KUALA LUMPUR: Permintaan untuk sarung tangan getah perubatan dan pembedahan meningkat pada bulan lepas walaupun situasi lebihan bekalan yang berterusan dan dijangka mencapai keseimbangan menjelang 2025.
Bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low Jau Foo berkata, permintaan meningkat disebabkan pelanggan menambah stok mereka.
“Terdapat pembelian yang agresif semasa pandemik Covid-19 dan stok tersebut mempunyai tarikh luput. Sarung tangan perubatan mempunyai jangka hayat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata faktor menambah stok ini yang mendorong permintaan meningkat.
Dengan permintaan pada aliran meningkat, harga juga dijangka meningkat.
“Kami melihat peningkatan yang ketara untuk harga lateks sebanyak 28.7 peratus. Ini bermakna kos yang lebih tinggi untuk pengeluar sarung tangan dan ini akan disalurkan kepada pembeli,” katanya.
Low berkata pengeluar sarung tangan getah adalah pengguna lateks pukal yang terbesar, menggunakan hampir 460,000 tan setahun.
Beliau berkata keadaan cuaca seperti El Nino dan La Nina turut memainkan peranan dalam kenaikan harga dan turun naik harga getah.
Kestabilan dijangka mulai Jun dan seterusnya, kata Low.
Katanya walaupun permintaan meningkat adalah berita baik untuk sektor ini, ramai pengeluar sarung tangan telah menghentikan pengeluaran disebabkan situasi lebihan bekalan beberapa tahun lepas.
“Industri sarung tangan kini beroperasi pada kapasiti 50 peratus. Mudah untuk menghentikan pengeluaran. Untuk memulakan semula, ia memerlukan tindakan kerjasama oleh semua pemain.
“Kerajaan juga perlu memastikan pekerja kembali, bahan mentah dan logistik. Semua faktor ini perlu berjalan seiring,” katanya.
Beliau berkata Malaysia menghasilkan sehingga 230 bilion unit sarung tangan semasa pandemik dan harga melonjak kepada paras yang tidak masuk akal.
Antara 2020 dan awal 2022, harga mencecah AS$120 hingga AS$140 setiap 1,000 unit berbanding AS$18 dan AS$20 setiap 1,000 unit hari ini.
“Paras terendah sebanyak AS$14 untuk 1,000 unit pada awal tahun ini di China,” katanya, sambil menambah situasi dalam sektor tersebut akan lebih stabil dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Pandangan Low sejajar dengan pandangan RHB Investment Bank terhadap sektor itu.
Menurut firma penyelidikan itu, jualan dijangka meningkat pada separuh kedua 2024 berdasarkan permintaan-penawaran yang lebih seimbang, membawa kepada keuntungan yang lebih baik.
RHB Invest memberi saranan wajaran tinggi terhadap sektor tersebut dan menjangka lebihan kapasiti industri akan berkurangan secara berperingkat.
Ia akan mencapai permintaan-penawaran yang seimbang pada akhir 2024/2025, menurut firma penyelidikan itu.
Ia turut menjangka persaingan harga daripada rakan setara China akan berkurangan secara berperingkat berikutan kebimbangan mengenai kualiti yang meningkat dengan “kadar penolakan yang tinggi daripada AS dan apabila pemain China ke arah kemampanan.”
Menurut Kenanga Research, cabaran semasa dan landskap yang kompetitif akan berterusan sepanjang 2024.
Walaupun sebahagian pemain telah kembali mencatatkan keuntungan, keuntungan yang sederhana tidak menyokong penilaian yang tinggi, katanya.
“Industri akan terus berdepan situasi lebihan bekalan, penetapan harga oleh pemain luar negara tertentu, permintaan yang rendah dan kos input yang tinggi seperti getah nitril butadiena dan lateks.
“Harga getah nitril butadiena telah meningkat sejak suku keempat 2023,” menurut firma penyelidikan itu.
Katanya langkah menghentikan operasi kemudahan pengeluaran lama tempatan akan membantu mengurangkan tekanan bekalan.
Bagi harga susu getah, Kenanga menjangka harga akan meningkat berikutan pengeluaran rendah semasa “musim daun gugur antara Disember dan Mei”.
Setakat ini, katanya harga telah meningkat sebanyak 8 peratus dengan pembeli menarik diri setiap kali terdapat percubaan untuk menaikkan harga.
“Pengeluar China masih menjual pada AS$16−AS$18 setiap 1,000 unit, yang bermakna sebarang percubaan oleh pengeluar Malaysia untuk menaikkan harga dijangka menyebabkan kehilangan bahagian pasaran,” menurut Kenanga. – Bernama