PADA majlis kemuncak Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Kuching Isnin lalu, dipaparkan satu tayangan video bertajuk ‘Dakwat Sebuah Hidup’ memapar kisah kehidupan seorang wartawan dan turut diselitkan sejarah ringkas penubuhan akhbar Sinar Sarawak dan Utusan Sarawak.
Akhbar Utusan Sarawak diterbitkan pada 16 Januari 1949 oleh wartawan dan pejuang, Abang Ikhwan Zainie. Tan Sri Abang Ikhwan kemudian aktif dalam politik dan pernah memangku jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Tokoh disegani ini meninggal dunia pada 1981, ketika usia 66 tahun.
Dalam tayangan video berdurasi kira-kira empat minit itu, disebut bahawa pejuang kemerdekaan Sarawak daripada penjajah British, Rosli Dhoby, adalah penulis yang menggunakan nama samaran Lidros dalam Utusan Sarawak. Mungkin selama ini ramai yang tidak tahu kecuali mereka membuat penyelidikan mengenai sejarah media di Sarawak.
Rosli Dhoby pernah menggegarkan dunia kolonial British dengan pembunuhan gabenor negara penjajah itu, Duncan Stewart pada 1949 di Sibu demi kemerdekaan Sarawak. Malah ketika peristiswa itu, Rosli menyamar sebagai seorang jurugambar untuk ‘merakam’ lawatan Gabenor Duncan Stewart, sebelum menikamnya dengan pisau pada 3 Disember 1949.
Menurut Wikipedia pula Rosli pernah menulis puisi bertajuk ‘Panggilan Mu Yang Suchi’ dalam akhbar Utusan Sarawak atas nama Lidros. Penggunaan nama samaran adalah berleluasa pada masa itu sejak pihak berkuasa Kolonial British bersungguh-sungguh memantau sebarang percubaan untuk menyebarkan kata-kata buruk terhadap mereka.
Menurut Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Suffian Mansor, Utusan Sarawak dahulunya ialah sebuah akhbar perjuangan.
“Penelitian sejarah menunjukkan bahawa Utusan Sarawak mempunyai tempat tersendiri dalam sejarah Sarawak. Akhbar ini telah muncul dan diterbitkan pada zaman Sarawak diserahkan kepada British. Kumpulan yang menentang penyerahan ini telah berusaha untuk menyampaikan perjuangannya melalui mata pena,” katanya.
PERANAN UTUSAN SARAWAK
Beliau berkata kelantangan Utusan Sarawak menentang penyerahan Sarawak itu menyebabkan kerajaan British menerbitkan akhbar kerajaan, iaitu Pedoman Ra’ayat. Akhbar kerajaan ini cuba mematahkan hujah-hujah Utusan Sarawak dalam isu penyerahan. Namun, hujah Pedoman Ra’ayat mampu dipatah oleh Utusan Sarawak dengan baik. Pedoman Ra’ayat cuba mempertahankan penyerahan Sarawak kepada British sebagai satu langkah baik.
Malah kata Dr Suffian, Utusan Sarawak juga menyokong penubuhan parti politik yang membela nasib penduduk Bumiputera. Apabila rancangan penubuhan Malaysia diumumkan, Utusan Sarawak juga memainkan peranan penting memberi sokongan kerana ia mampu meyelesaikan masalah keselamatan di Sarawak, terutamanya kegiatan komunis.
“Perjuangan akhbar ini sepanjang awal penubuhannya adalah untuk melihat Sarawak dalam keadaan bebas, aman, makmur dan sejahtera sehingga penerbitannya tamat pada 1971. Namun, akhbar ini dihidupkan semula pada 1990-an dan menjadi akhbar berbahasa Melayu berpengaruh di Sarawak pada hari ini,” katanya yang juga anak Sarawak.
Mungkin ramai yang memenuhi acara kemuncak HAWANA 2024 Isnin lalu tidak mengetahui sejarah sebenar penubuhan Utusan Sarawak yang terus popular hari ini. Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada wartawan dan pengamal media tempatan serta luar negara selain pelbagai wakil agensi.
“Rupanya Rosli Dhoby pernah menulis untuk Utusan Sarawak, atas nama Lidros. Tahniah Utusan Sarawak,” kata seorang rakan wartawan dari Semenanjung selepas majlis itu berakhir.
