Oleh: Tan Chiew Yion
TANGGAL 28 November tahun 2023 menandakan tamatnya riwayat hidup seorang insan yang telah lama berjuang menempuh liku-liku hidup dan cabaran yang bertubi-tubi. Tamparan demi tamparan kami sekeluarga terima setelah adik sulung ku yang menderita sakit selama 12 tahun akibat hipertensi.
“Berdasarkan x-ray yang dibuat, kami mendapati bahawa berlaku pendarahan di otak kanannya. Saraf otaknya pecah. Ahli keluarga cik ada sesiapa yang ada tekanan darah tinggi ke?” tanya doktor yang baru keluar dari bilik kecemasan kepada kami bertiga. “Cik kena bersedia, dia akan mengalami kelumpuhan di sebelah kiri (left hemiplegia). Jika ada ahli keluarga cik yang ada sejarah tekanan tinggi, kebarangkalian ahli keluarga yang lain menghidap penyakit yang sama amat tinggi.” ujar doktor tersebut kepada kami lagi.
Menurut doktor lagi, terdapat banyak faktor yang telah dikenal pasti boleh meningkatkan risiko aneurisma, namun tiada punca secara langsung yang jelas pernah direkdokan. Tapi yang pasti ialah tekanan darah tinggi boleh memyumbang kepada masalah aneurisma secara tidak langsung. Daya yang dikenakan kepada dinding arteri semasa darah mengalir bergantung kepada tekanan yang dikenakan kepada dinding arteri. Ini bermakna, jika tekanan darah meningkat, daya yang dikenakan kepada dinding arteri turut meningkat menyebabkan salur darah menjadi besar dan lemah. Bagi individu yang sihat, tekanan darah adalah pada sekitar 120/80mmHg. Jika seseorang itu didiagnosis dengan tekanan darah tinggi (bersamaan atau lebih daripada 140/90 mmHg), maka ia bukan sahaja meningkatkan risiko penyakit jantung, malah aneurisma.
Bibit-bibit kejadian waktu adik sulung ku mengalami serangan strok masih jelas terpapar di mindaku. Agak sukar untuk dipadam. Gangguan kegelisahan bukan sekadar permainan di minda.
“Kak, sebelah kiri adik tak dapat bergerak,” ujar adik sulung kepada kakak ku yang menjawab panggilan telefonnya. Lalu terdengar bunyi jatuh terhempas. Itulah kali terakhir adikku yang sempat menyampaikan khabar.
Dengan lekas, kami bergegas ke rumah kediaman adik. Pintu rumahnya terbuka ketika kami sampai. Dia terbaring atas lantai. Mukanya pucat, mulutnya terkumat-kamit ingin menyatakan sesuatu, tapi suaranya tak keluar. Badannya makin lemah dan dia berada dalam keadaan bawah sedar. Kami cuba mengurut-urut seluruh badannya dan membangunkannya. Namun, dia nampak seolah-olah macam tak ada rasa, terutamanya sebelah kiri badannya. Kami bertiga panik dan tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya, lebih-lebih lagi apabila melihat dia mulai tak sedar.
“Jangan tidur dik,” kami menjerit-jerit untuk mengejutkannya. Kami bertiga kemudian telah sedaya upaya mengangkat badannya yang berat ke dalam kereta untuk dibawa ke hospital. Beberapa orang pegawai perubatan lekas menghulurkan bantuan apabila kereta kami sampai ke pintu kecemasan. Dia dibawa ke zon merah, zon yang kritikal. Doktor keluar masuk ke bilik kecemasan. Kami cuma dapat memerhati dari jauh kerana ahli keluarga tidak dibenarkan masuk ke bilik kecemasan. Hanya dari celah-celah pintu saja dapat kami intai. Baju adik dikoyakkan dan seluruh katilnya dikelilingi mesin. Itu saja yang kami nampak.
“Ahli keluarga perlu menandatangani borang keizinan bagi rawatan lanjut yang melibatkan pembedahan,” kata doktor kepada kami lalu menghulurkan borang untuk diisi. Itu prosedur pembedahan yang perlu dipatuhi. Sebarang rawatan yang menggunakan teknik operasi dan instrumental pada seseorang pesakit untuk menyiasat atau merawat keadaan patologi seperti penyakit atau kecederaan, untuk meningkatkan fungsi tubuh atau memperbaik keruntuhan bahagian-bahagian tubuh yang tidak diingini. Borang tersebut boleh diisi sama ada oleh pesakit itu sendiri mahupun wakil pesakit, iaitu ahli keluarga pesakit.
