Oleh: Mohidin Haji Malek
HAKIKAT yang dimaklumi dan difahami ramai adalah bahawa penghasilan atau penukangan mana-mana hasil seni menuntut katajaman deria pandang, sensitiviti nurani, kepekaan terhadap elemen keindahan, kreativiti, kedalaman kanta taakul serta daya fikir. Apa-apa juga karya cipta yang dihasilkan adalah berupa penterjemahan sesuatu makna yang tersirat di sebalik setiap, sama ada garisan, lorekan, warna, diksi, lenggok, gerak mahupun bentuk yang diilhamkan. Keindahan yang tertampil daripada sentuhan sensitiviti naluri yang halus, pada kebiasaannya, akan melahirkan sesuatu yang menjadi tarikan, sama ada pada mata pandang, mahupun mata taakul khalayak atau pencinta seni. Tarikan yang seterusnya mampu membangkitkan keterujaan serta goda pikat untuk sama ada memiliki sesuatu hasil karya seni, mahupun menempatkannya dalam album ingatan sampai bila-bila masa.
Demikianlah halnya dalam konteks penghasilan karya kreatif, sama ada novel, cerpen, puisi mahupun skrip teater atau drama. Namun, keindahan yang tertampil dalam sesebuah hasil karya dalam dunia penulisan tidak dapat dilihat melalui mata pandang semata-mata, akan tetapi melalui pembacaan, pencernaan, pemahaman, serta penaakulan. Keindahan yang tertampil dalam apa-apa juga bentuk penulisan, diterapkan lewat kepersisan bahasa yang digunakan, dan dalam konteks ini, kebijaksanaan pengkarya dari aspek pemilihan kata-kata dan pembentukan frasa atau ayat yang mampu menimbulkan kesan yang tekal dalam nubari pembacanya. Di samping hal sedemikian itu, unsur penerapan perasaan dalam karya turut menjadi elemen yang tidak kurang pentingnya bagi penitipan atau penerapan ‘roh’ sesebuah karya. Hal ini sememangnya amat sukar dilakukan. Untuk menyentuh jiwa khalayak pembaca sememangnya bukan mudah kerana setiap daripada kita memang berbeza dari segi tindak balas terhadap sesuatu situasi.
Selain daripada itu, mesej yang hendak disampaikan serta falsafah yang ingin dilontarkan harus jelas dan perlu diberikan perhatian. Tidak dinafikan bahawa terdapat perselisihan pandangan tentang ciri-ciri tertentu yang ‘dituntut’ dalam sesebuah karya. Namun, aspek yang perlu diterima secara umum ialah hakikat bahawa setiap manusia sukakan, atau dalam situasi-situasi tertentu, ‘memuja-muja’ serta terpikat dengan keindahan. Apatah lagi seandainya keindahan tersebut amat bertaut rapat dengan sama ada pengalaman atau prinsip hidup insan berkenaan. Lantaran hal sedemikian itu, untuk menghadirkan keterujaan khalayak agar terdorong menatap dan mengagumi apa-apa juga hasil karya seni, elemen keindahan dituntut untuk dititip dalam bentuk dan sisi yang berbeza, mengikut jenis atau genre karya berkenaan.
‘Keterpikatan’ terhadap sesuatu karya seni, lazimnya akan menimbulkan ‘apresiasi’ terhadap karya seni berkenaan. Apresiasi yang dalam situasi tertentu, membuka ruang untuk ‘membicarakan’ sisi-sisi atau komponen-komponen keindahan yang tersirat dalam karya berkenaan. Pun tidak kurang juga polemik yang menghadirkan ‘debat’ atau ‘pencarian’ yang berterusan tentang apa-apa yang ingin disiratkan oleh pengkaryanya.
Hal sedemikianlah yang ‘menghangatkan’ dan ‘memeriahkan’ arena seni berkarya. Iklim sedemikian ini terlakar, bukan sahaja dalam arena pengkaryaan pada peringkat wilayah atau negara, malah pada peringkat antarabangsa sekalipun. Apresiasi yang sedemikianlah yang membibitkan usaha ke arah penobatan karya berkenaan dalam bentuk ‘penganugerahan’ sebagai perakuan, pengikitrafan terhadap mutu sesebuah karya, di samping penghargaan kepada pengkaryanya. Malah, dalam usaha untuk menampilkan banyak karya yang bermutu, kegiatan seperti sayembara dianjurkan oleh pelbagai pihak. Hal-hal yang diperkatakan di atas berupa antara testimoni bahawa sesebuah hasil karya seni yang tinggi mutunya, mendapat perhatian dan pengiktirafan.
Dalam konteks bidang penulisan kreatif, proses atau tatacara ‘pewasitan’ sesebuah karya berbeza, mengikut genre. Pun turut berbeza mengikut sisi pandang para ‘wasit’ serta ‘wasitah’ yang menilai karya-karya berkenaan berdasarkan ‘pegangan’ serta ‘keyakinan’ masing-masing terhadap aliran pemikiran lewat pendedahan terhadap teori-teori tertentu yang diyakini. Hal sedemikian bukanlah suatu bentuk ‘kesalahan’ atau ‘penyimpangan’. Perbezaan dalam penerapan teori-teori yang diyakini inilah yang meluaskan lagi sisi pandang, di samping merancakkan arena ‘pembicaraan’ terhadap sesuatu karya. Perkara yang secara tidak langsung, ‘mengangkat’ atau ‘mempopularkan’.
