KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melantik Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa esok.
Menurut kenyataan MIDA semalam, Sikh Shamsul Ibrahim akan menggantikan Datuk Arham Abdul Rahman yang bersara hari ini.
“Sejak menyertai MIDA pada 1996, Sikh Shamsul Ibrahim telah memegang pelbagai peranan kepimpinan, termasuk pengarah eksekutif bagi pembangunan pembuatan dan penggalakan pelaburan dan terbaharu sebagai pengarah eksekutif kanan advokasi polisi pelaburan.
“Beliau memberikan perkhidmatan dedikasi kira-kira 28 tahun kepada MIDA, dengan melaksanakan peranan penting dalam menentukan hala tuju strategik agensi ini dan menambah baik persekitaran pelaburan Malaysia,” jelas MIDA.
MIDA memaklumkan bahawa Sikh Shamsul Ibrahim mengetuai inisiatif yang secara signifikan meningkatkan pelaburan domestik dan asing, menunjukkan pemahamannya yang mendalam mengenai aliran ekonomi dan advokasi polisi.
“Pelantikan strategik ini membuktikan komitmen MIDA untuk memupuk pertumbuhan ekonomi dan kepelbagaian, sejajar dengan misi membina ekosistem pelaburan yang dinamik dan mampan bagi menarik pelaburan berkualiti,” tambah agensi itu.
Sementara itu, MIDA turut memuji Arham berikutan memainkan peranan penting dalam meneraju agensi itu ke arah pencapaian cemerlang sejak menjadi CEO pada 1 April 2021.
“Di bawah kepimpinannya, MIDA telah menyaksikan pencapaian bersejarah dari segi pelaburan yang diluluskan dan pertumbuhan yang belum pernah dicatatkan sebelum ini dalam bidang seperti pelaburan berteknologi tinggi dan transformasi digital.
“Semua ini telah melonjakkan daya tahan ekonomi dan daya saing Malaysia di peringkat global,” tambahnya. – Bernama