Kami kemudian dimaklumkan bahawa pembedahan akan bermula sebaik saja tekanan darah adik menurun. Semua pegawai perubatan telah bersedia sekarang, cuma menunggu masa yang sesuai saja,iaitu apabila keadaan adik saya sudah stabil. Pembedahan tersebut mengambil masa 4 jam. Dia tidak dimasukkan ke wad biasa selepas operasi tamat kerana masih memerlukan pemantauan lanjut dalam teater pembedahan. Bahagian dadanya dipasang Monitor Holter, iaitu sejenis peranti boleh pakai dan jenis elektrokardiogram ambulatori untuk memeriksa jantungnya. Alat ini berfungsi untuk merakamkan aktiviti elektrikal yang dikeluarkan oleh otot-otot jantung. Selain itu, ia digunakan untuk merekodkan aktiviti irama dan kadar jantung seseorang pesakit.
Amat sukar bagi menggambarkan perasaan kami ketika itu. Aku cuba mengawal yang aku ingat seluruh badannya penuh dengan tiub dan wayar. Hidupnya bagaikan nyawa-nyawa ikan. Ku tidak dapat membayangkan perasaan pesakit itu sendiri. Setakat mana kekuatannya sama ada secara fizikal atau mental untuk menghadapi tragedi yang menimpa pada dirinya. Dia juga menghadapi masalah pernafasan. Ventilator atau alat bantuan pernafasan dipasang untuk membantunya bernafas sementara mahupun secara kekal kerana paru-parunya tidak dapat berfungsi dengan baik. Lantaran itu, mesin ventilator digunakan untuk membekalkan oksigen ke dalam paru-parunya supaya pertukaran oksigen dapat berlaku. Mesin juga membantu melembabkan serta menghangatkan udara yang disalurkan agar serasi dengan suhu badan pesakit.
Tiub atau kateter kencing turut dipasang di bahagian bawahnya. Tiub ini merupakan tiub yang dimasukkan ke dalam pundi kencing pesakit untuk mengeluarkan air kencing dari pundi kencing bagi pesakit yang mengalami masalah kesukaran kencing atau pengawalan kencing. Sementara tangan adikku dipasang jarum pada kedua-dua belah tapak tangan. Rasionalnya pihak hospital berbuat demikian adalah untuk memasukkan drip air dan ubat. Keresahan dan kegelisahan bertambah apabila meneliti kesan cucukan jarum pada tangan adik lebih daripada 10 kali yang dilakukan oleh pengamal perubatan termasuk doktor dan jururawat yang tidak menemui saluran darah untuk memasukkan jarum bagi pengambilan darah. Ku cuba meluahkan rasa kurang senang akibat tangan adik dicucuk berulang kali berikutan gagal untuk mendapatkan darah. Walau bagaimanapun, niat berbuat demikian dibatalkan. Ku cuba tenangkan diri agar tidak menunjukkan emosi yang negatif. Ku tidak mahu mengganggu mereka menjalankan tugas. Sesungguhnya tiada sesiapa pun di dunia ini sempurna. Dalam proses melaksanakan tanggungjawab, memang tidak dapat dielakkan daripada melakukan kesilapan.
“Saya bagi arahan terakhir, minggu ni you mesti bawa adik you pulang. Jika tidak, kami akan menghantarnya ke hospital luar bandar.” kata Dr. Lee dengan nada yang keras. Ku dapat rasa ketidakpuasan hatinya telah sampai ke kemuncak. Nanti saya suruh nurse ajar macam mana memberi makanan dengan melalui tiub dan cara menukar pampers.”
“Macam mana kak? Adik kena halau lagi.” Ku bertanya pada kakak yang baru sampai ke wad neuro. “Itu doktor apa? Di mana perginya kod etika doktor? Tidak berperikemanusiaan langsung.”
Waktu itu kami kena halau banyak kali sehingga rasa fobia apabila menjejak kaki ke wad neuro. Kami belum bersedia untuk membawa adik pulang ke rumah. Di mana boleh kamu mencari semua peralatan dan kelengkapan seperti yang sedia ada di hospital? Dari segi mentaliti pun kami belum bersedia untuk menerima keadaan adik secara mengejut daripada seorang yang sihat berubah menjadi kepada lumpuh secara tiba-tiba.
Ke hulur ke hilir kami cuba sedaya upaya mencari tempat yang sesuai untuk menempatkan adik. Dia masih dalam keadaan pra-sedar ketika kami membawanya balik ke rumah. Kami juga telah membuat tinjauan terhadap beberapa pusat jagaan. Setelah diberi pertimbangan, akhirnya kami membuat keputusan untuk membawanya balik ke rumah. Saya dan kakak akan menjaganya. Kami telah mengupah seorang penjaga sambilan untuk menjaga adik.