Sebenarnya, akhbar Melayu pertama ialah Fajar Sarawak, diterbitkan pada 1930 oleh Muhamad Rakawi Yusuf. Sinar Sarawak pula diterbitkan pada 1975, sebagai lidah rasmi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinan Ketua Menteri ketika itu, Tun Abdul Rahman Yaakub. Pada peringkat awal penerbitannya, editorial Sinar Sarawak diketuai Datuk Ahmad Boestamam, seorang wartawan dan aktivis politik anti penjajah Inggeris di Malaysia. Beliau berasal dari Perak dan tiga kali keluar masuk penjara ketika zaman penjajah. Mendapat gelaran Datuk dari kerajaan Sarawak pada 1976, meninggal dunia pada 1983 ketika berusia 62 tahun.
Ketika itu, Sinar Sarawak amat berpengaruh. Ahmad Bosstamam atau nama asalnya Abdullah Thani bin Raja Kechil, menulis ruangan pojok di akhbar itu dan pernah menegur mengenai betapa bebasnya orang ramai keluar masuk ke kediaman Tun Rahman Yakub di Petra Jaya yang boleh mengancam nyawa Ketua Menteri ketika itu, sedangkan ancaman komunis masih berleluasa. Keesokan harinya, kawalan keselamatan di kediaman itu dipertingkatkan atas ‘arahan Pak Bosstamam’ gelaran kakitangan akhbar itu untuk Ahmad Bosstamam, melalui tulisannya itu.
MUNCUL BANYAK MEDIA
Turut membantu editorial Sinar Sarawak ialah Subky Abdul Latif, wartawan terkenal tanah air yang memimpin akhbar Watan di Kuala Lumpur pada era 1980-an dan 1990-an. Generasi wartawan veteran amat mengenali Subky dengan pena tajamnya mengkritik sesuatu isu demi kepentingan negara.
Satu lagi akhbar berbahasa Melayu ialah Utusan Borneo, yang pada mulanya sisipan dalam akhbar berbahasa Inggeris, The Borneo Post, akhbar yang diterbitkan pada 1978. Utusan Borneo juga mempunyai laman bahasa Iban dan bahasa Kadazandusun.
Selain Borneo Post, beberapa akhbar berbahasa Inggeris turut diterbitkan. Antaranya Sarawak Tribune yang muncul selepas Perang Dunia Kedua, pada 1945 dan diasaskan oleh sekumpulan ahli perniagaan dan guru daripada suku Teochew. Pada mulanya, akhbar ini dikenali sebagai Sarawak Times. Bekas Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem pernah berkhidmat sebagai wartawan akhbar itu dan menulis kolum mingguan bertajuk ‘Rumbling In The Kampung’.
Penggantungan tanpa penerbitan Sarawak Tribune yang berusia 61 tahun pada 2006 menyaksikan akhbar itu digantikan dengan Eastern Times, yang kemudian diubah namanya kepada New Sarawak Tribune, hingga kini. Sarawak Vanguard pula adalah sebuah akhbar berbahasa Cina yang mula diterbitkan pada 1952, bersama sebuah lagi akhbar, The Vanguard (berbahasa Inggeris). Akhbar Sarawak Herald pula diterbitkan pada 1970-an.
Malah pada 1980-an muncul akhbar The People’s Mirror, kini sudah berkubur. Beberapa akhbar berbahasa Cina juga diterbitkan dan diedar di Sarawak, antaranya See Hua Daily News, International Daily, Sin Chew Jit Poh dan United Daily News. See Hua Daily News merupakan akhbar berbahasa Cina tertua di Malaysia Timur.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, muncul akhbar seperti Suara Sarawak, akhbar harian berbahasa Melayu, pada 1 Mac 2019, dengan cogan kata ‘Bukan Sekadar Akhbar’ selain media portal dalam talian seperti Sarawak Edition dan Dayak Daily.
Begitu juga dengan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), sebagai media dalam kategori digital melalui FB yang banyak memaparkan berita mengenai program kerajaan dan kemasyarakatan.
Berikutan perubahan ketara dalam dunia media, kebanyakan akhbar di negeri ini juga mempunyai platform digital untuk berita online termasuk menerusi Facebook.
Akhir sekali terima kasih kepada penganjur terutama UKAS dan BERNAMA kerana memilih penulis sebagai salah seorang penerima Anugerah Khas Premier Sarawak pada acara kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 baru-baru ini.
Tanam mempelam dimakan arnab
Tanam kelapa tumbuhnya sireh
Jadilah wartawan bertanggungjawab
Elak sebar berita tak sahih
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.