KUALA LUMPUR: Permintaan getah dunia akan kembali mencatatkan pertumbuhan positif pada Jun 2020 dengan jangkaan penggunaan getah asli berkembang sebanyak 0.4 peratus selepas merosot pada April (-23.1 peratus) dan Mei 2020 (-10.1 peratus).
Lembaga Getah Malaysia (LGM) dalam kenyataan berkata, ini menggambarkan bahawa pasaran getah dijangka bergerak positif sejajar dengan peningkatan permintaan getah asli dunia.
“Bagaimanapun, pasaran dan permintaan ini turut bergantung kepada faktor keberkesanan sesebuah negara dalam menguruskan pelan pemulihan ekonomi dan kawalan penularan wabak Covid-19 di negara masing-masing secara efektif dan berkesan,” katanya.
Katanya selepas mengalami kejatuhan harga yang ketara pada 2 April 2020, harga getah SMR 20 kini merekodkan aliran pergerakan positif dengan berlegar dalam julat RM4.60 hingga RM4.95 sekilogram bagi tempoh 6 April hingga 29 Mei 2020.
Faktor utama pergerakan harga tersebut disokong oleh pemulihan permintaan getah asli dunia berikutan kebanyakan negara telah melonggarkan kawalan pergerakan terutamanya China yang kini telah membuka semula operasi industri pembuatan setelah ditutup sejak akhir Januari 2020 akibat Covid-19.
Selain itu, katanya, faktor perkembangan positif pasaran minyak mentah dunia yang kini berada pada paras melebihi AS$35 setong.
“Faktor lain ialah kekurangan bekalan getah asli di peringkat global di mana pengeluaran getah dunia pada 2020 dijangka merosot 2.3 peratus kepada 13.43 juta tan berbanding tahun sebelumnya akibat aktiviti penorehan yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan dan musim daun luruh di negara-negara pengeluar getah asli,” katanya.
Katanya, negara China merupakan pengguna terbesar getah asli dunia apabila permintaan getah dijangka meningkat untuk menyokong perkembangan sektor automotif.
“Rekod penjualan kenderaan di China pada April 2020 adalah tinggi iaitu meningkat 4.4 peratus setelah mencatatkan pertumbuhan negatif sejak 21 bulan sebelumnya berikutan rakyat China memilih untuk memiliki kenderaan sendiri dan mengurangkan penggunaan pengangkutan awam ketika wabak Covid-19 masih lagi aktif,” katanya.
Katanya mulai 4 Mei lepas, kerajaan telah membenarkan beberapa sektor ekonomi termasuk industri dan aktiviti perniagaan beroperasi semula dan kebanyakan negara di dunia juga telah melonggarkan perintah berkurung dengan membuka semula aktiviti ekonomi negara masing-masing secara berperingkat.
“Ini dijangka akan memberi kesan permulaan yang baik kepada rantaian ekonomi dunia termasuk pasaran dan permintaan getah asli,” katanya.
Katanya kerajaan akan terus memastikan kebajikan pekebun kecil di Malaysia terjamin dengan meneruskan pelaksanaan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) untuk meringankan beban pekebun ketika harga getah rendah selain menggalakkan mereka untuk terus menoreh bagi memastikan keperluan bekalan bahan mentah untuk industri pemprosesan dan pembuatan barangan getah mencukupi. – Bernama