“Cik, adik cik terjatuh daripada katil.”
Waktu aku berada di pejabat, ku dikejutkan oleh panggilan telefon yang meminta bantuan daripada penjaga. Menurut penjaga tersebut, adikku terjatuh daripada katil waktu dia membancuh susu di dapur. Ku terpaksa meminta cuti daripada majikan dan menemani penjaga menghantar adik ke hosiptal. Dahinya menerima 7 jahitan.
“Esok, kamu tidak perlu datang lagi.” Sambil menghulurkan gaji minggu itu ku beritahu penjaga bahawa dia dihentikan.
Tugas menjaga adik diserahkan sepenuhnya kepada kami berdua lepas penjaga dihentikan.
“Boss, bolehkah saya minta kebenaran untuk keluar sekejap? Adik saya sakit strok. Saya perlu balik sekejap untuk memberikan makanan?” Saya bersyukur kerana majikan tidak pernah banyak soal dan terus meluluskan permintaan saya. Tempoh 12 tahun bukan suatu masa yang singkat dan telah bertukar 4 orang majikan. Kesemua majikan saya merupakan orang yang bertimbang rasa dan bertolak ansur. Sejak memikul tanggungjawab menjaga adik sepenuh masa, hidup kami semakin mencabar, lebih-lebih lagi apabila adik menghadapi masalah telan.
“Adik kamu perlu memasang tiub nasogasrtik (Tiub NG). Tiub NG biasa lebih murah tapi cuma boleh pakai 2 minggu. Jika guna tiub silikon boleh tahan 3 bulan, tapi harganya lebih mahal.” ujar doktor setelah menerangkan keadaan adik yang sedang menghadapi masalah menelan tidak sesuai disuapkan makanan pepejal. Sebaliknya doktor mencadangkan agar dia diberikan susu tepung Ensure.
“Nanti kamu bawa surat ini berjumpa dengan pakar nutrisi di belakang bangunan ini. Mereka akan ajar macam mana suap adik. Ini formula pemberian susu. Pastikan isipadu dan kekerapannya tepat.” Pesan pakar nutrisi kepada saya.
Selepas berjumpa dengan pakar nutrisi, saya disuruh berjumpa dengan seorang jururawat di klinik perubatan. Seorang jururawat datang demo cara memberikan makanan dengan menggunakan tiub NG.
“Sambungkan picagari 10CC ke tiub nasogastrik dan sedut keluar kandungan perut adik bagi memastikan tiub nasogastrik berada di dalam perut. Jangan beri makanan sekiranya melebihi 100CC kandungan perut disedut. Kemudian keluarkan picagari 10CC tadi, sambungkan dengan picagari 50CC tanpa psitan (plunger). Lipatkan tiub nasogastrik bagi mengelakkan udara masuk ke perut. Pegang picagari setinggi perut adik. Tuangkan susu dan ubat-ubatan. Lepaskan lipatan dan benarkan aliran minuman ke dalam perut. Pastikan picagari tidak kosong untuk mengelakkan udara masuk yang boleh menyebabkan kekembungan. Bidas tiub nasogastrik bagi mengelakkan tersumbat dengan memasukkan air suam pada kahir feeding 25CC-50CC. Tutup semula tiub nasogastrik setelah selesai memberi minuman dan cuci alat yang digunakan.” Berulang-ulang kali jururawat tersebut memberi penerangan dengan penuh kesabaran. Dia juga berpesan agar: “Dudukkan pesakit dalam kedudukan tegak 90 darjah dan kekalkan selama satu jam selepas pemberian susu. Jangan sesekali memberikan makanan kepada pesakit dalam keadaan baring kerana ia mungkin menyebabkan makanan termasuk ke bahagian peparu pesakit dan menimbulkan penyakit.”
Tugas kami bertambah selepas adik menggunakan tiub NG. Bagi kami, tugas yang paling berat bukan sahaja menukar drypers, melakukan rehabilitasi senaman, menghindari bedsores, sembelit, malahan kami perlu belajar cara memberi rawatan fisioterapi untuk adik.