Ekoran itu, pengkarya harus berusaha untuk menampilkan sesuatu ilham cipta yang mampu ‘memikat’ bukan sahaja khalayak pembaca, akan tetapi turut ‘menggamit’ para penilai, wasit dan wasitah. Penghasilan karya yang memiliki ciri-ciri yang dinyatakan pada bahagian awal makalah ini. Bagi pengkarya yang sememangnya sudah mahir serta memahami “sepak terajang” dalam dunia pengkaryaan, hal yang sebegitu dianggap ibarat “berjalan santai-santai di taman bunga”. Akan tetapi, bagi pendatang baharu, usaha yang lebih gigih harus dilakukan bagi menampilkan satu karya yang mantap lewat kaedah penajaman deria pandang serta pendalaman daya taakul.
Lazimnya, bagi seseorang insan yang sempurna sifatnya, keterujaan dan keterpikatan akan sesuatu sama ada benda, perkara atau peristiwa, bermula daripada deria pandang. Ibarat seni kata lagu Dari Kerana Mata, nyanyian Allahyarham R. Azmi dan didendangkan semula oleh Allahyarham Sudirman. Daripada pandangan, terbentuknya persepsi. Persepsi yang terbentuk pula berbeza-beza, bergantung pada sisi pandang atau alur pemikiran seseorang. Ibarat kata pepatah, “lain padang, lain pula belalangnya”. Sebagai contoh, sebatang pokok dari segi penterjemahan seseorang ialah segala jenis tumbuhan. Namun bagi seseorang yang kritis atau kritikal, pokok dianalogi atau dikiaskan ibarat sebuah organisasi atau kehidupan. Batang, dahan, daun, bunga serta buah membawa perumpamaan tersendiri, bergantung pada pengkiasannya. Demikian sifat luar biasa persepsi yang terbit daripada minda yang kreatif, cetusan daripada penaakulan yang amat dalam.
Bertitik tolak daripada hal yang diperkatakan di atas, fokus perbincangan dihalatujukan kepada tiga buah sajak yang tersiar dalam ruangan ini pada minggu lalu, iaitu sajak “Tuhan, Aku Ingin Masuk” karya Stefanie Kaso, “Selamat Hari Jadi, Kawan”, hasil tulisan Angelo Taj, dan “Rama-rama di Rimba Derita” nukilan Lt. Kol. (Dr.) Mohd Fadzly bin Hj. Miswan. Sajak-sajak yang dihasilkan berlainan dari segi persoalan dan menarik untuk dikupas.
“Tuhan, Aku Ingin Masuk” karya Stefanie Kaso berupa sajak yang memaparkan elemen ‘kesufian’. Pengkarya melontarkan suara hatinya akan kekerdilan dirinya yang selama ini masih teraba-raba dalam pencarian ‘mengenal’ Yang Maha Pencipta. Pencarian yang melontarkan dalam daerah kesesatan yang membingungkan. Tidak dinafikan bahawa dalam proses kita cuba memahami akan hakikat kewujudan serta keberadaan diri, banyak persoalan yang menghantui jiwa dan fikiran. Andai seseorang itu tidak utuh atau goyah keimanannya, tidak mustahil akan terhumban ke jurang dalam yang menyesatkan dan akhirnya terpesong akidahnya. Sedangkan, ‘pencarian’ dalam konteks mengenali Tuhan, sudah jelas serta nyata.
Sajak ini baik dari segi pengolahan strukturnya. Pun demikian, masih ada ruang untuk melakukan pemurnian. Sebagai contoh, penggunaan kata “kalau” pada permulaan baris pertama, rangkap pertama dan kedua, muluk ditukar kepada kata “andai” di samping pengguguran partikel -lah pada kata “tidaklah”pada baris ketiga, rangkap pertama dan kedua. Sekadar cadangan, rangkap akhir sajak berkenaan boleh diubah menjadi “buta aku/alpa selalu/Kau hadir sebelum kucari/jelas sebelum kufahami”. Di samping itu, kaedah penulisan yang betul apabila merujuk Tuhan adalah seperti berikut: “alamat-Mu” dan “isyarat-Mu”. Secara umumnya sajak yang dihasilkan Stefanie baik. Dipaparkan kembali sajak berkenaan seperti yang berikut;
Tuhan, Aku Ingin Masuk
Kalau mencari alamatmu
semudah mencari dalam buku
telefon, tidaklah aku tersesat
di rumah-rumah kosong lohong hitam.
Kalau memahami isyaratmu
semudah membaca pasang surut
air, tidaklah aku bingung setelah
membaca isi dalam lautan.
