PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini menegaskan bahawa Sarawak sedang berusaha untuk meningkatkan statusnya melebihi sekadar status sebuah negeri. Beliau menyatakan ‘status Sarawak’ tidak sebanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung, oleh itu akan meneliti aspek undang-undang bagaimana untuk meningkatkan status itu.
Keterangan ini adalah lanjutan daripada pernyataannya yang memberikan petunjuk bahawa Dewan Undangan Sarawak mungkin akan diberikan status yang setara dengan perundangan wilayah dalam masa tidak lama lagi.
Menurut beliau, “Kami jelas layak mendapat status yang lebih tinggi daripada sekadar menjadi negeri lain. Bahkan, kami mempertimbangkan untuk mencapai status yang setara dengan Parlimen wilayah jika kami menggunakan terminologi yang digunakan di beberapa negara Komanwel seperti Australia.”
Lantaran itu, Peguam Besar Sarawak diminta untuk menyelidiki langkah-langkah terbaik menurut perlembagaan untuk menukar terminologi Dewan Undangan Negeri (DUN) agar selaras dengan yang digunakan di negara Komanwel lain, seperti yang dinyatakan dalam ulasannya yang dipetik oleh portal Malaysian Insight.
Sejajar dengan itu, kerajaan Sarawak akan bekerjasama dan berunding dengan Jabatan Peguam Negara bagi menentukan perkataan baharu yang sesuai bagi menukarkan perkataan ‘negeri’ dalam terminologi DUN Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Matlamatnya adalah untuk memastikan bahawa kata ganti baharu yang akan digunakan tidak bertentangan dengan perlembagaan persekutuan, seperti perubahan nama jawatan Ketua Menteri Sarawak kepada Premier Sarawak sebelum ini.
Bagi Premier, pertukaran perkataan negeri dalam terminologi DUN Sarawak itu penting untuk membezakan dan mengiktiraf Sarawak sebagai sebuah wilayah yang bersama membentuk Malaysia.
Sentimen wilayah, bukan hanya negeri
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian sebenarnya paling banyak memberikan kenyataan dan peringatan semalam yang menyatakan kedudukan Premier Sarawak yang kini setaraf dengan timbalan perdana menteri dalam protokol persekutuan.
Dalam kenyataan di Facebooknya itu, Sim menegaskan bahawa perubahan protokol itu telah diperintahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Kabinet dan pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara kepada semua penjawat awam.
Beliau menyatakan bahawa kedudukan Premier Sarawak tidak lagi berada di belakang mana-mana menteri Persekutuan dalam mana-mana program rasmi Persekutuan. Sim juga menyatakan bahawa perubahan ini mencerminkan status Sarawak selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan pada Februari 2022, iaitu jawatan ketua pentadbiran telah diubah dari ‘ketua menteri’ kepada ‘premier’.
Dewan Undangan Sarawak?
Sim juga berkongsi beberapa gambar majlis rumah terbuka Sarawak yang telah berlangsung sebelum ini dan beliau menggariskan bahawa dewan tempat acara tersebut diadakan dinamakan ‘Dewan Undangan Sarawak’ dan bukannya ‘Dewan Undangan Negeri Sarawak.’ Beliau juga menggesa warga Sarawak agar menyokong perubahan kecil namun penting ini serta menekankan bahawa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengiktiraf status Sarawak sebagai wilayah. Digesa juga oleh Dr Sim agar warga Sarawak konsisten dalam menggunakan istilah yang tepat, iaitu ‘kerajaan Sarawak’, bukannya ‘kerajaan negeri Sarawak.’
Implikasi pembentukan Malaysia
Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar pula secara terbuka menyatakan bahawa Sarawak menganggap dirinya sebagai wilayah Malaysia, bukan sekadar sebuah negeri. Sudah tentu, aspek ini ada kaitan dengan sejarah yang memperlihatkan Sarawak memiliki status lebih tinggi daripada mana-mana negeri lain di negara ini dan ini berdasarkan hakikat mengenai Malaysia yang terbentuk pada 1963 adalah melalui penyatuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah, dan Singapura – semuanya merupakan wilayah yang disatukan bagi membentuk sebuah negara.
Justeru, bagi Asfia bahawa sudah tiba masanya bagi Sarawak untuk menggugurkan istilah ‘negeri’ dan untuk menukar istilah DUN, yang digunakan sejak 1976, kepada Dewan Undangan Sarawak bagi mencerminkan status Sarawak sebagai sebuah wilayah.
