PUTRAJAYA: Kerajaan akan memuktamadkan penggunaan Kod Respons Pantas (QR) bagi pelepasan Imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor selepas tempoh tiga bulan percubaan fasa pertama selesai dilaksana.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata fasa pertama Sistem Kod QR itu yang melibatkan warganegara Malaysia di BSI dan KSAB bagi mod perjalanan bas dan motosikal akan mula dilaksana bermula Sabtu ini.
“Proof of Concept itu berjalan tiga bulan dan kemudian akan dinilaikan keberkesanan, kebaikan semua sistem itu dan (kita) tengok juga apa kelemahan yang boleh diperbaiki.
“Kalau berjalan lancar maka ia boleh digunakan. Barulah KDN (Kementerian Dalam Negeri) memuktamadkan syarikat mana yang berjaya, konsep mana yang digunakan,” katanya kepada media selepas merasmikan National Conference on Stormwater Management (SWaM) di sini hari ini.
Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor berkata semasa pelaksanaan fasa pertama itu, terdapat tiga sistem cadangan yang akan diuji keberkesanannya.
“Ada tiga sistem cadangan daripada beberapa syarikat yang dikemukakan kepada KDN dan kita akan uji sistem ini, (pengembara) hanya perlu muat turun aplikasi, daftar, sama ada gunakan (aplikasi) Digital ID atau MySejahtera, ambil gambar pasport, gambar individu dan disahkan.
“Jadi apabila dia melalui (imigresen), memadai dia tunjukkan telefon pintar dia sahaja, tak perlu keluarkan pasport. Imbas kod QR itu, automatik akan masuk ke sistem imigresen dan konsep yang dibangunkan ini dijangka menjimatkan secara purata 50 peratus waktu perjalanan,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata hasil Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bil.1 2024, yang diadakan semalam akan dibentangkan ke Kabinet secepat mungkin.
Dalam perkembangan lain, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata kerajaan akan menambah baik Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) sebagai satu langkah penting untuk meningkatkan kecekapan dalam pengurusan saliran hujan bagi mengurangkan masalah banjir.
“Ia (MSMA) ialah satu dokumen yang orang kata hidup, sentiasa diperbaharu mengikut keadaan masa.
“Satu yang kita kena lihat bagaimana hendak memperkenalkan teknologi yang bersesuaian, supaya kita dapat pantau ramalan berhubung kait dengan kemungkinan berlakunya bencana, mengenai sistem itu mungkin ia dapat membuat ramalan lebih awal lagi,” katanya.
MSMA adalah prasyarat untuk kelulusan pelan pembangunan yang melibatkan infrastruktur saliran menjadi fokus utama dalam menangani masalah banjir jangka panjang dan menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam pembendungan banjir.
Kaedah dan panduan dalam MSMA memberikan landasan kukuh bagi reka bentuk sistem saliran yang mampu menampung intensiti hujan yang tinggi terutamanya di kawasan bandar yang padat.
Selain itu, MSMA juga menekankan keperluan untuk pengurusan sumber dan rawatan air secara berkesan dengan memanfaatkan kaedah seperti kawalan sumber, pengurangan aliran dan pembinaan sistem biologi seperti tasik serta paya bakau dan secara tidak langsung bukan sahaja membantu mengurangkan risiko banjir tetapi juga memberi peluang memperbaiki kualiti air serta alam sekitar. – Bernama