Rupa-rupanya aku buta, sering lupa;
sebelum mencari Kau sudah datang
sebelum memahami Kau sudah jelas.
Sajak kedua, “Selamat Hari Jadi, Kawan” tulisan Angelo Taj memaparkan tentang sambutan ulang tahun kelahiran seorang kawan (tidak pasti lelaki atau wanita). Sambutan ulang tahun kelahiran, bagi kebanyakan orang, berupa hari yang amat penting yang sering diraikan bersama-sama keluarga mahupun rakan-rakan. Menjadi tradisi, sambutan ditandai dengan ‘penyediaan’ kek hari jadi yang dihiasi dengan pelbagai motif atau corak hiasan serta ‘penyalaan’ lilin yang akan ditiup oleh insan yang diraikan.
Sajak ini polos atau biasa-biasa sahaja, tanpa menampilkan kedalaman dari segi penitipan pemikiran serta falsafah. Tidak salah untuk menghasilkan karya tentang hari jadi, akan tetapi tajamkan deria pandang serta perdalamkan daya taakul agar mampu tertitip ‘roh’ dalam sajak berkenaan. Lihat sisi-sisi yang berbeza daripada kelaziman. Memang sukar untuk dilakukan, akan tetapi bukan mustahil. Diimbau kembali sajak yang dihasilkan seperti yang berikut;
Selamat Hari Jadi, Kawan
setiap hari lahir, sebatang lilin akan dibakar
untuk umur yang panjang
selamat hari jadi, kawan
kita tetap memperingati
apa yang telah pergi
usia cuma angka
yang dikira sebagai nombor
kehidupan – kehidupan yang ditinggalkan
terpotret antara kenangan terindah kita
setiap hari lahir, kek akan dipotong
lilin ditiup dan hajat diucapkan.
Sajak ketiga, “Rama-rama di Rimba Derita” karya Lt. Kol (Dr.) Mohd Fadzly berupa sebuah sajak yang menitipkan falsafah tentang kehidupan. Pengkarya cuba menitipkan pemikiran tentang kehidupan ibarat beluncas atau larva rama-rama atau ulat bulu yang menaruh harapan untuk berubah bentuk menjadi rama-rama cantik berwarna-warni, bebas berterbangan, namun jangka hayatnya teramat pendek. Tiba waktunya, rama-rama akan menyembah bumi dan kematiannya diibaratkan sebagai sia-sia.
Untuk mentafsir secara mendalam alur fikir pengkarya, pembacaan berulang kali perlu dilakukan bagi memahami sebenar-benarnya apa-apa yang ingin diketengahkan. Walaupun persoalannya amat mudah, akan tetapi ada sesuatu rahsia yang disiratkan lewat pemaparan beluncas, rama-rama dan kematian yang sia-sia. Walaupun hakikatnya dimaklumi bahawa rama-rama berperanan dalam proses pendebungaan, namun masih ‘diketengahkan’ hakikat ‘matinya umpama sia-sia’.
Pengolahan sajak ini baik. Namun, masih ada ruang untuk membaiki sajak ini. Sebagai teguran, seboleh-bolehnya, elakkan penggunaan frasa “mentega terbang” pada baris kelima, rangkap pertama. Ungkapan tersebut diambil daripada tajuk sebuah filem yang agak kontroversi suatu ketika dahulu. Frasa berkenaan adalah padanan bagi kata butterfly (rama-rama). Dipaparkan semula sajak berkenaan seperti yang berikut;
Rama-rama di Rimba Derita
Bagai beluncas di ranting suram
berselimut hujung dedaun
menepis mantera ajal
mengemis harap
___kembang laksana “mentega
terbang”;
bebas berlayangan
leka siaga muslihat musuh
dalam lipatan angin
Sayap terhias warnaan bianglala
mengepak bagai kitaran roda
pada sehari hayat
menaksir tipu daya jumantara
Di hujung waktu
ia mencium tanah;
matinya umpama sia-sia
Secara keseluruhannya, penukilan ketiga-tiga buah sajak ini agak baik. Namun, masih ada ruang untuk melakukan penambahbaikan agar penampilan sajak-sajak berkenaan bertambah mantap dan bertenaga.
Seperti yang dinyatakan pada awal makalah, pengkarya harus lebih kreatif dan kritis. Tajamkan deria pandang agar dapat menembusi sesuatu yang tersirat di sebalik apa-apa yang terlihat. Selami kedalaman lautan taakul agar lebih luas pentafsiran tentang sesuatu yang terpapar. Di samping hal yang sedemikian, seperti yang dinyatakan kepada para pengkarya baharu, jadikan kamus teman sejati semasa berkarya.
Tahniah dan syabas sekali lagi kepada Stefanie Kaso, Angelo Taj dan Lt. Kol. (Dr.) Mohd Fadzly bin Hj. Miswan. Teruslah berkarya. Perkayakan ilmu pengetahuan tentang genre puisi dengan banyak membaca. Semoga anda berjaya dalam bidang pengkaryaan. Salam bahasa, sastera dan budaya. Bahasa nadi bangsa.