BUKIT MERTAJAM: Keluarga Faisal Halim menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan berhubung insiden simbah asid yang menimpa pemain sayap Selangor FC itu.
Bapanya, Abdul Halim Saad, 60, berkata mereka sekeluarga reda dengan kejadian yang menimpa anak keempat daripada lima beradik itu dan menganggap ia sebagai ketentuan tuhan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM kerana telah mengendalikan kes ini dengan baik dan kita serahkan sepenuhnya kepada mereka untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Bagi pihak keluarga, saya juga berterima kasih atas sokongan yang diberikan kepada kami sekeluarga untuk lebih kuat menerima qada dan qadar Allah. Alhamdulillah kami masih kuat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis bacaan Yasin dan doa selamat untuk Faisal Halim di Dewan Homestay Mengkuang Titi di sini, malam tadi.
Lebih 300 orang terdiri daripada penduduk setempat dan pemimpin masyarakat hadir pada majlis tersebut yang dianjurkan oleh Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim.
Abdul Halim menyifatkan anaknya itu sebagai seorang yang kuat dan ‘kebal’ serta sudah boleh menerima kejadian yang menimpa dirinya, malah dilihat semakin bersemangat untuk pulih.
Menurutnya buat masa ini dia tidak mahu mengganggu emosi Faisal, tetapi memberitahu akan ke Shah Alam dalam sehari dua lagi untuk menziarahnya dan setakat ini keluarganya belum membuat keputusan sama ada mahu memindahkan Faisal ke Pulau Pinang.
Sementara itu, Presiden Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim, Ammar Muhamad Pauzi berkata majlis malam ini diadakan atas rasa sayang kepada pemain sayap sensasi Harimau Malaya itu, yang merupakan anak jati Mengkuang Titi dan individu yang sangat disenangi dalam kalangan penduduk setempat serta turut melatih pemain muda di kampung.
“Dia bukan sekadar pemain bola, tetapi dia nak pembangunan bola itu ada di sini dan bantu lahirkan lebih ramai Faisal Halim. Jadi, kami amat kecewa dengan kejadian menimpanya dan berharap dia diberikan kesembuhan,” katanya.
Pada Ahad lepas, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey, disimbah asid di pusat beli-belah di Kota Damansara, Selangor dan disahkan mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas menjalani pembedahan pertama. – Bernama