KUALA LUMPUR: Di kala umat Islam bergembira di pagi raya dengan berbaju baharu di samping keluarga tercinta, ada insan yang menyambut hari lebaran di sebalik tirai besi dengan juraian air mata ekoran kesilapan percaturan hidup.
Sedang kita bergelak ketawa kegembiraan sambil menikmati pelbagai juadah istimewa hasil air tangan bonda tercinta, mereka hanya mampu menjamah hidangan yang disediakan oleh pihak Pusat Koreksional Puncak Alam.
Tiada peluang berbaju baharu dan bergambar raya, apatah lagi kesempatan untuk mencium tangan kedua orang tua tercinta. Itulah harga kehidupan terpaksa ‘dibayar’ oleh mereka yang bergelar pesalah muda.
Berkongsi kepada Bernama, pesalah muda dikenali sebagai Lan, 19, kali pertama berpuasa dan berhari raya tanpa ibu kesayangannya tiga tahun lepas bukanlah satu perkara mudah, lebih-lebih lagi apabila mendengar suara takbir bergema dari masjid di pusat tersebut.
“Tahun ini, kali keempat saya tidak berpeluang menyambut Aidilfitri bersama mak. Tiada lagi mi kari yang dimakan bersama bihun dan kuetiau, air tangan mak…kalau dapat masakan mak, pasti saya akan menangis.
“Kalau dapat jumpa mak saya nak minta maaf pada mak, silap saya tak dengar cakap dan teguran mak. Kalau saya dengar pasti tidak jadi macam ini,” katanya suapan ibu beberapa hari sebelum dia diberkas polis sewaktu berusia 16 tahun merupakan saat paling dirindui.
Menurut remaja bertubuh sederhana sasa dan berkulit cerah serta berwajah polos itu, akibat percayakan rakan-rakan dan tidak berfikir panjang, zaman remajanya lenyap dan yang tinggal hanya titik hitam.
Anak bongsu dari enam beradik itu sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh seorang lelaki dengan asid beberapa tahun lepas, kini sedang mengira detik percaturan hidupnya sama ada mahkamah akan menjatuhkan hukuman bersalah atau sebaliknya.
Bagi Boboy, 21, yang menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol gadis bawah umur, langsung tidak ingat bila kali terakhir dia menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
“Kalau cakap pasal memori hari raya, memang daripada dulu lagi saya tiada kenangan beraya dengan keluarga dan kenangan (raya) yang saya ada sewaktu belajar di sebuah sekolah tahfiz di Kuala Kangsar. Itupun sepanjang di sana, keluarga langsung tidak pernah datang melawat.
“Saya teringin nak merasa beraya dengan keluarga, entah bila saya dapat rasa pengalaman itu… Saya tidak tahu sekarang nenek dan adik perempuan kini berada di mana sebab selepas ditangkap saya tidak lagi berhubung dengan mereka,” katanya kehilangan ibu sejak berusia tujuh tahun.
Boboy yang merupakan anak sulung daripada dua beradik berkata dia membesar dalam keluarga yang terlibat dengan dadah dan kesemua ahli keluarganya acap kali keluar masuk penjara disebabkan bahan terlarang itu.
Sementara itu, penghuni termuda di pusat tersebut berusia 15 tahun yang mesra disapa Angah berkata tahun ini merupakan kali pertama dia beraya di dalam pusat tersebut bersama teman-teman pesalah muda lain.
“Tak tahu nak cakap macam mana nak sambut raya kali ini, kali pertama jauh daripada keluarga. Tahun ini tidak dapat bantu ayah melemang seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya yang dimasukkan ke pusat itu sejak sebulan lepas setelah ditangkap kerana cubaan pecah masuk sebuah rumah mewah bersama adik lelakinya berusia 13 tahun.
Katanya, masalah kewangan dihadapi keluarga dan selalu terputus bekalan makanan memaksa dia melakukan perbuatan itu.
Bagi seorang lagi pesalah muda yang mahu dikenali sebagai Adam, 21, akibat salah memilih rakan menyebabkan dia terpaksa menjalani hukuman lima tahun penjara bagi kesalahan samun dan terlepas tiga kali sambutan hari raya bersama bonda tercinta.
“Saya menyesal sangat dengan perbuatan saya, sebelum ini saya langsung tidak mendengar cakap ibu. Jika boleh berjumpa ibu saya nak sangat memohon maaf dengan ibu sebab tidak jadi contoh yang baik pada adik-adik,” katanya. – Bernama