Sebelum itu, DUN Sarawak dikenali sebagai Majlis Negeri Sarawak sejak 1903. Sejarah institusi tersebut sebagai tertua di negara ini dan terpanjang dalam sejarah kerana persidangan pertama telah diadakan di Bintulu pada 8 September 1867 dan dikenali sebagai Majlis Umum Sarawak.
Sekiranya berubah nama, maka ia akan menjadi kali ketiga pertukaran tersebut dalam sejarah Sarawak. DUN Sarawak merupakan yang terbesar dalam negara apabila mempunyai keanggotaan seramai 82 ahli dewan.
Impian Sarawak
Sudah tentu Impian Sarawak lebih daripada itu, pertukaran nama yang lebih banyak diuar-urakan. Bagi rakyat biasa, sudah tentu perkara asas dalam kehidupan harian sebagai suatu keutamaan dalam hidup mereka. Misalnya, isu pengangguran dan peluang pekerjaan selepas tamat pengajian yang terbatas. Terdapat 580,700 jumlah pengangguran di Sarawak pada 2023 dan setiap tahun ramai lulusan kolej, politeknik dan universiti awam dan swasta terus meningkat dari semasa ke semasa.
Terdapat ramai anak muda dan belia di kawasan pedalaman dan luar bandar berhijrah ke bandar-bandar utama negeri kerana fokus pembangunan lebih banyak di beberapa bandar. Kadar penerima e-kasih di Sarawak masih tinggi terutama di Kuching dan sudah tentu perlu akan dasar intervensi kerajaan negeri. Statistik Jabatan Perangkaan (DOSM) melaporkan pada 2019 mencatatkan kemiskinan tegar di Sabah (19.5 peratus), Kelantan (12.4 peratus), Sarawak (9 peratus) dan Kedah (8.8 peratus). Impian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktah kemiskinan perlu memastikan penoktahan kemiskinan berkekalan dan bukan bersifat sementara dalam tempoh tertentu sahaja.
Walaupun rizab negeri Sarawak kini mencecah RM40 bilion dan Sarawak kini mempunyai Dana Kekayaan Berdaulat, kerajaan Sarawak kini terus menerokai banyak lagi sumber bagi menambahkan pendapatan.
Penanda aras
Apabila Sarawak diberikan status wilayah, Sarawak perlu melihat negara lain apabila mendapat status wilayah, atau wilayah istimewa. Aceh di Indonesia misalnya mendapat status sedemikian yang membawa kepada pertambahan jumlah pembangunan lebih banyak termasuk pengawalan sumber asli mereka sendiri. Status istimewa ini bertujuan untuk memberikan autonomi yang lebih besar kepada Aceh dalam pengelolaan sumber daya alam dan pemberdayaan masyarakat lokal. Ia juga untuk mengiktiraf kepelbagaian sosial, budaya dan politik di Indonesia serta untuk mengatur urusan lokal sejajar dengan prinsip-prinsip penyesuaian terhadap keperluan dan ciri unik status wilayah istimewa.
Belajar dari Aceh dan Papua
Aceh berjaya menerima 70 peratus daripada pendapatan minyak dan gas, selain diberikan hak untuk menerima ‘dana autonomi khusus’ selama 20 tahun. Dalam keadaan biasa royalti hanya 15 peratus daripada minyak dan 35 peratus daripada gas. Di Papua Barat Indonesia, apabila mendapat status wilayah istimewa, wilayah ini mendapat 70 peratus royalti minyak dan gas.
Papua Barat juga mendapat 80 peratus royalti perlombongan, perhutanan dan perikanan.Terdapat juga dua peratus daripada peruntukan keseluruhan negara Indonesia diperuntukkan bagi pendidikan dan kesihatan kepada wilayah istimewa ini.
Nama Dewan Perwakilan Rakyat Aceh juga dipilih sesuai dengan status wilayah istimewa di Indonesia. Sudah tentu nama Dewan Perwakilan Rakyat Sarawak sesuai dijadikan pertimbangan bagi menggantikan nama DUN Sarawak kerana mampu memancarkan suara dan kuasa rakyat Sarawak yang sebenarnya dalam menentukan masa depan politik Sarawak.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).