan besar dalam landskap politik Malaysia. Kejayaan Pakatan Harapan (PH) menggantikan BN sebagai kerajaan membuktikan bahawa rakyat mahukan perubahan dan ketelusan dalam pentadbiran negara. Bagaimanapun, kejatuhan kerajaan PH dan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan bahawa politik Malaysia masih dinamik dan tidak menentu.
TRANSFORMASI DAN PEMBAHARUAN
Untuk mengekalkan relevansinya, BN perlu menjalani proses transformasi dan pembaharuan yang mendalam. Pertama, BN perlu melakukan kempen media sosial dalam penonjolan kepimpinan yang sangat diperlukan dan berwawasan. Kempen media sosial ini perlu mendekati rakyat secara inklusif tanpa mengira kaum dan agama.
Persepsi dan politik untuk membunuh UMNO dan BN pula ditangani dengan sistematik dan tegas. Musuh utama BN ialah Bersatu dan PAS. Parti Bersatu diwujudkan untuk menggantikan UMNO, maka pemimpin UMNO perlu sedar dan memerangi musuh politik mereka. Yang terlihat sebelum ini juga musuh dalam selimut, musuh dalaman parti yang menjadi api dalam sekam. Selagi pembersihan tidak dilakukan secara besar-besaran, maka UMNO dan rakan komponen dalam BN akan terus berada dalam dilema.
BN perlu membasmi mengenai persepsi isu rasuah dengan tegas dan melaksanakan reformasi institusi untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran. Selain itu, BN perlu mengembangkan dasar-dasar yang relevan dengan keperluan dan aspirasi rakyat, terutamanya golongan muda yang semakin penting dalam menentukan hala tuju politik negara.
Untuk menilai relevansi BN dalam konteks politik Malaysia masa kini, beberapa faktor perlu dipertimbangkan. Pertama, BN perlu melakukan reformasi dalaman yang mendalam untuk memulihkan keyakinan rakyat. Kedua, BN perlu mengadaptasi strategi politik yang lebih inklusif dan progresif untuk menarik sokongan generasi muda dan pengundi bandar. Ini termasuk memanfaatkan media sosial dan teknologi digital untuk berkomunikasi dengan lebih efektif.
Ketiga, BN perlu memperbaharui dasar-dasarnya untuk memastikan ia relevan dengan keperluan semasa. Isu seperti perubahan iklim, ekonomi digital, dan pendidikan perlu diberi penekanan yang lebih dalam agenda politik BN. Dalam era globalisasi, dasar yang bersifat proteksionis dan eksklusif tidak lagi sesuai. Sebaliknya, BN perlu memperjuangkan dasar yang bersifat inklusif dan terbuka yang dapat memanfaatkan kepelbagaian budaya dan sumber di Malaysia.
BERGERAK KE MASA DEPAN
Untuk bergerak ke hadapan, BN perlu mengamalkan pendekatan politik yang lebih inklusif dan progresif. Pertama, BN perlu memperkukuhkan perpaduan antara komponen partinya. Konflik dalaman dan perselisihan faham antara parti-parti komponen hanya akan melemahkan BN. Oleh itu, kerjasama dan persefahaman yang erat antara UMNO, MCA, MIC dan parti-parti komponen lain perlu dipertingkatkan.
Kedua, BN perlu melibatkan diri secara lebih aktif dengan masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memahami dan menangani isu-isu yang dihadapi rakyat. Penyertaan aktif dalam program-program kemasyarakatan dan dialog terbuka dengan pelbagai lapisan masyarakat dapat membantu BN merangka dasar yang lebih responsif dan relevan.
Ketiga, BN perlu memperkasakan kepimpinan muda dalam parti. Generasi muda mempunyai pandangan dan idea yang segar serta lebih memahami keperluan dan aspirasir akan sebaya mereka. Dengan memberi ruang kepada pemimpin muda untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam parti, BN dapat memastikan kelangsungan dan relevansi politiknya pada masa hadapan.
Keempat, BN perlu memanfaatkan teknologi dan inovasi untuk mempertingkatkan keberkesanan dan ketelusan pentadbiram. Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dapat membantu BN dalam memperbaiki sistem pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Selain itu, BN juga perlu memperkenalkan inisiatif digital yang dapat membantu meningkatkan daya saing ekonomi negara.
KESIMPULAN
Dalam menghadapi cabaran politik yang semakin kompleks, BN perlu melakukan transformasi yang menyeluruh untuk kekal relevan dan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman dan keperluan rakyat. Reformasi dalaman, menawarkan alternatif yang menyakinkan, penggunaan teknologi dan media sosial yang lebih efektif, strategi politik inklusif dan progresif serta penglibatan aktif dengan masyarakat adalah kunci kepada kebangkitan semula BN.
Dengan memanfaatkan kepelbagaian budaya dan sumber di Malaysia, serta menyesuaikan dasar dengan keperluan semasa, BN berpotensi untuk kembali menjadi kuasa politik utama di Malaysia. Lima puluh tahun perjalanan BN bukanlah penamat, tetapi satu permulaan baru untuk bergerak ke masa depan yang lebih gemilang.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).