“Rawatan di rumah perlu dibuat secara konsisten. Jangan biarkan plateau menghalang adik kamu daripada sembuh.” Pesan pegawai pemulihan perubatan (fisioterapi). “Memandangkan adik kamu left hempiplegia, maka kamu letak kerusi roda di sisi sebelah kanan adik. Pasang brek kerusi roda. Tanggalkan tempat letak tangan kerusi roda. Alihkan tempat letak kaki kerusi roda. Alihkan adik kamu ke posisi mengiring ke kanan. Kamu berdiri di sebelah kanan adik. Angkat lengan tangan kiri adik di atas pertunya. Silangkan kakinya ke kanan. Kamu berdiri dengan kaki kanannya melutut di atas katil. Ampu bahu dan pinggul kiri adik dan pusingkan secara serentak ke kanan. Alihkan adik dari posisi mengiring ke posisi duduk. Turunkan kedua-dua kakinya ke sisi katil…..,” sambungnya lagi.
Suatu tugas yang amat kompleks. Banyak peraturan yang perlu dipatuhi untuk mengalihkan pesakit. Ditambah dengan saiz badannya yang besar dan berat. Ku cuba meyakinkannya agar semua ilmu yang diajar akan diingati dan dipraktikkan. Sebenarnya ku lebih suka guna cara sendiri untuk mengalihkannya.
“Kak, sawan lagi…adik sawan lagi…” suatu jeritan yang menakutkan. Sudah sekian lama keadaan seram seperti ini menyelubungi rumah ini.
“Bawa dia ke emergency sekarang.” kata kakak. Perkara yang paling ku tak suka. Hampir setiap minggu kami membawanya ke emergency sejak adik diserang strok buat kali kedua.
“Ini komplikasi daripada pembedahan otaknya. Epilepsi atau sawan berpunca daripada gangguan otak apabila sel-sel saraf dalam otak mengeluarkan isyarat yang luar biasa. Corak aktiviti neuron terganggu menjejaskan perasaan, tingkah laku dan emosi. Kadang-kala boleh menyebabkan kejang otot dan pernafasan. Tanda dan gejala sawan menyeluruh ialah tidak sedar, jatuh, kancing gigi, terkencing, terbuang air besar dan mulut berbuih.” ujar doktor. “Kami akan membuat diagnosis epilepsi dengan menggunakan imbasan otak,” ujar doktor lagi yang kemudian menerangkan: “EEG (elektroensefalogram ialah rekod gelombang otak dalam meletakkan elektrod pada kulit kepala. EEG dapat mengesan aktiviti gelombang otak yang tidak normal. Imbasan otak yang digunakan adalah imej resonan magnetik (MRI). MRI digunakan bagi mengesan keabnormalan struktur di dalam otak pesakit.”
Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh doktor, keadaan adikku ternyata ada ciri-ciri kesan sampingan dari ubat pencegah epilepsi kerana dia selalu mengadu sakit kepala, murung, berat badannya bertambah dan tidak berupaya berfikir secara rasional.
“Adik nak makan kek ke? Teh tarik?” Setiap kali aku bertanya, dia mesti menggeleng-geleng kepala. “Tak nak.” Kadang-kala dia menjawab. Satu perubahan yang drastik sejak dia mula strok daripada seorang yang lebih cergas. Ku masih ingat lagi setiap kali mendukungnya dari belakang untuk menahan badannya agar dapat berjalan secara perlahan-lahan. Dengan bantuan kakak saya yang melutut untuk menarik kakinya melangkah. Setiap pergerakan perlu dibantu. Dia berasa gembira ketika itu dan pandai bergurau senda dengan kami. Kadang-kala aku memusing-musing badannya menari mengikut rentak muzik. Dia suka dan tergelak-gelak.
“Kak, saya ni orang yang tak berguna.”
“Jangan fikir negatif. Kak akan bantu. Yang penting semangat dan keyakinan mesti ada.” Ku cuba menenangkan kerungsingannya dan kemurungan dengan kata-kata motivasi dan dorongan. Kami cuba menghiburkan hatinya dengan mengalihkan perhatiannya agar tidak mengenangkan perkara yang negatif dan melupkan kesakitannya. Meskipun usahaku dan kakak tidak membuahkan hasil yang diingini dan badannya makin lemah. Dia menderita kesakitan waktu akhir-akhir sebelum meninggal. Kami cuba menenangkan emosinya Kami tetap memberikan penjagaan dan kasih sayang sepenuhnya. Ku masih ingat lagi, dia suka apabila ku dekatkan pipiku ke dahinya dan mengusap-usap kepalanya. Dia suka pegang tanganku apabila ku mendekatkan badannya. Walaupun kini dia sudah meninggalkan kami, namun kenangan manis dan asam garam yang pernah kami lalui bersama tidak akan dilupakan buat selama-lamanya. Semoga adikku yang tercinta terus dilindungi Tuhan di syurga – tenang, bahagia dan sejahtera tanpa kesakitan. Walaupun orang sudah tiada, namun doa kami tetap akan berterusan hingga ke akhir hayat.