KUALA LUMPUR: Malaysia mampu menjadi hab utama ASEAN untuk firma penasihat pengurusan kekayaan swasta yang dikenali sebagai “Pejabat Keluarga”, yang berkhidmat kepada keluarga bernilai teramat tinggi, memandangkan ia memiliki pasaran kewangannya yang stabil dan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Ketua Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed berkata ASEAN semakin mendapat fokus daripada firma pejabat keluarga berikutan kestabilan ekonomi dan pertumbuhan di rantau ini.
Walaupun banyak pengurus mungkin cenderung melihat ke arah pasaran maju untuk modal pejabat keluarga, trend menaik dalam pasaran baru muncul patut diberi perhatian, katanya.
Shan berkongsi pandangan tentang impak yang diwujudkan oleh pejabat keluarga ke atas pasaran kewangan, dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) mencecah AS$6 trilion (AS$1= RM4.75), yang menekankan pengaruh ketara mereka dalam landskap pengurusan pelaburan dan kekayaan.
Menurut sebuah syarikat data pelaburan yang berpangkalan di London, Preqin Ltd, bilangan pejabat keluarga meningkat lebih tiga kali ganda dalam tempoh empat tahun lepas berbanding 1,285 pada 2019 kepada 4,592 menjelang 2023.
Terdapat lonjakan ketara dalam bilangan pejabat keluarga merentasi rantau, dengan Amerika Utara, Eropah serta Asia mengalami kadar pertumbuhan sebanyak 20 peratus, 17 peratus dan 22 peratus dari tahun ke tahun pada 2023, manakala di peringkat global, angka itu melonjak sebanyak 31 peratus dari tahun ke tahun.
“Putaran pertumbuhan sedang beralih ke arah Timur, didorong oleh kestabilan makroekonomi, infrastruktur yang kukuh, demografi muda termasuk permintaan domestik yang amat baik,” kata Shan.
Di peringkat global, pelabur cenderung ke arah bidang kuasa dengan pasaran kewangan yang stabil, kerangka peraturan yang matang, tenaga kerja yang bijak kewangan dan dasar ekonomi yang mesra perniagaan.
Beliau juga menegaskan bahawa dengan ketidaktentuan yang semakin bertambah dalam pasaran, pejabat keluarga boleh menyediakan kecairan dan kestabilan yang sangat diperlukan kepada sistem, seterusnya meningkatkan keyakinan pasaran.
Shan meramalkan dana kedaulatan dan pejabat keluarga akan menjadi signifikan dalam memacu pasaran kewangan global dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, sejajar dengan perkembangan pesat landskap kewangan.
Negara seperti Malaysia, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) boleh mendapat manfaat kerana pasaran kewangan mereka yang stabil selain memiliki peraturan yang kukuh dalam sistem ekonomi.
“Saya yakin ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan rantau Afrika, secara kolektif boleh menjana kekayaan tambahan sebanyak AS$2-AS$3 trilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.”
“Di Malaysia, Labuan juga telah menjadi pusat kewangan luar pesisir yang penting dengan struktur dan prosedur yuran yang rendah,” katanya kepada Bernama .
Shan juga menonjolkan transformasi dalam pasaran kewangan global sejak 16 hingga 17 tahun yang lalu, dengan dasar monetari dan fiskal menjadi lebih penting sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Gangguan dalam pasaran secara magnitud sudah sedekad tidak dilihat. Kerajaan cuba sedaya upaya mengekalkan kestabilan makroekonomi dan mengekalkan keyakinan dalam ekonomi bagi merangsang pertumbuhan.
“Pelabur global menggerakkan modal mereka, yang mana kestabilan pertumbuhan adalah yang terpenting untuk kebanyakan kerajaan,” katanya.
Beliau juga memberi contoh penubuhan pejabat keluarga di hab kewangan terkenal seperti Dubai, Hong Kong, London, Zurich dan Singapura.
Pejabat keluarga sedang merancang peralihan paling ketara dalam peruntukan aset sejak beberapa tahun, dengan geopolitik menjadi faktor penentu berbanding inflasi sebagai kebimbangan utama, manakala keutamaan pelaburan serantau terus berkembang. – Bernama