BALING: Kerajaan memberi jaminan akan menyediakan rawatan susulan bagi penerima vaksin Covid-19 termasuk AstraZeneca yang terbukti mengalami kesan sampingan ekoran vaksin yang diterima.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan mempunyai data kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) yang berpunca daripada vaksin Covid-19 dan mempunyai kaedah bagi merawat kesan sampingan tersebut.
“AstraZeneca telah menarik balik vaksin mereka dan ini adalah global, apa yang kita mahu pastikan adalah kalau ada sesiapa yang ada bukti yang terkait dengan vaksin AstraZeneca itu, kita memang mempunyai cara untuk pastikan mereka diberikan bantuan.
“Memang ada kaedah kita sebagai kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan mereka dapat menjalani rawatan. Itu jaminan yang diberikan oleh kerajaan. Kita akan tahu kes-kes sebegitu dan kita pun ada daftarnya, kita ada datanya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling dan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kepala Batas yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Badioezaman Ab Khalik dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah Mejar (B) Mansor Zakaria.
Dr Dzulkefly berkata, kerajaan turut akan bertanggungjawab terhadap penerima vaksin daripada firma farmaseutikal lain seperti Pfizer-BioNTech dan Sinovac sekiranya turut terbukti mengalami kesan sampingan.
Sebelum ini, firma farmaseutikal global Britain-Sweden, AstraZeneca dilaporkan menarik balik vaksin Covid-19 di seluruh dunia.
Susulan daripada itu, Dr Dzulkefly semalam dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut dalam masa terdekat.
Sementara itu, ditanya sama ada isu tersebut akan mencetuskan kebimbangan dan keyakinan masyarakat terhadap vaksin, Dr Dzulkefly berkata, isu berkaitan vaksin Covid-19 itu tidak akan memberi kesan terhadap program vaksin lain termasuk Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP).
Menurutnya, walaupun ada segelintir pihak yang sangat sensitif dengan isu vaksin, namun NIP yang menjadi amalan di negara ini sejak sekian lama berjaya meningkatkan imunisasi kanak-kanak serta mencegah jangkitan penyakit serius.
“Vaksin Covid-19 itu satu hal lain, kita juga ada program-program vaksinasi seperti HPV untuk menamatkan kanser pangkal rahim, kita juga ada NIP di mana ibu bapa yang punyai anak akan berasa terbantu kerana vaksin ini mahal.
“Tidak ada pertikaian dalam hal itu, saya yakin rakyat tahu, punya pendidikan, punya pencerahan dan punya pengetahuan dan kita akan terus memberikan pendidikan kepada rakyat,” katanya. – Bernama